Senja Berubah Wajah

Kisah ini memang telah lama ingin ku ceritakan kepada mu. Ia seakan telah menjadi rahsia bagi ku. Dan kau sering mempersoalkannya, Man. Kenapa ? Tetapi kadang-kadang terfikir juga di hati ku, apalah ertinya rahsia kalau rahsia itu sendiri diragui samada benar ia adalah suatu rahsia.

"Demi persahabatan ini, kau harus ceritakannya, Anis." Kau pernah berkata pada ku, Man.

Lalu setelah ku fikirkan beberapa lama dan aku menyedarinya, aku mengambil keputusan menceritakannya kepada mu, Man. Tetapi selepas ini, selepas ku ceritakan kisah ku ini, usahlah kau meminta lagi kerana diri ku tidak terbendung dengan rahsia-rahsia yang sering kau persoalkan itu.

Dan janganlah kau menagih harapan dari ku. Seluruh pintu hati ku telah tertutup dan kau tidak mungkin dapat membukanya. Dan kau juga harus tahu, tekad ku hanya satu ketika datang ke Semenanjung ini.

Ia terjadi tiga tahun yang lalu. Sebelum kita sama-sama menuntut di bawah lindungan menara gading ini. Di kala itu aku masih berada dalam tingkatan lima di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur (seperti yang pernah ku katakan pada mu dulu, Man). Ia merupakan suatu hari yang terpenting dalam hidup ku. Maksud ku, hari yang sedemikian itu tidak mungkin ku alami sekali lagi. Dan hari itu tak mungkin dapat ku lupakan.

Selepas makan tengahari, sewaktu keluar dari dewan makan asrama, seorang teman (tentunya teman seasrama ku) menegurku. Teman ku itu memberikan sepucuk surat kepada ku. Aku seakan tampak kelainan pada surat itu yang sedikit-sebanyak menggetarkan hati ku untuk membukanya. Ku rasakan surat itu tidak seperti surat-surat lain yang pernah ku terima. Surat itu membayangkan suatu kemungkinan yang sering mengganggu ketenangan hati ku - ketenangan hati gadis ku dalam menghadapi pelajaran setiap hari dan peperiksaan tidak lama lagi.

Surat itu datangnya dari kampung. Kak Izah (satu-satunya kakak ku yang telah pun kau kenali) yang mengirimkannya kepada ku. Surat itu menyatakan tentang ayah yang sering menyebut-nyebut nama ku. Aku merasa agak hairan. Rindukah ayah pada ku ? Surat itu juga menyatakan tentang adik ku yang sudah pandai berjalan-jatuh. Aku tahu Kak Izah memang pandai mengasuh adikku sejak kematian ibu. Tetapi yang paling tak ku duga dan tak terlintas di fikiran ku selama ini, surat itu jugalah yang memberitahu ku tentang ayah yang sedang sakit kuat. Buat pertama kali perasaan gadisku tersentuh di kala itu.

Ku ulangi membacanya seolah-olah kurang yakin dengan apa yang telah ku baca. Tapi itulah yang tercoret di helaian kertas putih itu pada kali kedua aku menatapnya. Surat itu menyatakan tentang ayah yang sedang sakit kuat.

Memang telah ku ketahui sejak dulu lagi ayah selalu sakit. Setiap kali ayah batuk akan mengeluarkan darah. Aku tidak pasti penyakitnya. Tetapi menurut Kak Izah ayah mungkin diserang TB. Ayah begitu lama menderita kerana penyakitnya. Kadang-kadang, kata ayah, dia terlalu lemah. Ada kalanya ayah mengerang sepanjang hari. Bila diajak menemui doktor ayah mengatakan dia sihat, cuma demam panas biasa sahaja. Itulah sahaja alasan ayah yang membuatku dan Kak Izah serba-salah. Takutkah ayah menemui doktor ? Lama dulu dalam ingatan ku, Tok Berahim dukun di kampung ku pernah menyakinkan aku yang ayah akan sembuh beberapa hari sahaja lagi. Seharusnya ayah telah sembuh. Tetapi surat itu membuat ku ragu akan kebenarannya.

Rasa ku ayah sakit kerana terlalu teruk bekerja. Tiada siapa yang membantu ayah di ladang. Semasa ibu masih ada, ayah tidak seteruk kini kerjanya. Agaknya memang telah ditakdirkan, ibu pergi sewaktu melahirkan adikku yang bongsu - ahli kelima dalam keluarga ku.

Kak Izah terpaksa berhenti kerja sebagai kerani walaupun baru beberapa bulan beroleh kesenangan dari kerjanya. Kak Izah terpaksa mengasuh adikku. Malah terpaksa menguruskan rumahtangga menggantikan tempat ibu.

Kau mengatakan kehidupan keluarga ku mewah berdasarkan kepada keadaan diri ku yang serba cukup di sini. Tetapi kau tidak tahu apa yang sebenarnya dialami oleh keluarga ku. Kehidupan ku tambah sulit sejak kematian ibu. Ayah tidak larat lagi mengerjakan ladang seluas tiga ekar itu. Tapi aku benar-benar hairan mengapa ayah tidak mahu mengupah orang lain mengerjakannya. Cuma kata ayah, ladang itulah kehidupannya. Kata ayah lagi, dia masih berupaya walaupun sebenarnya paling ketara padaku, ayah sudah tak berdaya mengerjakannya sendirian. Semasa ibu masih ada sering juga dia menolong ayah. Tidaklah seteruk kini kerja ayah. Kasihan sungguh ayah.

Aku meneliti kembali surat dari Kak Izah. Baris demi baris ku baca. Sampai ke bahagian yang tampak lebih kasar tulisannya, mungkin disengajakan oleh Kak Izah, ingatan ku segera melayang ke kampung. Teringat ayah yang sedang sakit. Mungkin ayah sedang terdampar di atas katil di dalam biliknya. Mungkin ayah sedang mengerang kesakitan, terbatuk-batuk dan muntah darah. Dan berbagai lagi telahan serta kemungkinan tentang ayah yang tak ku ingini. Bila mengenangkan hal itu aku jadi takut. Hati ku tiba-tiba jadi gelisah. Jantung ku berdegup semakin kencang. Seakan senja itu akan berubah wajahnya.

Ku sampaikan berita tentang ayah pada teman sebilik ku. Kesal juga hati ku menceritakan keadaan ayah pada teman-teman. Aku seakan cuba menagih simpati dari mereka. Bahkan aku seakan mengharapkan belas-ihsan mereka.

Ruslina cuma diam membisu bila mengetahui keadaan ayah. Rohana dan Salmi tidak bergerak-gerak dari katilnya. Mungkin seronok seolah-olah sedang menonton cerita tentang ayah ku. Ayu kelihatan sedih. Tapi kesedihan itu tampak terlalu berlebihan. Ia merupai satu kepura-puraan. Dan ini menambahkan lagi pilu di hati ku. Hanya Marlia yang benar-benar simpati. Itu aku pasti. Namun aku masih ragu-ragu pada kejujuran hatinya itu. Mungkinkah ia juga satu kepura-puraan ?

"Kau mesti pulang segera, Anis," usul Marlia ketika kami bersiap-siap untuk makan malam.

"Tapi aku takut tertinggal pelajaran," kata ku.

"Sehari dua, apa salahnya," tingkah Salmi.

"Takkan menggagalkan," sampuk Ayu pula.

Aku cuba menerangkan kedudukan yang sebenarnya dan betapa risaunya hati ku mengenangkan peperiksaan SPM yang semakin hampir. Cuma sebulan sahaja lagi. Tapi kegelisahan hati ku lebih dekat pada ingatan terhadap ayah yang sedang sakit kuat.

"Lambat lagi," kata Ayu selamba. Ruslina terus mendiamkan diri. Macam patung dalam makmal sekolah, bisik hati ku.

"Satu bulan..." Aku memotong. Suara ku meninggi. Ku cuba menegakkan kebenaran.

"Tapi kau mesti pulang," desak Marlia kemudian.

"Peperiksaan, bagaimana ?" Aku masih mempertahankan. Namun terasa satu desakan halus jauh di lubuk hati ku menyuruh pulang. Ayah sedang sakit kuat. Seakan ada suara memanggil ku pulang. Suara ayahkah itu ?

"Lebih baik kau pulang, Anis. Daripada kau menyesal kemudian nanti," kata Marlia lagi.

Dan kata-kata itu memberi kesan dan kesedaran yang mendalam di hati ku. Aku mesti pulang. Ayah sakit kuat. Aku mesti pulang ! Tapi untuk menyeberangi Laut China Selatan itu pasti akan menghabiskan seminggu waktu ku. Dan mungkinkah aku akan kembali ke Semenanjung dengan keyakinan untuk menghadapi peperiksaan setelah melihat ayah terlantar kesakitan.

Fikiran ku terganggu lagi. Peperiksaan telah hampir benar. Cuma sebulan lagi. Peperiksaan itulah yang akan menentukan kejayaan dan kegagalan hidup ku di masa depan. Hati ku terasa berbelah-bahagi. Antara peperiksaan dan ayah. Antara ayah dan peperiksaan. Kedua-dua sama penting bagi ku. Ayah penting dalam hidup ku. Tetapi peperiksaan juga penting sebagai penentu masa depan ku. Yang mana satu harus ku utamakan.

Lewat jam dua belas malam itu aku masih belum dapat melelapkan mata. Fikiran ku terganggu lagi bagaikan ada sesuatu yang datang menyerang. Begitu juga sewaktu kelas persediaan malam yang berakhir jam sepuluh setengah tadi. Aku tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada buku-buku. Ku paksa diri ku membaca apabila teringat pada peperiksaan. Tapi secepat itu pula aku teringat kampung yang jauh di kawasan pendalaman Sarawak sana. teringat ayah yang sedang sakit kuat.

Ku paksa mata ku lena. Tapi sia-sia. Malah aku bertambah risau lagi. Terkenang pada ayah yang ku kasihi. Adakah aku akan terus memilikinya ? Fikiran ku bingung untuk menjawabnya. Adakah ayah akan pergi sebelum sempat aku menatap wajahnya ? Bagaimana kalau aku kehilangan ayah ? Pertanyaan demi pertanyaan menujah benak ku. Aku tewas menghadapi keresahan hati ku. Adakah aku harus memilih antara dua, ayah atau peperiksaan... atau tidak kedua-duanya ?

Ku cuba menentang gelisah hati ku. Ku cuba melawan kacau-bilau fikiran ku. Tapi aku terus tewas. Aku terus tumpas dalam gelora fikiran ku. Dan aku masih dalam keadaan serba-salah mengenangkan ayah dan peperiksaan ku.

Ku tekadkan hati ku untuk memilih salah satu darinya. Ayah tentulah lebih penting dari segalanya. Ayah lebih penting. Sedangkan ibu telah pergi. Kini ayah pula ingin dibiarkan pergi sendirian. Tidak ! Aku tak rela ayah pergi. Aku mesti pulang. Aku mesti jumpa ayah. Ayah yang ku kasihi. Ayah, anak mu akan pulang menemui mu...

Tapi satu suara jauh di sudut hati ku mematikan tekad ku. Peperiksaan juga sama pentingnya. Aku kembali menjadi serba-salah walaupun telah bernekad untuk pulang. Sekiranya aku pulang adakah aku akan beroleh ketenangan menjelang saat-saat akhir peperiksaan ? Tapi di sini juga tiada ketenangan bagi ku. Kebuntuan menusuk fikiran ku sekali lagi.

Kasih ku pada ayah menguatkan kembali tekad ku. Aku mesti pulang. Walau apa pun yang terjadi aku tetap akan pulang. Aku mesti jumpa ayah. Ayah yang merindui ku. Dan ayah yang ku kasihi. Aku mesti pulang pada hujung minggu ini. Aku terus terkenangkan ayah. Terkenangkan masa lalu ku bersama ayah.

Betapa deritanya hidup ayah sejak kematian ibu. Ayah sayangkan ibu. Tapi sayang ayah ada batasnya. Ibu pergi. Pergi menyahut panggilan Ilahi. Dan ayah sentiasa tabah menghadapi dugaan ini. Namun sering juga, selepas kematian ibu, ku lihat ayah termenung. Ayah banyak termenung dan menjadi kurang mesra dengan ku. Malah dengan Kak Izah pun begitu. Lama kemudian barulah ada sedikit perubahan pada diri ayah. Tapi kemesraan ayah sudah tidak sama seperti ketika ibu masih ada.

Pernah satu ketika aku menyarankan pada Kak Izah supaya ayah berkahwin lagi. Tapi Kak Izah sendiri tidak berani mengusulkannya pada ayah. Kak Izah agaknya memang tahu ayah sangat sayangkan ibu. Atau mungkin Kak Izah khuatir dengan kemungkinan jawaban yang akan diberikan oleh ayah. Aku pun mengerti perasaan ayah pada ibu. Akhirnya saranan ku hilang dari fikiran ku.

Dan apabila aku mengusulkan pada ayah agar diberhentikan sahaja persekolahan ku, Kak Izah pula yang menghalang. Ayah tidak mempersoalkan. Aku benar-benar tidak mengerti sikap ayah terhadap persekolahan ku. Cuma yang ku sedari ayah terus membiayai pelajaran ku hingga kini.

Tak ku sedari bila aku terlena.

Rupanya siang yang datang bukanlah merupakan satu kebahagiaan bagi ku. Cerah di langit bukanlah untuk ku. Tetapi mendung di ufuk barat seakan telah dikhaskan untuk ku. Aku seakan telah dapat merasakannya. Hal itu pasti akan terjadi walaupun aku tak menghendakinya. Dan aku tak pernah memintanya.

Mengapa ini harus terjadi ?

Apabila seorang pekerja sekolah datang ke kelas mencari ku, aku telah dapat merasakan debaran pertama dada ku. Aku cuba bertenang. Akan tetapi telegram di tangannya hampir menghilangkan semangat ku. Jantung ku tiba-tiba berdegup kencang seakan telah mengetahui apa yang akan terjadi. Dan tambah kencang lagi bila diberitahu bahawa telegram itu sememangnya ditujukan pada ku.

Aku menatap sebaris ayat yang ringkas terdiri dari beberapa patah perkataan. Aku telah merasakan hal itu akan berlaku. Ia akan berlaku. Pasti akan berlaku.

Terasa pandangan ku kabur. Kesedihan mencengkam hati ku. Airmata ku tiada dapat ku tahan lagi, menitis dan membasahai pipi ku. Aku menangis perlahan-lahan. Beberapa orang teman memimpin tangan ku. Tiada yang dapat ku kesalkan lagi. Dan tiada suatu apa pun yang ku fikirkan kecuali bersiap untuk pulang ke kampung.

Ayah yang ku kasihi telah pergi. Ayah telah pergi tanpa ku berada di sisinya. Ayah pergi sebelum aku dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Pergi dalam keharuan perasaan ku. Mengapa begitu cepat ayah pergi ? Aku sangat menyayangi ayah. Ayah yang tak ku ketahui isi hatinya. Yang tak ku ketahui penderitaan batinnya. Perginya ayah merupakan satu kehilangan bagi ku. Satu bayangan kegelapan masa depan hidup ku, Kak Izah dan adik ku.

Dan ketika aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada hari itu, bayangan tubuh ayah yang terbujur kaku memenuhi ruang mata ku. Juga terbayang di hati ku kegagalan pelajaran ku sekiranya berakhir persekolahan ku.

Dengan langkah longlai aku meninggalkan kelas pagi itu. Kegagalan semakin dekat pada ku. Dan benarlah senja itu telah berubah wajah. Di dalam hati ku seakan terdengar kesepian menjentik. Sebentar lagi malam akan menjelang. Tapi esok yang datang masih belum dapat dipastikan.

"Selepas itu, macam mana kau boleh berada di sini, Anis ?" Kau pasti bertanya lagi, Man !


0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers