Hujan Turun Lagi


Entah berapa lama dia duduk termenung di tangga depan pondok buruknya. Fikirannya melayang jauh. Mengenangkan masa depannya yang gelita, fikirannya seakan terganggu. Dia tidak tahu berapa lama lagi kehidupannya akan terus begini. Dia sudah tidak berdaya menahan sengsara. Dia sungguh tersiksa dengan keadaan yang terus berlanjutan itu.

Hari ini dia tidak dapat menoreh. Begitu juga semalam. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini hujan turun begitu lebat. Kadang-kadang turun beberapa hari tanpa henti-henti. Sungguhpun hujan tidak menyebabkan bencana kepada keluarganya dan pondok yang usang ini, tetapi hujan telah menimbulkan sengsara kepada diri dan kehidupannya. Dalam kehidupan semiskin ini mampukah dia bertahan lagi ?

Telah beberapa hari pekerjaannya terhalang kerana hujan. Dan entah berapa kali pula dia duduk termenung di tangga depan pondok buruknya sambil mengenangkan masa depannya. Hatinya merasa terharu bila memikirkan betapa isterinya bekerja lebih teruk darinya di waktu-waktu begini. Tetapi berapa senkah yang diperolehi dari upah mencuci pakaian itu ?

Perasaannya tambah terharu mengenangkan susah-payah isterinya demi sesuap nasi untuk perut mereka yang sentiasa perlu diisi. Kesalkah isterinya berkahwin dengannya, dengan kehidupan sesempit itu ? Hatinya kerap menyoal ragu. Tetapi dirinya tak mampu menjawab pertanyaan itu.

Hatinya tambah gundah dikhuatiri kalau isterinya akan menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Dia pasti tidak dapat memenuhi permintaan-permintaan itu walaupun permintaan itu hanya direka oleh khayalan dan kegusaran hatinya.

Dia meneruskan menungan panjangnya sambil menatap langit. Terbayang sinar gelap di depan matanya. Semakin jauh dia merenung ke depan semakin gelap pandangan di situ. Hingga di suatu ketika dia seolah-olah tidak dapat melihat kehidupannya. Di situlah ditemuinya kehidupan yang sukar dimengerti. Di situlah juga jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Cukupkah sudah amal ku di bumi ini ? Hatinya diburu kebimbangan.

Beberapa saat kemudian suara isterinya sayup di dapur mengajaknya sarapan. Lamunannya tiba-tiba mati di situ. Tetapi dia masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Diperhatikannya bunga-bunga segar kurus melidi di depan pondok buruknya. Ah... kau pasti bahagia jika keadaan berterusan begini. Hatinya berkata sendirian. Sesekali matanya menjeling cucur atap nipah pondok itu. Ada titis-titis jernih di situ. Kesan-kesan hujan lebat malam tadi masih dapat dilihat. Tetapi dia tidak begitu menghiraukannya. Pandangannya beralih ke arah gumpalan awan hitam di langit. Tanda-tanda hujan akan turun lagi jelas kelihatan pagi itu. Hatinya bertambah resah.

"Sarapan dah siap, Bang."

Sekali lagi suara isterinya bergema memecah keheningan pagi di dalam pondok buruknya. Kali ini lebih kuat tetapi lembut pada pendengarannya. Dia tersintak dan bingkas bangun.

"Ha...ah, abang datang ni." Suaranya hampir tak kedengaran. Hilang dalam hentak kaki dan keriut lantai pondok buruknya.

Dia tahu kalau panggilan isterinya tak bersambut, akan lebih lantanglah suara itu. Dan kalau dia terus membisu, akan kedengaran pula suara isterinya berceloteh. Itu akan menambahkan lagi sayu hatinya walaupun dia faham isterinya itu seorang perempuan. Sayunya hanya dia yang merasa. Tetapi dia tidak pula mahu menegur isterinya kerana dia ragu-ragu kalau-kalau isterinya akan berasa hati dari tegurannya itu. Dia sangat khuatir pada kemungkinan kata-katanya akan menyakitkan hati isterinya. Dia akan lebih merasa bahagia jika setiap patah perkataannya sentiasa menggembirakan hati isterinya. Dan sepanjang-panjang kehidupan bersama isterinya, kebahagiaan seperti itu masih belum terusik.

Dia menghadapi sarapan pagi bersama isterinya dengan selera yang seakan tersekat. Tekaknya terasa sukar menelan lepat pisang yang masih panas. Kopi pahit yang masih berasap dihirupnya dengan paksa. Dia tidak mahu melihat perubahan serta-merta di wajah isterinya walaupun sarapan pagi itu tidak memuaskan seleranya. Tetapi dia lebih menyedari akan keperitan hidupnya. Kesukaran hidup di musim tengkujuh ini.

Tidak banyak yang dibualkan bersama isterinya ketika sarapan pagi itu. Dia benar-benar telah kehabisan bahan perbualan. Kisah semalam yang telah beberapa kali diceritakan kepada isterinya diulangnya sedikit. Dia tidak pasti samada isterinya telah bosan mendengar kisah-kisah itu. Ia berupa cebisan-cebisan bahagia di dalam sengsara hidupnya. Juga tentang harapan-harapan yang lebih merupakan suatu mimpi indah.

Sarapan pagi itu segera diselesaikannya. Dan dia kembali semula ke tangga depan pondok buruknya. kembali dalam menungannya. Dilihatnya awan hitam semakin pekat di langit. Renungan matanya berlari di antara beberapa ekor burung layang-layang yang kegirangan menanti hujan. Keluhan yang sangat berat dilepaskannya perlahan-lahan seperti ingin melepaskan sesuatu yang merunsingkan hatinya.

Matanya merenung jauh. Tetapi fikirannya tidak selaras dengan renungannya itu. Fikirannya berada lebih jauh mengenang masa silamnya. Dia terkenang kedua orang tuanya yang sangat mengasihinya. Dialah anak sulung dan dialah anak yang bongsu. Segala kasih-sayang ayah dan ibunya tumpah kepadanya. Tetapi dia tidak diberikan kemanjaan. Ayahnya mengajarnya menjadi anak yang bertanggungjawab. Dia tidak diberikan kemewahan, tetapi kehidupannya ketika itu tidaklah sengsara seperti kini. Dia telahpun merasakan beban derita dalam hidupnya. Tetapi ketika itu dia hanyalah seorang anak. Tentunya derita itu lebih kepada kedua orang tuanya. Tentunya derita itu tidak seperti kini. Seperti yang ditanggungnya sendiri.

Dia teringat kepada anaknya yang menuntut di sekolah berasrama penuh di ibukota. Seperti juga dirinya, hanya seorang itulah anaknya. Dia bersyukur kerana telah dikurniakan seorang anak lelaki yang pintar dalam pelajaran. Tidak seperti dirinya dahulu yang hanya belajar di sekolah pondok. Setiap hari menahan perit rotan Pak Imam masjid gurunya itu.

Anaknya kini tentu hidup gembira di samping rakan-rakannya. Makan pakainya yang serba cukup. Hidup serba teratur. Tapi dia, dia dengan isterinya di desa ini dengan sengsaranya. Dengan derita hidupnya. Tidak tahu bagaimana besarnya kota seperti yang diceritakan oleh anaknya beberapa bulan dahulu. Hidupnya tersepit di desa pendalaman ini. Tidak pernah menghirup udara kota yang selalu bermain dalam khayalannya. Takkah derita ini seolah-olah telah dikhaskan untuknya seorang ?

"Milah pergi, bang." Suara isterinya jelas kedengaran. Menghentikan seketika menungan panjangnya.

Dia tidak menjawab kerana dia tahu walaupun dia tidak mengizinkan, isterinya akan pergi juga. Selama ini memang dia tidak pernah menghalang kemahuan isterinya. Dia sedar betapa besar pengorbanan isterinya dalam kehidupannya di waktu-waktu begini. Namun begitu ada kalanya pengorbanan isterinya menimbulkan rasa ragu dalam dirinya. Adakah pengorbanan itu untuk dirinya sendiri ?

Pada waktu-waktu susah begini dia kadang-kadang lupa pada kesulitan yang dihadapi oleh anaknya di ibukota. Dia merasakan wang biasiswa Kerajaan Negeri yang diterima sudah memadai bagi membiayai pelajaran tingkatan lima anaknya itu. Dia masih ingat lagi kata-kata anaknya, sekiranya dia lulus dalam peperiksaan akhir tahun ini dengan baik, dia mungkin akan diterima memasuki salah sebuah pusat pengajian tinggi tempatan. Itulah yang diharapkannya. Dan dia berdoa siang dan malam supaya anaknya berjaya. Supaya dia juga dapat mengecap nikmat kejayaan anaknya itu.

Detik-detik yang berlalu dirasakannya terlalu lambat. Dan setiap saat yang berlalu itu menambahkan lagi garis-garis duka di wajahnya. Menampakkan keresahan yang mendalam dan tersimpan. Keluhannya terlepas untuk kesekian kalinya tanpa secebis malu. Namun kegelapan hidupnya masih belum menampakkan tanda-tanda akan berakhir. Dan dia masih tertunggu-tunggu kedatangan hari yang bahagia itu. Tapi bila ? Pertanyaan itu mengikis sedikit demi sedikit harapannya yang semakin malap.

Terfikir juga di hatinya hendak ke hutan mencari sesuatu. Sesuatu yang boleh menghasilkan pendapatan. Mengingatkan tentang wang seolah-olah timbul rasa benci dalam dirinya. Wang seolah-olah menjadi penentu hidupnya. Tanpa wang seolah-olah dia tidak dapat meneruskan hidup. Hidup tanpa wang samalah seperti hidup tanpa memiliki sesuatu pun. Malah tidak keterlaluan dia mengatakan hidup tanpa wang samalah seperti dirinya dan pondok buruknya yang kosong dan usang. Yang menanti saat-saat akhirnya.

Tetapi dalam cuaca seperti ini segala yang ingin dilakukannya terbantut. Dia seakan benci pada hujan tetapi dia tidak pula memarahi katak yang dikatakan kerap memanggil hujan. Anih benar pada fikirannya. Mengapakah hujan yang merupakan rahmat dari langit itu menyempitkan lagi kehidupannya ? Kehidupan penoreh getah sepertinya.

Hatinya bertambah resah. Tetapi bagaimanakah dapat dia menghilangkan keresahan itu ? Pertanyaan itu kadang-kadang begitu menyesakkan fikirannya. Apakah yang dapat dilakukannya hari ini untuk menghilangkan keresahan itu ? Bekerja ? Tetapi apalah kerja yang dapat dibuatnya selain dari kebolehannya menoreh tiap-tiap batang pokok getah di kebun yang tak seberapa luasnya itu. Pertanyaan demi pertanyaan terus berlegar dalam fikirannya. Dan satu demi satu ia berlalu jauh dari fikirannya tanpa sempat diberikan jawaban.

Menjelang matahari 45 darjah di langit, dia masih lagi keluh-kesah duduk di tangga depan pondok buruknya. Sesekali dia masuk ke dapur untuk mencedok sedikit air dari tempayan besar. Langit semakin gelap tetapi hujan masih belum turun. Awan hitam di langit seakan cuba menyiksa fikirannya. Jika hujan turun petang ini, esok pasti dia tidak dapat menoreh. Dan dia akan duduk termenung lagi di tangga depan pondok buruknya.

Lamunannya sekali lagi mati apabila terlihat lembaga jauh di hujung lorong menuju kerumahnya sedang menghampiri pintu pagar kawasan rumahnya yang diperbuat dari buluh itu. Ia kelihatan seperti seorang perempuan. Semakin hampir pastilah lembaga itu isterinya. Tetapi apakah yang dijunjungnya ? Hatinya terdesak ingin segera mengetahuinnya.

"Kenapa ?" Soalnya pantas sebaik sahaja isterinya menjejak halaman rumah.

Isterinya tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya dia berceloteh panjang semasa mencedok air tempayan depan rumah menggunakan gayung tempurung kelapa. Air itu digunakan untuk mencuci kaki yang terkena lecah. Isterinya terus merungut pasal isteri Pak Osman tempat dia bekerja yang menyuruhnya pulang dengan sebakul pakaian yang baru separuh siap dicuci.

"Hari 'ndak hujan. Dia suruh bawakan esok sahaja," tambah isternya.

"Upahnya ?" Potongnya pendek. Dia pun tak tahu mengapa begitu cepat pertanyaan itu keluar dari mulutnya.

"Esok," jawab isternya tanpa menoleh kepadanya. Tetapi terus sibuk mengasingkan pakaian yang sudah dan belum bercuci

Dia melihat isterinya bekerja tanpa ada sedikit pun keinginan untuk turut membantu.

Apabila isterinya berlalu ke dapur, dia kembali mengenangkan kehidupannya. Mengenangkan kesusahannya. Dan mengangankan kebahagian masa depannya. Tetapi tiba-tiba dia merasakan sesuatu menimpa tangannya. Suatu percikan halus, jernih dan dingin. Suatu petanda yang tidak diingininya.

Titis-titis hujan mula menimpa atap nipah pondok buruknya. Menimpa daun-daun di sekeliling rumahnya dan menimpa bumi. Wajahnya menjadi sugul. Direnungnya langit yang gelap pekat seperti melihat kegelapan hidupnya yang berterusan. Kegelapan langit semakin kabur bersama rintik hujan yang semakin deras turunnya.

Tiba-tiba pandangan matanya berlari ke hujung jalan di depan rumahnya. Tertumpu pada motosikal merah yang jarang mengunjungi rumahnya. Motosikal itu bergerak pantas seakan cuba melarikan diri dari rintik-rintik hujan. Dan sepantas itu juga anak matanya berlari menyoroti motosikal merah itu.

Dadanya berdebar apabila motosikal merah itu masuk ke simpang jalan menuju ke rumahnya dan seterusnya singgah betul-betul di hadapan rumahnya. Di hadapan tangga tempat dia duduk termenung.

Dalam debaran itu dia segera terkenangkan kepada anaknya. Apakah berita yang akan diterimanya kini ? Mungkin berita yang sama seperti selalu setiap kali kedatangan motosikal merah itu. Berita anaknya perlukan wang belanja persekolahan.

Setelah penunggang motosikal merah berunifom itu menegurnya, dia segera menyambut sampul biru bertulisan tangan yang amat dikenalinya itu. Yang pasti itulah surat dari anaknya. Kemudian motosikal itu berlalu pantas dan hilang dari pandangannya. Sepantas itu pula memuncak keinginannya untuk mengetahui isi surat itu. Lalu dikoyaknya bahagian tepi sampul itu. Tetapi kegopohannya menyebabkan kertas putih berlipat di dalam sampul itu terkoyal sedikit. Dia tidak menghiraukan. Anak matanya laju menatapi baris demi baris.

"...Anakanda telah berjaya dalam peperiksaan percubaan yang lalu. Doakanlah Anakanda berjaya dalam peperiksaan akhir yang akan datang. Selain dari itu, Anakanda perlukan wang sebanyak seratus lima belas ringgit ($115.00) untuk bayaran yuran peperiksaan. Anakanda harap Ayahanda dapat mengirimkan sebelum akhir bulan ini..."

Kegembiraannya berbaur dengan kerisauan hatinya. Gembira dengan berita kejayaan anaknya. Tetapi resah memikirkan ketiadaan wang yang dihadapinya. Dia mula membilang-bilang hari. Akhir bulan ini bermakna cuma tinggal dua minggu lagi. Kalau hujan tidak turun dia mungkin dapat menyediakan wang sebanyak itu. Tetapi dalam cuaca begini, untuk mendapatkan wang sebanyak lima ringgit pun amatlah sukar. Di manakah hendak di carinya wang sebanyak itu ? Fikirannya buntu.

Ingin dipanggilnya isterinya ketika itu. Ingin dinyatakan kesulitannya. Ingin diajaknya isterinya menyaksikan titis-titis hujan yang semakin melebat. Tetapi dia tidak mahu mengganggu isterinya. Biarlah hatinya yang merasai derita itu. Biarlah jiwanya yang menanggung sengsara itu. Biarlah hujan yang turun itu terus mewarnakan kegelapan hidupnya.

Ditatapnya langit seperti menatap kegelapan hidupnya. Ditatapnya titis-titis hujan seperti menatap derita yang menimpa dirinya. Dan sesuatu yang pasti telah terlukis di depan matanya.

Esok dia akan termenung lagi di depan pondok buruknya. Dan jika esok hujan turun lagi, lusa dia akan termenung di tangga depan pondok buruknya. Begitulah, fikirnya, dia akan meneruskan kegelapan hidupnya jika hujan turun lagi. Dia akan menatap langit. Dia akan menatap gelap awan di langit. Dia akan kembali mengenang kegelapan masa silamnya hingga kini. Dan dia akan mengangankan kebahagiaan masa depannya.


0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers