Tips Menjelang Peperiksaan

Apa yang harus dilakukan menjelang hari peperiksaan?

* Anda seharusnya cuma mengulang kaji nota - nota yang telah anda sediakan, bukan lagi membaca buku - buku teks.
* Pada saat ini juga anda seharusnya sudah dapat membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada rakan - rakan anda sendiri supaya dapatmembincangkan apa yang telah anda pelajari selama ini.
* Bertukar - tukar pendapat dan pandangan antara satu sama lain kerana banyak manfaatnya.
* Setelah menerima jadual waktu peperiksaan, semak tempat peperiksaan anda yang sebenarnya dengan teliti.
* Tandakan mata pelajaran, masa dan tarikh peperiksaan mata pelajaran berkenaan yang ada pad jadual itu dengan dakwat merah supaya tidak terlepas daripada perhatian anda.
* Pastikan anda tiba di dewan peperiksaan sekurang - kurangnya setengah jam dari masa yang ditetapkan.
* Sementara menanti bermulanya peperiksaan, rujuk nota anda sepintas lalu. Ini untuk menyegarkan kembali ingatan anda tentang topik pelajaran yang bakal disoal nanti.
* Elakkan daripada berbual - bual kosong kerana tidak mendatangkan faedah.
* Lengkapkan diri anda semasa hendak menghadiri mana - mana peperiksaan sekalipun. Pastikan kad pengenalan diri anda ada dibawa bersama.
* Semak dan tentukan bahawa anda menjawab di tempat - tempat yang disediakan. Sebarang kesilapan akan memberi kesan terhadap keputusan peperiksaan.
* Sebaik sahaja mendapat kertas soalan, bertenanglah. Baca segala arahan dalam kertas soalan dengan teliti.
* Pastikan anda benar - benar faham dengan kehendak soalan itu sebelum memulakan sesuatu peperiksaan.
* Tentukan jumlah masa yang perlu untuk menjawab satu - satu soalan. Jangan mengambil masa yang terlalu lama untuk sesuatu soalan.
* Bahagikan masa mengikut kepentingan sesuatu soalan. Markah penuh bagi satu - satu soalan dinyatakan dalam kertas soalan itu.
* Peruntukan juga masa untuk menyemak jawapan anda. Pastikan anda telah mengikut arahan yang betul semasa menjawab soalan. Semak bahasa atau tatabahasa, penyampaian, ejaan dan sebagainya kerana semua ini diambil kira, selain fakta yang dkehendaki.
* Tulisan juga perlu diberi perhatian supaya pemeriksa senang membacanya.

KEMAHIRAN MENGINGAT

Kemahiran belajar tidak lengkap jika kamu tidak melalui proses mengingat. Segala fakta yang diterika hendaklah disimpan agar tidak lupa uantuk dikeluarkan apabila diperlukan. Justeru disini, dicadangkan beberapa kaedah yang dapat membantu mempertingkatkan teknik mengingat:

1. HAFAL isi yang dibaca
• Ingatkan perkara yang utama yang perlu kamu ketahui dalam pembacaan itu.
• Contohnya : Sebelum membuka buku,ingat “apakah warna pelangi dan bagaimanakah pelangi terbentuk?”

2. Isi DISUSUN dengan betul
• Sebutkan isi yang kamu hafal
• Ketika menghafal suara mesti jelas supaya telinga mendengar apa yang kamu hafal.

3. Tentukan perkara yang perlu DIINGAT
• Pastikan turutan isi betul
• Contoh: Kamu ingin mengingat nama bulan.
• Pastikan kamu menghafal bermula daripada bulan Januari danberakhir dengan Disember.

4. UJI kemampuan daya ingatan
• Di sini kamu perlu memainkan dua watak
i- Penyoal
ii- Penjawab
• Cuba “soal” apa yangingin kamu ingat. Kemudian jawab
• Jika kamu dapat mengingat. Teknik ingatan sedang berlaku.

5. Lakukan ULANG KAJI sekerap mungkin
• Baca, baca, baca, dan bacalah selagi ada kesempatan
• Pembacaan yang berulang kali akan mengukuhkan daya ingatan

6. Cuba INGAT semula apa yang kamu telah baca.
• Proses mengingat semula, kebiasaannya dilakukan dalam dua keadaan:
a- Sebelum tidur
b- Selepas tidur
• Kaedah ini mampu mengekalkan ingatan kamu dalam masa jangka panjang.

7. Menggunakan Kaedah AKROSTIK
• Menggunakan Kepala huruf fakta membentuk ayat.
• Contoh: Jenis Kata:



8. Menggunakan Kaedah BUNYI SEAKAN
• Gantikan fakta kepada bentuk cerita

• Contoh: Kelas Makanan

9. Menggunakan Teknik PEMBAHAGIAN NOMBOR
• Bahagikan nombor yang hendak dihafal kepada beberapa bahagian.
• Contoh:

10. Praktikkan Penggunaan SISTEM IRAMA
• Tukarkan ayat atau isi yang hendak dihafal ke dalam bentuk irama.
• Pilih lagu yang paling kamu gemari.
• Ingatan menjadi bertambah kuat jika kamu menggunakan irama lagu artis pujaan kamu.

11. Praktikkan Penggunaan SISTEM GAMBAR.
• Gambarkan objek yang ada kaitan dengan isi yang perlu dihafal.
• Contoh: Kamu ingin mengingat perkataan “bank”. Kaitkan dengan gambar “duit”.

12. Menggunakan KAEDAH AKRONIM.
• Menggabungkan huruf pangkal untuk membentuk satu perkataan yang perlu diingat.
• Contoh: Pengelasan Haiwan

KEMAHIRAN MENCATAT NOTA

Kemahiran mencatat nota yang berkesan perlu asa kemahiran-kemahiran berikut:

1. Kemahiran MENDENGAR
• Digunakan semasa proses pembelajaran
• Boleh dilakukan serentak
• Kefahaman dan pengetahuan boleh ditingkatkan.

2. Kemahiran MEMBACA LAJU.
• Digunakan semasa menyalin nota daripada buku.
• Menjimatkan masa menceduk idea-idea utama.
• Bahan-bahan dapat disusun dengan teratur.

3. Kemahiran MENULIS
• Tulisan perlu jelas kerana jika tidak hanya membuat kerja sia-sis sahaja.
• Mampu menulis dengan cepat dan kemas.
• Tahu menulis menggunakan huruf singkatan boleh melipatgandakan usaha kamu.


4. Catatkan KATA KUNCI sahaja.
• Memilih isi-isi penting sahaja.
• Dapatkan rumusan yang boleh mengukuhkan kefahaman kamu.
• Pastikan penggunaan kata kunci yang dipilih boleh difahami.

5. NOTA RINGKAS dan padat
• Nota yang dibuat mesti kamu fahami sendiri
• Nota yang ringkas danpadat boleh menyegarkan ingatan kamu
• Nota yang dibuat mestilah nota yang boleh meningkatkan tahap ingatan kamu.
6. Gunakan PERKATAAN sendiri
• Cara ini menambahkan lagi daya ingatan atau penghafalan kamu.
• Hal ini kerana nota kamu adalah hak kamu.
• Hanya kamu yang faham apa yang kamu tulis.

7. Faham setiap KATA KUNCI
• Jangan menggunakan kata kunci yang mengelirukan kamu.
• Masa akan terbuang dan usaha kamu adalah sia-sia sahaja jika nota yang dibuat tidak difahami.

KEMAHIRAN MEMBACA

Dalam proses Kemahiran Belajar, kemahiran membaca seharusnya tidak dipandang remeh oleh pelajar. Kemahiran membaca yang betul akan dapat meningkatkan pemahaman dengan lebih berkesan. Oleh itu teknik membaca yang betul amat penting dalam suatu proses pembelajaran, Berikut adalah beberapa teknik dapat membantu mempertingkatkan kemahiran membaca:

1. Membaca secara BERHATI-HATI
• Beri tumpuan terhadap apa yang dibaca
• Cuba fahami fakta-fakta penting sepenuhnya
• Elakkan gangguan radio dan televisyen

2. Membaca secara MENYELURUH
• Bacaan hendaklah menyeluruh daripada pengenalan hingga ayat terakhir
• Jangan anggap bahagian pengenalan kurang apenting
• Bahagian pengenalan memberi gambaran tentang isi kandungan bab.

3. Membaca secara BERULANG-ULANG
• Bacaan berulang membantu mengingat fakta dengan lebih baik
• Isi-isi juga dapat difahami secara mendalam
• Ini dapat mengelakkan kamu tertinggal membaca fakta penting.

4. Membaca dalam SUASANA yang SELESA
• Lampu hendaklah dipasang dengan terang.
• Suasana tempat membaca hendaklah sunyi dan senyap.
• Udara sekitar mestilah mencukupi
• Suhu bilik sederhana. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Jika perlu pasang kipas.

5. Berasa dalam KEADAAN selesa
• Duduk dengan betul
• Pastikan kamu tidak deman, pening, selsema dan sebagainya.
• Jangan berbaring ketika membaca. Kamu mungkin tertidur atau mengantuk.

6. Baca secara PERPERINGKAT
• Peringkat permulaan : baca sekali imbas untuk mendapatkan isi keseluruhan.
• Peringkat seterusnya ; membaca isi untuk mendapatkan maklumat: pada peringkat ini teknik mengingat dan menulis nota digunakan.
7. Cuba BENTUK SOALAN ketika membaca
• Gunakan kaedah 1 husband 6 wives


• Dengan membentuk soalan kamu akan lebih ingat isi yang dibaca.

8. CATATKAN isi yang dibaca
• Dengan mencatat kamu menggunakan tiga kaedah sekali gus: membaca, mencatat, mengingat.
• Ketika mencatat kamu berfikir “Apakah yang perlu dicatat?” Ingatan kamu menjadi lebih tajam.

9. Gunakan BAHAN PEMBELAJARAN LAIN ketika membaca
• Pastikan pen,, highlighter, kamus, penanda buku ada di sisi.
• Tandakan isi-isi penting dengan highlighter.
• Gunakan kamus untuk mencari perbendaharaan kata yang sukar.
• Gunakan penanda buku untuk merujuk semula sesuatu bahagian.
• Gunakan pen untuk menulis isi-isi penting.

Cerpen Remaja Islam

Sayup-sayup terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran dendangan ibu. Dengan mata yang baru terbuka separuh, aku menoleh ke arah jam di dinding. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur aku mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal pula ibu bangun membaca surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi? Belum pernah aku mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari. Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku ternampak Najib, adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di meja tulis comel diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada… tak pernah si Najib ni “study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga sampai pukul dua baru masuk tidur. Apakah dia mendapat petua baru? Atau… adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?

Teringat aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap, Ustaz Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Ada dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru mengetahui masa terbaik untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan, menyihatkan tubuh badan, mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan pemahaman serta lebih mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga malam iaitu antara pukul dua pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi… Najib pun dah tahu.

Aku mengintai ke bilik ibu yang sememangnya tidak berpintu, hanya dihijab sehelai kain pintu berwarna hijau berbunga biru muda dan merah jambu. Ibu masih melagukan ayat-ayat Allah dengan nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah tentu ibu bangun solat malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan Isya’ saja, waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.

Lebih pelik lagi… kulihat ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil. Keadaannya seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras suaranya.

Subhanallah… ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan Naqsyabandiah. Selama inipun memang aku ada mengamalkannya sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu mempelajari ilmu perubatan Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din di universiti dulu. Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah jarang-jarang solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak Ngah nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak. Lepas tu haram tak jejak kaki ke surau.

Aku beredar ke ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup rupanya.

“Dah pukul berapa kak?”

“Emmm… dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.

Shahrul bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku pasti dia sembahyang.

Apa dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…

Aku rasa Shahrul terlena sewaktu membaca kerana ada sebuah buku di kusyen panjang tempat tidurnya tadi. Masih cantik sifat-sifat buku itu, mungkin baru dibeli. Kucuba membaca tajuknya… Perjuangan Wali Songo di Indonesia. Masyaallah, Shahrul boleh tertidur membaca buku tersebut? Aku yakin si Shahrul ni tak pernah baca buku-buku agama pun. Yang diminatinya tak lain itulah… majalah sukan, komik dan hiburan. Seribu satu macam pertanyaan berlegar dalam kepalaku.

Memang pernah ayah dan adik-adik bangun atau berjaga malam… untuk menonton perlawanan bola sepak. Tetapi kali ini mereka bangun untuk beribadah!

Sudah lebih lima tahun aku berusaha untuk menghidupkan roh Islam di rumah ini namun kejayaannya cuma secubit. Keluargaku tidak menunjukkan minat untuk membudayakan Islam dalam rumah kami. Kalau ayah dan ibu sendiri menentang, bagaimana dengan adik-adik? Kak Long Tikah dan Kak Ngah Ilah masing-masing telah berumahtangga, jadi… tak kisahlah. Namun ada keganjilan yang sukar kutafsir tika ini sedang berlaku di dalam rumah.

Selepas solat tahajjud aku terus berbaring. Lesu akibat perjalanan jauh masih terasa. Maklumlah, baru tengah malam semalam tiba dari Kota Jakarta, tempat kubekerja sebaik-baik sahaja lulus dari universiti.

Aku terjaga sekali lagi apabila deruman enjin motosikal menerjah gegendang telingaku. Kalau tak silap itu bunyi motosikal ayah. Motosikal mula bergerak lalu menuju ke jalan besar. Menurut di belakang adalah bunyi kayuhan basikal. Makin lama makin jauh.

“Ada… ooo Ada,” laung ibu sambil mengetuk pintu bilik.

“Ya mak,” sahut ku lemah.

“Bangun solat Subuh ye nak.”

“Ha’ah,” aku patuh.

“Mak… ayah pergi mana?” soalku ingin tahu.

“Ke surau dengan adik-adik… berjemaah.”

Alangkah indahnya suasana fajar kali ini. Inilah suasana waktu fajar yang telah lama kuimpikan. Selama beberapa tahun aku merindukan suasana ini… rindu pada kedamaian, rindu pada ketenangan, rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan hidup berbudayakan roh Islam. Dulu, subuh-subuh begini hanya ada aku seorang… bersama Kekasih, kini sudah ramai… juga bersama Kekasih. Terasa rumahku yang selama ini suram mula bercahaya… telah ada jiwa…

@@@

Aku menolong ibu menyediakan sarapan di dapur. Rezeki kami pada hari itu adalah cempedak goreng. Ayah masih di bilik. Menurut ibu, ayah akan terus berzikir sehingga terbit matahari pada hari-hari cuti. Tidak ada seorangpun ahli keluarga yang berbaring atau tidur. Semua ada aktiviti masing-masing selepas solat Subuh. Bukankah tidur selepas Subuh itu membawa kemiskinan, penyakit, malas dan lain-lain kesan negatif?

Shahrul dan Najib berada di bahagian belakang rumah yang sememangnya agak luas. Pada mulanya aku berasa janggal melihat mereka bersiap-siap. Apabila kutanya jawab mereka “nak riadah, ayah suruh”. Bukankah sebelum ini mereka kaki tidur nombor satu? Kalau hari cuti, dah tentu pukul sepuluh ke atas baru bangun. Lepas bangun menonton televisyen. Tengah hari baru mandi. Sekarang sudah berbeza benar.

Sesekali aku menjenguk mereka melalui tingkap dapur. Kalau tadinya mereka terkejar-kejar berlari anak keliling rumah, kini mereka berkuntau pula. Memang budak-budak berdua ni aktif dalam persatuan silat di sekolah, tapi tak pernah pula mereka berlatih pada waktu pagi. Bergomol dan berkunci-kuncian sampai basah kena air embun di rumput. Ini rupanya riadah mereka. Eloklah… memang digalakkan Islam.

Pagi itu kami menghadap sarapan secara berjemaah, semua ada. Ayah sendiri yang membaca doa beserta maksudnya sekali. Amboi, hebat juga ayah kami ni! Aku mengingatkan adik-adik supaya selalu menyebut nama Allah di dalam hati sepanjang masa makan. Mak dan ayah mengiyakan kata-kataku itu. Seronok rasanya mendapat sokongan mak dan ayah. Sebelum ini kalau aku menegur adik-adik tentang agama, cepat benar muka mereka berubah. Namun Allah Yang Maha Merancang bisa mengubah segalanya. Syukur.

Ayah ke pasar bersama Shahrul sementara Najib pergi ke rumah kawannya Hafiz untuk meminjamkan kaset kumpulan nasyid Raihan dan Diwani. Peluang ini kuambil untuk mengorek cerita daripada ibu.

“Mak, Ada rasa seronok balik kali ini.”

“Iyelah, dah dekat setahun Ada tak balik… tentulah seronok,” balas ibu sambil tersenyum.

“Ada rasa kan mak, rumah kita ni dah ada roh… tak macam dulu…”

Ibu tidak terus menjawab apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kepalanya didongakkan ke dinding, menatap sebuah lukisan pemandangan yang cantik hadiah daripada menantunya Zamri, suami Kak Long. Lukisan itu adalah hasil tangan Abang Zamri sendiri

“Ini semua kerja Allah Ada. Mak sedar Ada sentiasa cuba merubah cara hidup keluarga kita… supaya kita berpegang dengan budaya Islam. Kami pandang remeh aje segala saranan dan teguran Ada.”

Ibu mengalihkan pandangannya ke arahku. “Itulah… kalau Allah nak ubah, siapapun tak sangka.”

“Apa dah jadi Mak?” soalku lebih serius.

“Abang Zamri Ada tu le… bukan sebarangan orang. Dalam diam-diam dia mendakwahkan budaya hidup Islam kat kita. Memanglah mulanya tu kami buat tak tahu… dia berjemaah ke surau ke, dia baca Quran ke, berzikir ke, cara dia berpakaian ke, apa ke di rumah kita ni.”

Memang kuakui Abang Zamri lain daripada yang lain. Sejak mula berkahwin dengan Kak Long lagi jelas perawakannya yang mulia. Gerak lakunya sopan. Tidak pernah meninggi diri.Tidak bergurau berlebih-lebihan. Hormat kepada orang tua. Mengasihi adik-adik. Kalau berbicara dengannya, dia tidak pernah lari daripada berbicara tentang Islam. Dia seolah-olah tidak terpengaruh dengan keseronokan dunia. Tidak ada perkara lain yang dicintainya selain daripada berjuang untuk Islam.

Abang Zamri jarang sangat pernah bercerita tentang kereta mewah, rumah besar, duit banyak, pangkat tinggi, perempuan cantik, muzik, filem, bolasepak, para artis, pakaian cantik dan lain-lain sedangkan semua itu diperkatakan sehari-hari dalam keluarga kami. Sememangnya dia ada kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Entahlah apa yang telah dibuatnya hingga keluarga kami berubah. Ingin kutanya pada ibu tapi… tunggulah nanti, apabila ada masa yang sesuai, insyaallah.

@@@

“Mak, Ayah, Shahrul dan Najib pergi ke rumah mak mertua Kak Long Ada… rumah keluarga Abang Zamri…”

“Mak ke Terengganu?” soalku.

“Iye, cuti penggal sekolah hari tukan Ada tak balik… kami pergi le ziarah besan kami.”

“Habis tu… apa yang jadi?”

Ibu terus bercerita dengan anjang lebar sambil kami melipat kain baju. Menurut ibu, keluarga Abang Zamri bukanlah orang senang. Adik-beradiknya seramai sembilan orang. Namun corak kehidupan mereka sungguh aman bahagia dan tenang Banyak perkara baru yang ibu dan ayah pelajari selama lima hari berada di sana.

Waktu tiba di kampung halaman Abang Zamri, keluarga kami disambut meriah dan penuh hormat. Gembira sungguh mereka menerima tetamu. Masing-masing dengan wajah ceria dan menampakkan ketenangan. Adik-adik Abang Zamri semua mencium tangan ibu dan ayah sementara Shahrul dan Najib dipeluk seolah-olah kawan lama. Ayah dan ibu agak terkejut dengan situasi tersebut kerana sebelum ini anak-anak sendiri pun susah nak cium tangan.

Rumah mereka bersih walaupun tidak mewah. Begitu juga dengan halamannya yang terjaga. Irama nasyid, bacaan al Quran, zikir munajat dan ceramah agama silih berganti kedengaran daripada radio kaset mereka. kalau di rumah kami tu, dari padi sampai ke malam dipenuhi dengan lagu-lagu artis tempatan dan luar negara.

Waktu Subuh sangat indah di sana. Sejak jam empat pagi lagi rumah itu telah dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat. Ada yang bertilawah, ada yang berzikir, ada yang solat dan sebagainya. Kemudian, yang lelakinya beramai-ramai solat fardhu Subh berjemaah ke masjid. Oleh kerana malu-malu alah, Ayah pun terpaksalah bangun dan pergi ke masjid sekali.

Dari awal pagi lagi keluarga Abang Zamri yang lelakinya turun ke pantai yang nampak dari rumah mereka. Mereka duduk mengelilingi Pak Luqman, bapa kepada Abang Zamri untuk mendengar tazkirah pendek. Kemudian adik-adik Abang Zamri yang kecil berlari-lari anak dalam satu barisan sepanjang pantai. Abang Zamri dan bapanya pula membasahkan tubuh dengan air embun yang diambil daripada pokok-pokok kayu. Tujuannya untuk menjaga kekuatan badan. Ayah hanya tersengih apabila dipelawa oleh Pakcik Luqman. Begitulah rutinnya setiap pagi selama ayah dan ibu berada di sana.

Waktu bersarapan tiba. Semua isi rumah ada, tidaklah seperti rumah kami- sarapan sendiri-sendiri. Mereka menghadap makanan dengan wajah yang manis, dimulakan dengan doa. Alangkah mesranya hubungan sesama mereka. Terasa suatu perasaan tenang yang sukar digambarkan. Sepanjnag masa makan, mereka banyak berbucara tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ayah dan ibu terpaksa bermuka-muka kerana tak tahu apa yang nak dicakapkan. Nak menyampuk… takut tak kena pula jalannya.

Selepas mengemaskan rumah secara bergotong-royong, adik-adik Abang Zamri berkumpul di serambi rumah. Mereka disertai oleh dua tiga orang anak-anak jiran. Rupanya mereka berlatih nasyid, siap dengan genderangnya sekali. Mereka mendendangkan lagu-lagu nasyid popular dan juga lagu ciptaan mereka sendiri. Sura mereka yang berharmoni indah bergema sampailah ke tengah hari. Kata emak Abang Zamri, kumpulan nasyid budah-budak itu sering menerima jemputan di sekitar daerah. Selama lima hari di sana, ibu sudah jatuh cinta dengan irama nasyid. Boleh dikatakan setiap album nasyid terbaru mesti dibelinya selepas itu. Dulu, ibu bukan main lagi… dengan karaoke dangdutnya yang terdengar sampai ke tengahjalan. Tentu ibu malu kalau terkenangkannya.

Kononnya hubungan Pakcik Luqman dengan isterinya sangat baik… macam baru berkahwin. Mereka selalu tersenyum dan bergurau, malah nampak malu-malu walaupun sudah tua. Kalau duduk tu… mesti nak rapat-rapat. Isterinya pun bukan main taat lagi kepada suami. Mungkin inilah yang membuatkan ibu dan ayah terasa sangat. Al maklumlah, mereka di rumah memang tak ampak mesra. Bergurau jarang, bertegang leher selalu. Benda kecil pun nak bertekak. Ayah balik dari luar pun tak pernah ibu sambut. Masing-masing dengan hal sendiri. Berbincang hal agama… jauh sekali.

Pelbagai pengalaman baru yang ibu dan ayah dapat di Terengganu. Agaknya mereka telah menemui formula keluarga bahagia… dan mahu mempraktikkannya dalam keluarga kami. Alangkah indahnya keluargaku kini…alangkah sayangnya Allah kepada keluargaku…aku bersyukur kepada-Mu ya Allah.

“Eh, Ada dengar ke apa yang Mak ceritakan ni?” soal ibu apabila melihat aku tersenyum mengelamun.

“Eh… mmm…dengar Mak”, jawabku serba salah.

“Mak sebenarnya berkenan pulak dengan sepupu Abang Zamri di terengganu yang ama Shahrul tu…”

“Alah mak ni… nak cerita pasal kahwin le tu”, cetusku lalu segera beredar ke dapur.



Aku Masih Tak Mengerti

Seperti biasa aku tersedar lagi subuh itu. Sambil menggosok-gosok kelopak mata, aku sempat melihat cahaya pelita di dapur. Pasti emak telah terjaga lebih dahulu. Agaknya emak sedang menjerang air.

Di dalam bilik ku suasana masih sunyi. Di dinding kelihatan cahaya samar kebiruan mencuri-curi ruang. Di luar kokok ayam bersahut-sahutan, kedengaran pendek dan sesekali memanjang. Aku cuba bangun, tetapi kepala ku terasa berat. Pening melayani mimpi malam tadi masih belum hilang.

Aku beralih mencari kedudukan lebih selesa. Rasa mengantuk telah tiada. Ku cuba melelapkan mata. Mungkin bukan masanya untuk ku menyambung tidur. Ku cuba mengangkat kepala sekali lagi. Masih terasa berat. Lalu aku berbaring terlentang memandang bumbung rumah. Nampak titik-titik cahaya menembusi lubang-lubang bekas kena paku.

Aku mula melayani fikiran dan perasaan ku.

*** *** *** ***

"Tak cukupkah lagi duit yang abang beri bulan lepas ?" Tempikan abah malam tadi bergema kembali di telinga ku.

"Cuma kurang sepuluh ringgit sahaja. Hutang kain ela pada Mak Limah..." Suara emak keras cuba mempertahankan. Mak Limah ialah penjual kain baju yang menjaja dari rumah ke rumah.

"Abang mana ada duit lagi." Suara abah meninggi.

"Yang dua ratus ringgit dulu ?" Emak membidas.

"Dah abang simpan semuanya di Pejabat Pos."

"Sepuluh ringgit pun tak ada ?" Emak memperlahankan suaranya.

"Abang kata tak ada, tak adalah !"

Aku cepat-cepat menutup telinga ku. Tak tahan hati ku mendengar pertelingkahan abah dan emak. Aku cuba tidur meniarap. Ku himpitkan bantal di atas kepala sehingga terlena.

Itu adalah kali kedua aku mendengar abah dan emak bertengkar. Setiap kali puncanya adalah wang. Aku tak tahu sejak bila ia bermula. Tetapi rasanya dalam beberapa minggu yang terakhir ini.

Aku begitu terperanjat sekembali dari asrama kelmarin. Ketika itu kaki ku baru sahaja memijak halaman rumah. Adik Man berlari tergesa-gesa ke arah ku. Wajahnya nampak dalam kecemasan.

"Abang Am... Abang Am, abah dan emak berkelahi lagi," katanya dalam keadaan tercungap-cungap keletihan. Sifat kejujurannya jelas kelihatan di usianya yang baru menjangkau sepuluh tahun.

"Bergaduh lagi ?" Hati ku tertanya kehairanan. Selama ini tak pernah aku mendengar, apatah lagi menyaksikan abah dan emak bertengkar. Masakan Adik Man cuba bergurau dengan ku. Hati ku merasa tersentuh melihat Adik Man beria-ia menjelaskan. Aku yakin perasaannya turut terguris.

Aku bergegas membimbit beg pakaian menuju ke rumah. Terdengar suara abah keras menengking. Sebaik sahaja melepasi tangga dan pintu depan rumah, ku lihat abah dan emak terdiam dan saling berpandangan. Aku tidak dapat bersuara. Abah dan emak seolah-olah cuba menyembunyikannya dari ku.

Aku terus masuk ke bilik. Ku lemparkan beg pakaian ke suatu sudut. Dan terus ku rebahkan tubuh ku di atas katil. Banyak kemungkinan yang ku bayangkan dan sebanyak itu pula perkara yang ku khuatirkan.

*** *** *** ***

Lamunan ku mati secara tiba-tiba. Bilik ku menjadi terang. Emak muncul di pintu dengan pelita minyak tanah di tangannya.

"Bangunlah. Hari dah siang. Lekas mandi dan berpakaian. Nanti tertinggal bas pulak." Emak menegur mesra. Namun kemesraan itu tidak dapat ku rasakan sepenuhnya. Kemesraan emak mulai tawar sejak kepulangan ku dua hari lepas.

Aku bangkit perlahan-lahan meninggalkan tempat tidur. Terasa kedinginan pagi mula menyucuk kulit. Teguran emak sekali lagi menjadikan aku pantas menuju ke bilik air.

Selepas berpakaian aku bersarapan bersama emak.

"Abah mana, Mak ?" Aku bertanya sekadar menghilangkan kesepian suasana.

"Masih tidur lagi. Biarlah dulu, nanti emak kejutkan. Habiskan kuih 'tu cepat." Emak seperti tidak suka aku menyebut tentang abah.

Perbualan dengan emak pendek sahaja. Aku tidak sanggup menyoal fasal pertengkaran malam tadi. Aku bimbang kalau-kalau ia akan melukakan hati emak.

"Nah, dua puluh ringgit. Ini sahaja yang mak ada." Emak menghulurkan dua keping duit kertas berwarna merah kepada ku.

Aku menyambutnya dengan berbagai persoalan membelit kepala ku. Apakah makna semua ini ? Apabila teringat punca pertengkaran emak dan abah malam tadi, aku kebingungan. Apakah sebenarnya punca pertengkaran abah dan emak. Aku cuba melupakannya, tetapi amat sukar. Terasa seperti telah sebati di hati ku.

Sejak kembali ke asrama, yang hampir lima tahun ku huni, ketenangan ku telah terlontar jauh. Wajah emak, abah dan Adik Man yang masih kecil tidak mengerti mengganggu perasaan ku setiap ketika. Bukankah sudah hampir tujuh belas tahun aku merasakan kebahagiaan hidup di samping mereka ? Aku benar-benar tidak mengerti mengapa kebahagiaan itu bagaikan dirobek kini. Pertengkaran abah dan emak yang tidak aku fahami merenggut kebahagian yang aku nikmati.

Siapakah yang harus aku salahkan ? Abah atau emak ? Kedua-duanya sangat aku sayangi. Abah sangat aku hormati. Dan emak... Aku sangat terhutang budi pada mu yang menanggung siksa melahirkan dan membesarkan ku.

Aku bingung. Amat bingung. Malah aku turut merasa bimbang. Apakah yang akan terjadi kalau pertengkaran abah dan emak berlanjutan ? Mungkinkah abah dan emak akan berpisah ? Tidakkah aku dan Adik Man yang akan menjadi mangsa ? Tidakkah pelajaran ku akan terganggu nanti ? Mungkin persekolahan ku terpaksa diakhiri. Bagaimana dengan peperiksaan SPM yang akan aku tempuhi ?

Aku mulai risau memikirkan peperiksaan yang akan aku tempuhi tiga bulan lagi. Dapatkah aku mencapai kejayaan yang cemerlang jika ketenangan tiada di dekat ku dalam menghadapi buku-buku pelajaran ? Bagaimana dapat aku menumpukan sepenuh perhatian ketika mengulangkaji pelajaran jika perasaan ku sering terganggu ?

Hari-hari berikutnya ku hadapi dalam keresahan hati.

Ingin rasanya aku menulis kepada abah dan emak. Ingin ku nyatakan betapa ketenangan ku telah tiada. Ingin juga ku nyatakan tentang kebimbangan yang memeluk perasaan ku. Mungkinkah abah dan emak akan memahami maksud dan tujuan ku ? Atau sebaliknya, adakah abah dan emak akan memarahi ku kerana memikirkan hal yang bukan-bukan ? Perkara yang tiada kebenarannya ! Ah... masakan ia tidak benar sedangkan ia berlaku di depan mata ku.

"Ayahanda dan Bonda," begitulah aku akan memulakan tarian pena ku seperti selalu. Tetapi dapatkah aku terus menulis ayat-ayat yang bergelora di benak ku ?

Selama ini aku tidak pernah menulis hal-hal begini kepada abah dan emak. Selalunya aku cuma menyatakan kegembiraan dalam menghadapi kehidupan seharian di asrama. Sering juga aku menyatakan kemajuan yang ku capai dalam pelajaran. Dan kerapkali pula aku menyakinkan abah dan emak yang aku akan dapat menebus keputusan yang tidak memuaskan penggal lepas. Tidak pernah aku menulis hal-hal yang mungkin akan menimbulkan kebimbangan abah dan emak.

Haruskah aku berterus-terang sekarang ? Tidakkah nanti abah dan emak akan merasa tersinggung membacanya kerana aku mengsyaki perkara yang kurang baik itu ? Perkara yang ku anggap boleh terjadi dalam keluarga ku. Mengapakah aku terlalu memikirkan berbagai-bagai kemungkinannya ? Tidakkah aku ini terlalu banyak prasangka ? Entahlah. Aku sendiri tidak dapat menilai diri ku.

Bagaimana pula kalau aku bincangkan perkara ini dengan rakan-rakan ? Asri yang kelihatan riang itu tentu tidak keberatan menolong. Azman yang sentiasa mendapat nombor satu di kelas ku mungkin boleh dipakai pendapatnya. Atau adakah lebih baik aku menemui guru pembimbing ku sahaja ? Ah... tak mungkin kerana perkara sekecil itu pun aku harus menemuinya. Apa pula katanya nanti. Tidakkah nanti dikatanya aku murid tingkatan lima yang lemah minda ? Kalau diherdiknya aku dengan kata-kata, "Perkara remeh-temeh pun tak boleh nak selesaikan !", alangkah malunya aku nanti.

Masih ku ingat lagi bagaimana dulu seorang rakan ku dimarahi kerana membawa masalah putus cinta kepadanya. "Ini waktu belajar, bukan waktu nak bercinta-cintaan !" Tengking guru pembimbing itu. Aku tidak sanggup menerima nasib yang sama seperti rakan ku itu.

Entahlah. Kepada siapa lagi tempat ku mengadu ? Haruskah aku membiarkan ia berlalu sendiri ? Haruskah aku terus membiarkan hati terus resah ? Haruskah aku membiarkan pelajaran ku terus terganggu ?

Terasa keresahan dan kesepian menyelubungi hati walaupun berada di tengah rakan-rakan seasrama yang ramai. Mungkinkah mereka menyedari penderitaan yang melanda hati ku ? Mungkinkah ?

Sudah seminggu berlalu. Tetapi aku masih tidak nampak tanda-tanda masalah ku akan selesai. Masih tidak nampak tanda-tanda keresahan hati ku akan hilang.

Cuma petang itu tanpa diduga aku merasa seolah-olah segala masalah ku akan berakhir.

Abah datang ke asrama bersendirian petang itu. Inilah yang menghairankan ku kerana abah sebenarnya jarang melawat ku. Malah boleh dikatakan tidak pernah walaupun aku sering mengharapkannya. Cuma sekali ketika menghantarku pada kali pertama dahulu. Ketika itu emak dan Adik Man turut bersama.

Aku tidak tahu apakah tujuan kedatangan abah. Abah cuma bertanya serba-sedikit tentang pelajaran ku. Abah menyuruh aku belajar lebih tekun lagi di samping nasihat-nasihat yang takkan ku lupakan. Nasihat yang sering abah ulangkan, "Tanpa ilmu hidup takkan sempurna."

Ketika abah hendak pulang barulah aku tahu yang aku telah dilalaikan oleh sangkaan bahawa masalah ku telah selesai. Aku merasa seperti baru dikejutkan dari lena tidur.

"Ini wang dua ratus ringgit untuk bayaran yuran peperiksaan." Abah menghulurkan sekeping sampul biru pada ku sambil wajahnya membayangkan kemurungan. Abah mendakap ku seakan tidak mahu berpisah dengan ku. Aku seakan memahami walaupun abah tidak menjelaskan.

Aku menatap wajah abah dan merasa terharu. Aku masih tidak memahami semua yang berlaku. Mengapa ia terjadi ? Mengapa ?

Dan tiga hari kemudian sebelum persoalan-persoalan dalam kepala ku terjawab, sepucuk surat tiba ke tangan ku. Aku kenal tulisannya. Pasti surat dari emak. Seperti juga kunjungan abah dulu, isi surat dari emak serupa sahaja nadanya. Emak mahukan aku belajar bersungguh-sungguh. Dan yang paling menyentuh hati ku:

"...Bonda akan menanggung segala perbelanjaan pelajaran Anakanda walau setinggi mana sekali pun..."

Barulah aku sedari, selepas mengunjungi ku di asrama, abah tidak lagi pulang ke kampung. Serasa hendak terlepas surat emak dari cengkaman jejari ku. Hanya yang semapat aku bisikkan:

"Abah, emak... berilah aku kepastian. Apakah makna semua ini ? Aku, anak mu, masih tidak mengerti."

Airmata ku tiba-tiba menitis dan membasahi pipi.



Senja Berubah Wajah

Kisah ini memang telah lama ingin ku ceritakan kepada mu. Ia seakan telah menjadi rahsia bagi ku. Dan kau sering mempersoalkannya, Man. Kenapa ? Tetapi kadang-kadang terfikir juga di hati ku, apalah ertinya rahsia kalau rahsia itu sendiri diragui samada benar ia adalah suatu rahsia.

"Demi persahabatan ini, kau harus ceritakannya, Anis." Kau pernah berkata pada ku, Man.

Lalu setelah ku fikirkan beberapa lama dan aku menyedarinya, aku mengambil keputusan menceritakannya kepada mu, Man. Tetapi selepas ini, selepas ku ceritakan kisah ku ini, usahlah kau meminta lagi kerana diri ku tidak terbendung dengan rahsia-rahsia yang sering kau persoalkan itu.

Dan janganlah kau menagih harapan dari ku. Seluruh pintu hati ku telah tertutup dan kau tidak mungkin dapat membukanya. Dan kau juga harus tahu, tekad ku hanya satu ketika datang ke Semenanjung ini.

Ia terjadi tiga tahun yang lalu. Sebelum kita sama-sama menuntut di bawah lindungan menara gading ini. Di kala itu aku masih berada dalam tingkatan lima di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur (seperti yang pernah ku katakan pada mu dulu, Man). Ia merupakan suatu hari yang terpenting dalam hidup ku. Maksud ku, hari yang sedemikian itu tidak mungkin ku alami sekali lagi. Dan hari itu tak mungkin dapat ku lupakan.

Selepas makan tengahari, sewaktu keluar dari dewan makan asrama, seorang teman (tentunya teman seasrama ku) menegurku. Teman ku itu memberikan sepucuk surat kepada ku. Aku seakan tampak kelainan pada surat itu yang sedikit-sebanyak menggetarkan hati ku untuk membukanya. Ku rasakan surat itu tidak seperti surat-surat lain yang pernah ku terima. Surat itu membayangkan suatu kemungkinan yang sering mengganggu ketenangan hati ku - ketenangan hati gadis ku dalam menghadapi pelajaran setiap hari dan peperiksaan tidak lama lagi.

Surat itu datangnya dari kampung. Kak Izah (satu-satunya kakak ku yang telah pun kau kenali) yang mengirimkannya kepada ku. Surat itu menyatakan tentang ayah yang sering menyebut-nyebut nama ku. Aku merasa agak hairan. Rindukah ayah pada ku ? Surat itu juga menyatakan tentang adik ku yang sudah pandai berjalan-jatuh. Aku tahu Kak Izah memang pandai mengasuh adikku sejak kematian ibu. Tetapi yang paling tak ku duga dan tak terlintas di fikiran ku selama ini, surat itu jugalah yang memberitahu ku tentang ayah yang sedang sakit kuat. Buat pertama kali perasaan gadisku tersentuh di kala itu.

Ku ulangi membacanya seolah-olah kurang yakin dengan apa yang telah ku baca. Tapi itulah yang tercoret di helaian kertas putih itu pada kali kedua aku menatapnya. Surat itu menyatakan tentang ayah yang sedang sakit kuat.

Memang telah ku ketahui sejak dulu lagi ayah selalu sakit. Setiap kali ayah batuk akan mengeluarkan darah. Aku tidak pasti penyakitnya. Tetapi menurut Kak Izah ayah mungkin diserang TB. Ayah begitu lama menderita kerana penyakitnya. Kadang-kadang, kata ayah, dia terlalu lemah. Ada kalanya ayah mengerang sepanjang hari. Bila diajak menemui doktor ayah mengatakan dia sihat, cuma demam panas biasa sahaja. Itulah sahaja alasan ayah yang membuatku dan Kak Izah serba-salah. Takutkah ayah menemui doktor ? Lama dulu dalam ingatan ku, Tok Berahim dukun di kampung ku pernah menyakinkan aku yang ayah akan sembuh beberapa hari sahaja lagi. Seharusnya ayah telah sembuh. Tetapi surat itu membuat ku ragu akan kebenarannya.

Rasa ku ayah sakit kerana terlalu teruk bekerja. Tiada siapa yang membantu ayah di ladang. Semasa ibu masih ada, ayah tidak seteruk kini kerjanya. Agaknya memang telah ditakdirkan, ibu pergi sewaktu melahirkan adikku yang bongsu - ahli kelima dalam keluarga ku.

Kak Izah terpaksa berhenti kerja sebagai kerani walaupun baru beberapa bulan beroleh kesenangan dari kerjanya. Kak Izah terpaksa mengasuh adikku. Malah terpaksa menguruskan rumahtangga menggantikan tempat ibu.

Kau mengatakan kehidupan keluarga ku mewah berdasarkan kepada keadaan diri ku yang serba cukup di sini. Tetapi kau tidak tahu apa yang sebenarnya dialami oleh keluarga ku. Kehidupan ku tambah sulit sejak kematian ibu. Ayah tidak larat lagi mengerjakan ladang seluas tiga ekar itu. Tapi aku benar-benar hairan mengapa ayah tidak mahu mengupah orang lain mengerjakannya. Cuma kata ayah, ladang itulah kehidupannya. Kata ayah lagi, dia masih berupaya walaupun sebenarnya paling ketara padaku, ayah sudah tak berdaya mengerjakannya sendirian. Semasa ibu masih ada sering juga dia menolong ayah. Tidaklah seteruk kini kerja ayah. Kasihan sungguh ayah.

Aku meneliti kembali surat dari Kak Izah. Baris demi baris ku baca. Sampai ke bahagian yang tampak lebih kasar tulisannya, mungkin disengajakan oleh Kak Izah, ingatan ku segera melayang ke kampung. Teringat ayah yang sedang sakit. Mungkin ayah sedang terdampar di atas katil di dalam biliknya. Mungkin ayah sedang mengerang kesakitan, terbatuk-batuk dan muntah darah. Dan berbagai lagi telahan serta kemungkinan tentang ayah yang tak ku ingini. Bila mengenangkan hal itu aku jadi takut. Hati ku tiba-tiba jadi gelisah. Jantung ku berdegup semakin kencang. Seakan senja itu akan berubah wajahnya.

Ku sampaikan berita tentang ayah pada teman sebilik ku. Kesal juga hati ku menceritakan keadaan ayah pada teman-teman. Aku seakan cuba menagih simpati dari mereka. Bahkan aku seakan mengharapkan belas-ihsan mereka.

Ruslina cuma diam membisu bila mengetahui keadaan ayah. Rohana dan Salmi tidak bergerak-gerak dari katilnya. Mungkin seronok seolah-olah sedang menonton cerita tentang ayah ku. Ayu kelihatan sedih. Tapi kesedihan itu tampak terlalu berlebihan. Ia merupai satu kepura-puraan. Dan ini menambahkan lagi pilu di hati ku. Hanya Marlia yang benar-benar simpati. Itu aku pasti. Namun aku masih ragu-ragu pada kejujuran hatinya itu. Mungkinkah ia juga satu kepura-puraan ?

"Kau mesti pulang segera, Anis," usul Marlia ketika kami bersiap-siap untuk makan malam.

"Tapi aku takut tertinggal pelajaran," kata ku.

"Sehari dua, apa salahnya," tingkah Salmi.

"Takkan menggagalkan," sampuk Ayu pula.

Aku cuba menerangkan kedudukan yang sebenarnya dan betapa risaunya hati ku mengenangkan peperiksaan SPM yang semakin hampir. Cuma sebulan sahaja lagi. Tapi kegelisahan hati ku lebih dekat pada ingatan terhadap ayah yang sedang sakit kuat.

"Lambat lagi," kata Ayu selamba. Ruslina terus mendiamkan diri. Macam patung dalam makmal sekolah, bisik hati ku.

"Satu bulan..." Aku memotong. Suara ku meninggi. Ku cuba menegakkan kebenaran.

"Tapi kau mesti pulang," desak Marlia kemudian.

"Peperiksaan, bagaimana ?" Aku masih mempertahankan. Namun terasa satu desakan halus jauh di lubuk hati ku menyuruh pulang. Ayah sedang sakit kuat. Seakan ada suara memanggil ku pulang. Suara ayahkah itu ?

"Lebih baik kau pulang, Anis. Daripada kau menyesal kemudian nanti," kata Marlia lagi.

Dan kata-kata itu memberi kesan dan kesedaran yang mendalam di hati ku. Aku mesti pulang. Ayah sakit kuat. Aku mesti pulang ! Tapi untuk menyeberangi Laut China Selatan itu pasti akan menghabiskan seminggu waktu ku. Dan mungkinkah aku akan kembali ke Semenanjung dengan keyakinan untuk menghadapi peperiksaan setelah melihat ayah terlantar kesakitan.

Fikiran ku terganggu lagi. Peperiksaan telah hampir benar. Cuma sebulan lagi. Peperiksaan itulah yang akan menentukan kejayaan dan kegagalan hidup ku di masa depan. Hati ku terasa berbelah-bahagi. Antara peperiksaan dan ayah. Antara ayah dan peperiksaan. Kedua-dua sama penting bagi ku. Ayah penting dalam hidup ku. Tetapi peperiksaan juga penting sebagai penentu masa depan ku. Yang mana satu harus ku utamakan.

Lewat jam dua belas malam itu aku masih belum dapat melelapkan mata. Fikiran ku terganggu lagi bagaikan ada sesuatu yang datang menyerang. Begitu juga sewaktu kelas persediaan malam yang berakhir jam sepuluh setengah tadi. Aku tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada buku-buku. Ku paksa diri ku membaca apabila teringat pada peperiksaan. Tapi secepat itu pula aku teringat kampung yang jauh di kawasan pendalaman Sarawak sana. teringat ayah yang sedang sakit kuat.

Ku paksa mata ku lena. Tapi sia-sia. Malah aku bertambah risau lagi. Terkenang pada ayah yang ku kasihi. Adakah aku akan terus memilikinya ? Fikiran ku bingung untuk menjawabnya. Adakah ayah akan pergi sebelum sempat aku menatap wajahnya ? Bagaimana kalau aku kehilangan ayah ? Pertanyaan demi pertanyaan menujah benak ku. Aku tewas menghadapi keresahan hati ku. Adakah aku harus memilih antara dua, ayah atau peperiksaan... atau tidak kedua-duanya ?

Ku cuba menentang gelisah hati ku. Ku cuba melawan kacau-bilau fikiran ku. Tapi aku terus tewas. Aku terus tumpas dalam gelora fikiran ku. Dan aku masih dalam keadaan serba-salah mengenangkan ayah dan peperiksaan ku.

Ku tekadkan hati ku untuk memilih salah satu darinya. Ayah tentulah lebih penting dari segalanya. Ayah lebih penting. Sedangkan ibu telah pergi. Kini ayah pula ingin dibiarkan pergi sendirian. Tidak ! Aku tak rela ayah pergi. Aku mesti pulang. Aku mesti jumpa ayah. Ayah yang ku kasihi. Ayah, anak mu akan pulang menemui mu...

Tapi satu suara jauh di sudut hati ku mematikan tekad ku. Peperiksaan juga sama pentingnya. Aku kembali menjadi serba-salah walaupun telah bernekad untuk pulang. Sekiranya aku pulang adakah aku akan beroleh ketenangan menjelang saat-saat akhir peperiksaan ? Tapi di sini juga tiada ketenangan bagi ku. Kebuntuan menusuk fikiran ku sekali lagi.

Kasih ku pada ayah menguatkan kembali tekad ku. Aku mesti pulang. Walau apa pun yang terjadi aku tetap akan pulang. Aku mesti jumpa ayah. Ayah yang merindui ku. Dan ayah yang ku kasihi. Aku mesti pulang pada hujung minggu ini. Aku terus terkenangkan ayah. Terkenangkan masa lalu ku bersama ayah.

Betapa deritanya hidup ayah sejak kematian ibu. Ayah sayangkan ibu. Tapi sayang ayah ada batasnya. Ibu pergi. Pergi menyahut panggilan Ilahi. Dan ayah sentiasa tabah menghadapi dugaan ini. Namun sering juga, selepas kematian ibu, ku lihat ayah termenung. Ayah banyak termenung dan menjadi kurang mesra dengan ku. Malah dengan Kak Izah pun begitu. Lama kemudian barulah ada sedikit perubahan pada diri ayah. Tapi kemesraan ayah sudah tidak sama seperti ketika ibu masih ada.

Pernah satu ketika aku menyarankan pada Kak Izah supaya ayah berkahwin lagi. Tapi Kak Izah sendiri tidak berani mengusulkannya pada ayah. Kak Izah agaknya memang tahu ayah sangat sayangkan ibu. Atau mungkin Kak Izah khuatir dengan kemungkinan jawaban yang akan diberikan oleh ayah. Aku pun mengerti perasaan ayah pada ibu. Akhirnya saranan ku hilang dari fikiran ku.

Dan apabila aku mengusulkan pada ayah agar diberhentikan sahaja persekolahan ku, Kak Izah pula yang menghalang. Ayah tidak mempersoalkan. Aku benar-benar tidak mengerti sikap ayah terhadap persekolahan ku. Cuma yang ku sedari ayah terus membiayai pelajaran ku hingga kini.

Tak ku sedari bila aku terlena.

Rupanya siang yang datang bukanlah merupakan satu kebahagiaan bagi ku. Cerah di langit bukanlah untuk ku. Tetapi mendung di ufuk barat seakan telah dikhaskan untuk ku. Aku seakan telah dapat merasakannya. Hal itu pasti akan terjadi walaupun aku tak menghendakinya. Dan aku tak pernah memintanya.

Mengapa ini harus terjadi ?

Apabila seorang pekerja sekolah datang ke kelas mencari ku, aku telah dapat merasakan debaran pertama dada ku. Aku cuba bertenang. Akan tetapi telegram di tangannya hampir menghilangkan semangat ku. Jantung ku tiba-tiba berdegup kencang seakan telah mengetahui apa yang akan terjadi. Dan tambah kencang lagi bila diberitahu bahawa telegram itu sememangnya ditujukan pada ku.

Aku menatap sebaris ayat yang ringkas terdiri dari beberapa patah perkataan. Aku telah merasakan hal itu akan berlaku. Ia akan berlaku. Pasti akan berlaku.

Terasa pandangan ku kabur. Kesedihan mencengkam hati ku. Airmata ku tiada dapat ku tahan lagi, menitis dan membasahai pipi ku. Aku menangis perlahan-lahan. Beberapa orang teman memimpin tangan ku. Tiada yang dapat ku kesalkan lagi. Dan tiada suatu apa pun yang ku fikirkan kecuali bersiap untuk pulang ke kampung.

Ayah yang ku kasihi telah pergi. Ayah telah pergi tanpa ku berada di sisinya. Ayah pergi sebelum aku dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Pergi dalam keharuan perasaan ku. Mengapa begitu cepat ayah pergi ? Aku sangat menyayangi ayah. Ayah yang tak ku ketahui isi hatinya. Yang tak ku ketahui penderitaan batinnya. Perginya ayah merupakan satu kehilangan bagi ku. Satu bayangan kegelapan masa depan hidup ku, Kak Izah dan adik ku.

Dan ketika aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada hari itu, bayangan tubuh ayah yang terbujur kaku memenuhi ruang mata ku. Juga terbayang di hati ku kegagalan pelajaran ku sekiranya berakhir persekolahan ku.

Dengan langkah longlai aku meninggalkan kelas pagi itu. Kegagalan semakin dekat pada ku. Dan benarlah senja itu telah berubah wajah. Di dalam hati ku seakan terdengar kesepian menjentik. Sebentar lagi malam akan menjelang. Tapi esok yang datang masih belum dapat dipastikan.

"Selepas itu, macam mana kau boleh berada di sini, Anis ?" Kau pasti bertanya lagi, Man !


Hujan Turun Lagi


Entah berapa lama dia duduk termenung di tangga depan pondok buruknya. Fikirannya melayang jauh. Mengenangkan masa depannya yang gelita, fikirannya seakan terganggu. Dia tidak tahu berapa lama lagi kehidupannya akan terus begini. Dia sudah tidak berdaya menahan sengsara. Dia sungguh tersiksa dengan keadaan yang terus berlanjutan itu.

Hari ini dia tidak dapat menoreh. Begitu juga semalam. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini hujan turun begitu lebat. Kadang-kadang turun beberapa hari tanpa henti-henti. Sungguhpun hujan tidak menyebabkan bencana kepada keluarganya dan pondok yang usang ini, tetapi hujan telah menimbulkan sengsara kepada diri dan kehidupannya. Dalam kehidupan semiskin ini mampukah dia bertahan lagi ?

Telah beberapa hari pekerjaannya terhalang kerana hujan. Dan entah berapa kali pula dia duduk termenung di tangga depan pondok buruknya sambil mengenangkan masa depannya. Hatinya merasa terharu bila memikirkan betapa isterinya bekerja lebih teruk darinya di waktu-waktu begini. Tetapi berapa senkah yang diperolehi dari upah mencuci pakaian itu ?

Perasaannya tambah terharu mengenangkan susah-payah isterinya demi sesuap nasi untuk perut mereka yang sentiasa perlu diisi. Kesalkah isterinya berkahwin dengannya, dengan kehidupan sesempit itu ? Hatinya kerap menyoal ragu. Tetapi dirinya tak mampu menjawab pertanyaan itu.

Hatinya tambah gundah dikhuatiri kalau isterinya akan menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Dia pasti tidak dapat memenuhi permintaan-permintaan itu walaupun permintaan itu hanya direka oleh khayalan dan kegusaran hatinya.

Dia meneruskan menungan panjangnya sambil menatap langit. Terbayang sinar gelap di depan matanya. Semakin jauh dia merenung ke depan semakin gelap pandangan di situ. Hingga di suatu ketika dia seolah-olah tidak dapat melihat kehidupannya. Di situlah ditemuinya kehidupan yang sukar dimengerti. Di situlah juga jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Cukupkah sudah amal ku di bumi ini ? Hatinya diburu kebimbangan.

Beberapa saat kemudian suara isterinya sayup di dapur mengajaknya sarapan. Lamunannya tiba-tiba mati di situ. Tetapi dia masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Diperhatikannya bunga-bunga segar kurus melidi di depan pondok buruknya. Ah... kau pasti bahagia jika keadaan berterusan begini. Hatinya berkata sendirian. Sesekali matanya menjeling cucur atap nipah pondok itu. Ada titis-titis jernih di situ. Kesan-kesan hujan lebat malam tadi masih dapat dilihat. Tetapi dia tidak begitu menghiraukannya. Pandangannya beralih ke arah gumpalan awan hitam di langit. Tanda-tanda hujan akan turun lagi jelas kelihatan pagi itu. Hatinya bertambah resah.

"Sarapan dah siap, Bang."

Sekali lagi suara isterinya bergema memecah keheningan pagi di dalam pondok buruknya. Kali ini lebih kuat tetapi lembut pada pendengarannya. Dia tersintak dan bingkas bangun.

"Ha...ah, abang datang ni." Suaranya hampir tak kedengaran. Hilang dalam hentak kaki dan keriut lantai pondok buruknya.

Dia tahu kalau panggilan isterinya tak bersambut, akan lebih lantanglah suara itu. Dan kalau dia terus membisu, akan kedengaran pula suara isterinya berceloteh. Itu akan menambahkan lagi sayu hatinya walaupun dia faham isterinya itu seorang perempuan. Sayunya hanya dia yang merasa. Tetapi dia tidak pula mahu menegur isterinya kerana dia ragu-ragu kalau-kalau isterinya akan berasa hati dari tegurannya itu. Dia sangat khuatir pada kemungkinan kata-katanya akan menyakitkan hati isterinya. Dia akan lebih merasa bahagia jika setiap patah perkataannya sentiasa menggembirakan hati isterinya. Dan sepanjang-panjang kehidupan bersama isterinya, kebahagiaan seperti itu masih belum terusik.

Dia menghadapi sarapan pagi bersama isterinya dengan selera yang seakan tersekat. Tekaknya terasa sukar menelan lepat pisang yang masih panas. Kopi pahit yang masih berasap dihirupnya dengan paksa. Dia tidak mahu melihat perubahan serta-merta di wajah isterinya walaupun sarapan pagi itu tidak memuaskan seleranya. Tetapi dia lebih menyedari akan keperitan hidupnya. Kesukaran hidup di musim tengkujuh ini.

Tidak banyak yang dibualkan bersama isterinya ketika sarapan pagi itu. Dia benar-benar telah kehabisan bahan perbualan. Kisah semalam yang telah beberapa kali diceritakan kepada isterinya diulangnya sedikit. Dia tidak pasti samada isterinya telah bosan mendengar kisah-kisah itu. Ia berupa cebisan-cebisan bahagia di dalam sengsara hidupnya. Juga tentang harapan-harapan yang lebih merupakan suatu mimpi indah.

Sarapan pagi itu segera diselesaikannya. Dan dia kembali semula ke tangga depan pondok buruknya. kembali dalam menungannya. Dilihatnya awan hitam semakin pekat di langit. Renungan matanya berlari di antara beberapa ekor burung layang-layang yang kegirangan menanti hujan. Keluhan yang sangat berat dilepaskannya perlahan-lahan seperti ingin melepaskan sesuatu yang merunsingkan hatinya.

Matanya merenung jauh. Tetapi fikirannya tidak selaras dengan renungannya itu. Fikirannya berada lebih jauh mengenang masa silamnya. Dia terkenang kedua orang tuanya yang sangat mengasihinya. Dialah anak sulung dan dialah anak yang bongsu. Segala kasih-sayang ayah dan ibunya tumpah kepadanya. Tetapi dia tidak diberikan kemanjaan. Ayahnya mengajarnya menjadi anak yang bertanggungjawab. Dia tidak diberikan kemewahan, tetapi kehidupannya ketika itu tidaklah sengsara seperti kini. Dia telahpun merasakan beban derita dalam hidupnya. Tetapi ketika itu dia hanyalah seorang anak. Tentunya derita itu lebih kepada kedua orang tuanya. Tentunya derita itu tidak seperti kini. Seperti yang ditanggungnya sendiri.

Dia teringat kepada anaknya yang menuntut di sekolah berasrama penuh di ibukota. Seperti juga dirinya, hanya seorang itulah anaknya. Dia bersyukur kerana telah dikurniakan seorang anak lelaki yang pintar dalam pelajaran. Tidak seperti dirinya dahulu yang hanya belajar di sekolah pondok. Setiap hari menahan perit rotan Pak Imam masjid gurunya itu.

Anaknya kini tentu hidup gembira di samping rakan-rakannya. Makan pakainya yang serba cukup. Hidup serba teratur. Tapi dia, dia dengan isterinya di desa ini dengan sengsaranya. Dengan derita hidupnya. Tidak tahu bagaimana besarnya kota seperti yang diceritakan oleh anaknya beberapa bulan dahulu. Hidupnya tersepit di desa pendalaman ini. Tidak pernah menghirup udara kota yang selalu bermain dalam khayalannya. Takkah derita ini seolah-olah telah dikhaskan untuknya seorang ?

"Milah pergi, bang." Suara isterinya jelas kedengaran. Menghentikan seketika menungan panjangnya.

Dia tidak menjawab kerana dia tahu walaupun dia tidak mengizinkan, isterinya akan pergi juga. Selama ini memang dia tidak pernah menghalang kemahuan isterinya. Dia sedar betapa besar pengorbanan isterinya dalam kehidupannya di waktu-waktu begini. Namun begitu ada kalanya pengorbanan isterinya menimbulkan rasa ragu dalam dirinya. Adakah pengorbanan itu untuk dirinya sendiri ?

Pada waktu-waktu susah begini dia kadang-kadang lupa pada kesulitan yang dihadapi oleh anaknya di ibukota. Dia merasakan wang biasiswa Kerajaan Negeri yang diterima sudah memadai bagi membiayai pelajaran tingkatan lima anaknya itu. Dia masih ingat lagi kata-kata anaknya, sekiranya dia lulus dalam peperiksaan akhir tahun ini dengan baik, dia mungkin akan diterima memasuki salah sebuah pusat pengajian tinggi tempatan. Itulah yang diharapkannya. Dan dia berdoa siang dan malam supaya anaknya berjaya. Supaya dia juga dapat mengecap nikmat kejayaan anaknya itu.

Detik-detik yang berlalu dirasakannya terlalu lambat. Dan setiap saat yang berlalu itu menambahkan lagi garis-garis duka di wajahnya. Menampakkan keresahan yang mendalam dan tersimpan. Keluhannya terlepas untuk kesekian kalinya tanpa secebis malu. Namun kegelapan hidupnya masih belum menampakkan tanda-tanda akan berakhir. Dan dia masih tertunggu-tunggu kedatangan hari yang bahagia itu. Tapi bila ? Pertanyaan itu mengikis sedikit demi sedikit harapannya yang semakin malap.

Terfikir juga di hatinya hendak ke hutan mencari sesuatu. Sesuatu yang boleh menghasilkan pendapatan. Mengingatkan tentang wang seolah-olah timbul rasa benci dalam dirinya. Wang seolah-olah menjadi penentu hidupnya. Tanpa wang seolah-olah dia tidak dapat meneruskan hidup. Hidup tanpa wang samalah seperti hidup tanpa memiliki sesuatu pun. Malah tidak keterlaluan dia mengatakan hidup tanpa wang samalah seperti dirinya dan pondok buruknya yang kosong dan usang. Yang menanti saat-saat akhirnya.

Tetapi dalam cuaca seperti ini segala yang ingin dilakukannya terbantut. Dia seakan benci pada hujan tetapi dia tidak pula memarahi katak yang dikatakan kerap memanggil hujan. Anih benar pada fikirannya. Mengapakah hujan yang merupakan rahmat dari langit itu menyempitkan lagi kehidupannya ? Kehidupan penoreh getah sepertinya.

Hatinya bertambah resah. Tetapi bagaimanakah dapat dia menghilangkan keresahan itu ? Pertanyaan itu kadang-kadang begitu menyesakkan fikirannya. Apakah yang dapat dilakukannya hari ini untuk menghilangkan keresahan itu ? Bekerja ? Tetapi apalah kerja yang dapat dibuatnya selain dari kebolehannya menoreh tiap-tiap batang pokok getah di kebun yang tak seberapa luasnya itu. Pertanyaan demi pertanyaan terus berlegar dalam fikirannya. Dan satu demi satu ia berlalu jauh dari fikirannya tanpa sempat diberikan jawaban.

Menjelang matahari 45 darjah di langit, dia masih lagi keluh-kesah duduk di tangga depan pondok buruknya. Sesekali dia masuk ke dapur untuk mencedok sedikit air dari tempayan besar. Langit semakin gelap tetapi hujan masih belum turun. Awan hitam di langit seakan cuba menyiksa fikirannya. Jika hujan turun petang ini, esok pasti dia tidak dapat menoreh. Dan dia akan duduk termenung lagi di tangga depan pondok buruknya.

Lamunannya sekali lagi mati apabila terlihat lembaga jauh di hujung lorong menuju kerumahnya sedang menghampiri pintu pagar kawasan rumahnya yang diperbuat dari buluh itu. Ia kelihatan seperti seorang perempuan. Semakin hampir pastilah lembaga itu isterinya. Tetapi apakah yang dijunjungnya ? Hatinya terdesak ingin segera mengetahuinnya.

"Kenapa ?" Soalnya pantas sebaik sahaja isterinya menjejak halaman rumah.

Isterinya tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya dia berceloteh panjang semasa mencedok air tempayan depan rumah menggunakan gayung tempurung kelapa. Air itu digunakan untuk mencuci kaki yang terkena lecah. Isterinya terus merungut pasal isteri Pak Osman tempat dia bekerja yang menyuruhnya pulang dengan sebakul pakaian yang baru separuh siap dicuci.

"Hari 'ndak hujan. Dia suruh bawakan esok sahaja," tambah isternya.

"Upahnya ?" Potongnya pendek. Dia pun tak tahu mengapa begitu cepat pertanyaan itu keluar dari mulutnya.

"Esok," jawab isternya tanpa menoleh kepadanya. Tetapi terus sibuk mengasingkan pakaian yang sudah dan belum bercuci

Dia melihat isterinya bekerja tanpa ada sedikit pun keinginan untuk turut membantu.

Apabila isterinya berlalu ke dapur, dia kembali mengenangkan kehidupannya. Mengenangkan kesusahannya. Dan mengangankan kebahagian masa depannya. Tetapi tiba-tiba dia merasakan sesuatu menimpa tangannya. Suatu percikan halus, jernih dan dingin. Suatu petanda yang tidak diingininya.

Titis-titis hujan mula menimpa atap nipah pondok buruknya. Menimpa daun-daun di sekeliling rumahnya dan menimpa bumi. Wajahnya menjadi sugul. Direnungnya langit yang gelap pekat seperti melihat kegelapan hidupnya yang berterusan. Kegelapan langit semakin kabur bersama rintik hujan yang semakin deras turunnya.

Tiba-tiba pandangan matanya berlari ke hujung jalan di depan rumahnya. Tertumpu pada motosikal merah yang jarang mengunjungi rumahnya. Motosikal itu bergerak pantas seakan cuba melarikan diri dari rintik-rintik hujan. Dan sepantas itu juga anak matanya berlari menyoroti motosikal merah itu.

Dadanya berdebar apabila motosikal merah itu masuk ke simpang jalan menuju ke rumahnya dan seterusnya singgah betul-betul di hadapan rumahnya. Di hadapan tangga tempat dia duduk termenung.

Dalam debaran itu dia segera terkenangkan kepada anaknya. Apakah berita yang akan diterimanya kini ? Mungkin berita yang sama seperti selalu setiap kali kedatangan motosikal merah itu. Berita anaknya perlukan wang belanja persekolahan.

Setelah penunggang motosikal merah berunifom itu menegurnya, dia segera menyambut sampul biru bertulisan tangan yang amat dikenalinya itu. Yang pasti itulah surat dari anaknya. Kemudian motosikal itu berlalu pantas dan hilang dari pandangannya. Sepantas itu pula memuncak keinginannya untuk mengetahui isi surat itu. Lalu dikoyaknya bahagian tepi sampul itu. Tetapi kegopohannya menyebabkan kertas putih berlipat di dalam sampul itu terkoyal sedikit. Dia tidak menghiraukan. Anak matanya laju menatapi baris demi baris.

"...Anakanda telah berjaya dalam peperiksaan percubaan yang lalu. Doakanlah Anakanda berjaya dalam peperiksaan akhir yang akan datang. Selain dari itu, Anakanda perlukan wang sebanyak seratus lima belas ringgit ($115.00) untuk bayaran yuran peperiksaan. Anakanda harap Ayahanda dapat mengirimkan sebelum akhir bulan ini..."

Kegembiraannya berbaur dengan kerisauan hatinya. Gembira dengan berita kejayaan anaknya. Tetapi resah memikirkan ketiadaan wang yang dihadapinya. Dia mula membilang-bilang hari. Akhir bulan ini bermakna cuma tinggal dua minggu lagi. Kalau hujan tidak turun dia mungkin dapat menyediakan wang sebanyak itu. Tetapi dalam cuaca begini, untuk mendapatkan wang sebanyak lima ringgit pun amatlah sukar. Di manakah hendak di carinya wang sebanyak itu ? Fikirannya buntu.

Ingin dipanggilnya isterinya ketika itu. Ingin dinyatakan kesulitannya. Ingin diajaknya isterinya menyaksikan titis-titis hujan yang semakin melebat. Tetapi dia tidak mahu mengganggu isterinya. Biarlah hatinya yang merasai derita itu. Biarlah jiwanya yang menanggung sengsara itu. Biarlah hujan yang turun itu terus mewarnakan kegelapan hidupnya.

Ditatapnya langit seperti menatap kegelapan hidupnya. Ditatapnya titis-titis hujan seperti menatap derita yang menimpa dirinya. Dan sesuatu yang pasti telah terlukis di depan matanya.

Esok dia akan termenung lagi di depan pondok buruknya. Dan jika esok hujan turun lagi, lusa dia akan termenung di tangga depan pondok buruknya. Begitulah, fikirnya, dia akan meneruskan kegelapan hidupnya jika hujan turun lagi. Dia akan menatap langit. Dia akan menatap gelap awan di langit. Dia akan kembali mengenang kegelapan masa silamnya hingga kini. Dan dia akan mengangankan kebahagiaan masa depannya.


Hari Kepulangan Abang

Baru setengah jam aku duduk membaca buku di anjung rumah. Tiba-tiba mata ku terpaku pada tubuh lampai di halaman. Dengan muka yang agak cekung dan langkah yang pantas, wajah yang biasa itu memang amat ku kenali. Wajah ku segera menampakkan keriangan. Telah lama aku merindui wajah yang amat ku sayangi itu. Kini seakan terubat rasa rindu ku.

"Mak ! Abang Mazlan balik, mak," terpantul suara ku agak nyaring dari biasa dengan nada riang.

Suara ku berulang beberapa kali kerana tiada sahutan dari dalam rumah. Malah lebih nyaring dari sebelumnya.

Abang muncul di muka pintu. Aku cepat-cepat menyambut beg sandang yang dihulurkannya. Terpampang pada beg itu logo universiti kebanggaan abang.

"Mak dan Abah mana ?" Abang menyoal. Agaknya kerana melihat aku sendirian menymbutnya.

"Ada di dalam," jawab ku tanpa memikirkan apa-apa melainkan kegembiraan di hati.

Dan aku pun mula menyoal abang dengan berbagai-bagai soalan - berapa lama cutinya, bila akan kembali ke kampus dan yang paling utama, tercapaikah cita-cita abang ?

Seperti biasa abang cuma menjawab sepatah dua setiap soalan ku - "Seminggu", "Minggu depan" dan yang terakhir tanpa jawaban yang pasti.

Kemudian abang mengeluarkan bungkusan kecil dari begnya yang ku jangkakan sebuah buku. Abang menghulurkannya kepada ku.

"Ini hadiah dari abang," katanya.

Aku menyambutnya dengan gembira. Segera ku koyak pembalutnya. Benar. Sebuah novel hasil karya Arman berjudul "Ibu".Tak pernah ku dengar nama penulis ini, bisik hati ku. Ku selak muka pertama yang tertulis "untuk ayah, ibu dan adik-adik ku".

Ketika itu juga Nuraini, adik perempuan ku, muncul di muka pintu. Dialah satu-satunya adik ku yang masih bersekolah rendah.

"Ani punya mana ?" Nuraini mendekati abang.

Aku menjadi serba-salah kerana tidak menyembunyikan hadiah daripada abang itu. Nuraini memang tidak boleh melihat aku menerima sesuatu dari abang. Pasti dia inginkan yang serupa. Aku bimbang abang terlupa membelikan sesuatu untuknya.

Tetapi tidak. Abang hanya tersenyum melihat telatah manja Nuraini. Lalu abang mengeluarkan sebuah bungkusan yang sama besarnya dengan hadiah yang ku terima.

"Ini untuk adik Ani, sayang," kata abang sambil mencuit hidung Nuraini.

"Bukalah cepat." Aku mendesak dengan harapan akan dapat bertukar-tukar selepas selesai membacanya nanti.

Aku hampa kerana novel itu juga berjudul "Ibu", sama seperti yang ku perolehi. Malah aku menjadi lebih terkejut apabila abang mengeluarkan dua buah bungkusan yang juga sama saiznya.

"Ini untuk Mak dan yang ini untuk Abah," kata abang bersahaja.

Aku kehairanan melihat sikap abang. Bukankah ini membazir, bisik hati ku, membeli empat buah novel yang serupa. Aku ingin menegur sikap abang. Tetapi hasrat ku hanya membeku dalam kepala. Aku khuatir abang akan merasa tersinggung pula. Sebagai seorang mahasiswa tentulah abang lebih arif lagi tentang hal itu.

Memang sejak dulu lagi aku tidak dapat memahami sikap abang. Abang terlalu merahsiakan hal-hal peribadinya. Mungkin disebabkan pengaruh sifat semulajadi abang yang pendiam itu.
Pernah aku cuba mengubahnya. Aku ceritakan kisah-kisah yang melucukan dengan harapan abang juga akan berbuat demikian. Abang tertawa. Tetapi akhirnya aku naik bosan dibuatnya. Abang tetap berahsia dengan ku. Abang cuma menceritakan sedikit peristiwa-peristiwa yang berlaku di kampusnya. Tidak lebih dari sekadar menceritakan kesibukannnya menghadapi buku-buku dan kesukaran ketika menghadapi peperiksaan.

Aku tahu, seperti juga aku, abang mempunyai cita-cita yang tinggi. Dulu abang ingin berhenti sekolah dan jadi penulis. Tetapi apabila sampai ke pengetahuan ibu, abang dimarahi.

"Apa ? Nak jadi macam Rosman AL ? Jangan nak mengada-ngada. Belajar dulu. Kalau dah lulus, nak jadi apa pun, jadilah," sanggah ibu.

Aku tahu ibu menyindir ayah. Rosman AL itu sebenarnya nama pena ayah. Ayah yang sabar itu hanya mendiamkan diri. Namun begitu aku tahu diam ayah bersebab.

Ayah berhenti menulis selepas sepuluh tahun menceburinya atas desakan ibu. Ketika itu kehidupan sebagai penulis tidak begitu terjamin. Desakan ibu memanglah berasas. Ayah kemudiannya menjadi guru. Namun darah seni ayah terus mengalir. Sesekali aku terbaca hasil karya ayah dalam majalah sekolah tempat ayah mengajar sehinggalah ayah bersara.

Dan seolah-olah darah seni ayah akan tumpah kepada abang. Abang berkeras mahu meneruskan cita-citanya. Abang tetap mahu berhenti sekolah. Ini menyebabkan ibu bermasam-muka dengan abang selama beberapa hari.

Tetapi tidak lama kemudian abang bersetuju menurut kata-kata ibu. Ayah berjaya memujuknya. Sampai kini aku masih tidak tahu cara ayah melembutkan hati abang. Memang benar syurga di bawah tapak kaki ibu. Tetapi itu bukanlah satu sebab yang kuat sehingga boleh mengubah pendirian abang. Aku tahu betapa kerasnya hati abang.

Akhirnya kebenaran berpihak kepada ibu. Abang berjaya dalam peperiksaan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Aku tak dapat membayangkan betapa girangnya hati ibu. Aku merasa agak kecewa kerana tidak dapat bersama menghantar abang ke Kuala Lumpur. Ketika itu aku sedang menghadapi peperiksaan penggal terakhir ku.

Sebentar kemudian ibu muncul dari ruang tengah. Ayah tiada bersama.

"Mana ayah, Mak ?" Tanya abang sambil memegang satu daripada bungkusan itu.

Aku terlupa memberitahu abang yang sebenarnya ayah ke kebun. Aku cepat-cepat meminta maaf sebelum sempat ibu menjawab. Aku sendiri yang menyambut bungkusan yang abang hulurkan. Ku berikan kepada ibu. Seperti selalu ibu tidak segera membuka bungkusan itu.

"Sama macam yang Azman dapat," kataku sambil menunjukkan naskah novel di tangan ku kepada ibu.

"Ani pun dapat satu," sampuk Nuraini dengan bangga.

Ibu, seperti juga aku, segera menoleh kepada abang berupa tanda-tanya di wajahnya. Abang dengan wajah selambanya. Tidak nampak riaksi dari abang yang boleh menjelaskan hadiah-hadiah yang serupa itu.

Sikap abang tetap tidak berubah. Aku mulai bosan kerana abang hanya menjawab pertanyaan-pertanyaan dari ibu. Lantaran itu aku segera meminta diri dan terus masuk ke bilik ku. Aku rebahkan diri di atas katil. Namun begitu aku masih dapat menangkap butir perbualan abang dan ibu menerusi dinding papan yang menjadi pemisah. Sesekali terdengar suara Nuraini menyampuk. Dan sesekali ingatan ku dibuai entah ke mana.

Sejak abang berada di kampus, akulah yang selalu menerima surat-surat dari teman sekolahnya dulu. Abang jarang pulang ke kampung kerana sibuk katanya. Jadi aku poskan kembali surat tersebut kepada abang dengan hanya mengubah alamatnya. Tugas itu berakhir tidak lama kemudian.

Tetapi sebenarnya tugas itu tidak berakhir sepenuhnya. Ada surat-surat yang masih ku terima berterusan dari orang yang sama. Malah salah satu darinya masih ada dalam simpanan ku kini. Hendak ku berikan kepada abang, aku khuatir akan mengganggu perbualannya dengan ibu. Aku juga khuatir kemungkinan riaksi abang kerana surat itu telah aku buka dan baca isinya. Mungkin abang akan memarahi ku.

Tindakan ku memanglah suatu sikap tidak amanah. Tetapi perasaan ingin tahu ku terlalu mendesak. Lagi pun sudah tiga pucuk surat terawal yang serupa tulisannya aku poskan kembali kepada abang. Masakan abang tidak membalasnya dan seterusnya menyatakan alamatnya yang terbaru kepada pengirim surat itu. Ia menimbulkan tanda-tanya di hati ku. Itulah sebabnya aku membukanya.

Namun aku berasa kesal kerana isi surat itu merupakan curahan perasaan salah seorang sahabat abang. Tiada nama tertera. Ku rasa cuma abang sahaja yang mengenali pengirimnya. Tulisannya halus, kemas dan bersih. Ia menyakinkan ku bahawa pengirimnya bukan seorang lelaki.

Dan setelah selesai membaca keseluruhannya, hati ku diresapi pula rasa bimbang. Aku mula memikirkan kemungkinan yang akan terjadi terhadap abang. Tentunya abang akan merasa serba-salah kerana surat itu inginkan kepastian. Atau mungkin abang telah mengetahui dari tiga surat yang terawal. Lalu abang tidak mahu membalasnya, jangka ku. Tapi aku tahu abang yang pendiam itu tetap akan berahsia dengan ku. Tidak mungkin dia akan menceritakan hal-hal peribadi begitu. Dan tidak mungkin dia abang menunjukkan rasa bersalahnya pada ku.

Apabila teringat kepada novel pemberian abang, aku terus mencapainya dari atas meja di sisi katil. Ku selak beberapa muka di tengahnya. Tiada suatu pun yang menarik perhatian ku. Ku selak mukasurat yang lain. Ah... kisah-kisah begini telah selalu ku baca, bisik hati ku. Lalu ku letakkan kembali di atas meja dan berbaring terlentang di katil merenung siling. Ku pejamkan mata hingga terlena.

Lewat petang aku dikejutkan oleh bunyi bising di luar. Ayah telah pulang dari kebun. Aku tahu ayah tidak suka anaknya tidur waktu asar.

Ku jenguk menerusi tingkap. Nampak ayah sedang membaiki basikal tuanya.

"Ayah, abang Mazlan dah balik," tegur ku.

"Ayah tahu," jawab ayah ringkas.

Terasa pula ayah seperti menyindir ku. Agaknya ayah telah lama pulang. Mungkin ketika aku masih lagi terlena.

Tanpa berlengah lagi aku terus ke bilik air. Di dapur, abang, Nuraini dan ibu sedang bersarapan petang. Rupanya perbualan mereka belum berakhir. Dan Nuraini dengan telatahnya sedaya-upaya cuba menarik perhatian abang kepada pertanyaan-pertanyaannya.

"Cepat basuh muka. Nanti habis kuih ni, kempunan pulak," tegur ibu.

"Dah pukul berapa ?" Tanya ku.

"Enam," jawab abang pendek.

Ah... sungguh menghairankan. Takkan begitu lama abang dan ibu berbual. Selalunya, malah setiap kali, abang berbual sebentar sahaja. Terutama sejak abang dan ibu berselisih pendapat mengenai pelajaran abang dulu.

Ku biarkan persolan-persoalan itu berlegar dalam fikiran ku. Tidak mungkin aku akan menyoal abang atau ibu mengenai perhubungan yang nampak telah pulih itu.

Selesai mencuci muka, tangan ku pantas hendak mencekup pisang goreng yang masih panas.

"Ajak abah kau sekali. Jangan ingatkan selera sendiri saja," tingkah ibu.

Aku termangu-mangu tetapi patuh menurut perintah ibu. Tetapi di hati merungut sendirian.

Abang, Nuraini dan ibu beredar ke anjung rumah semula. Tinggal aku dengan ayah. Ayah tidak banyak bercakap kalau bersama aku. Tetapi sebaliknya pula kalau ayah bersama abang.

Aku sedar terdapat suatu jalinan perhubungan yang erat antara abang dengan ayah sejak tiga tahun terakhir ini. Aku memang tidak memahaminya. Tetapi aku tahu, ketika abang berada di kampus, ayah selalu menerima surat darinya. Dan lazimnya aku tidak berpeluang menatapnya. Sesekali sahaja ayah memberikan kepadaku selepas terlebih dahulu membacanya.

Isi surat itu biasa sahaja. Abang menceritakan masalah-masalah pembelajaran yang selalu dihadapinya. Pada bahagian akhir suratnya tertulis, "Ayahanda jangan bimbang. Anakanda akan berusaha sedaya-upaya mengatasinya..." Dan diikuti pertanyaan-pertanyaan mengenai masa lalu ayah.

Pada minggu lepas ayah ada menerima sepucuk surat dari abang. Sehingga kini aku belum berpeluang menatapnya. Seolah-olah ada rahsia yang abang dan ayah sahaja yang mengetahuinya. Aku pula tidak berani menggelidah bilik ayah bagi mendapatkan surat itu.

Selepas tegukan kopi yang terakhir, aku dan ayah menyertai abang, ibu dan Nuraini di anjung rumah.

Seperti yang ku jangka ketika itulah abang memberikan hadiah yang serupa itu kepada ayah. Tetapi yang paling menghairankan ku ialah tiada apa-apa riaksi yang luar biasa dari ayah. Tidak seperti kehairanan yang aku dan ibu rasakan sebaik sahaja melihat empat buah buku hadiah yang serupa dari abang itu.

Ku rasa tiada jalan lain untuk menghilangkan segala persoalan dalam kepala ku. Aku meminta diri dan segera masuk ke bilik. Ku ambil surat untuk abang yang tersimpan dalam laci meja ku.

Ketika ku hulurkan kepada abang, kehairanan ku bertambah lagi. Abang tidak langsung kelihatan tersintak. Dan abang juga tidak marah pada ku. Abang menatap surat itu seketika. Kemudian melipatnya dan menyerahkan semula kepada ku. Abang seolah-olah mengisyaratkan pada ku supaya menyimpan surat itu terlebih dahulu. Tidak pentingkah surat itu, tanya hati ku.

Dan lewat tengah malam itu, ketika aku sedang berbaring di katil menatap novel hadiah dari abang, abang masuk ke bilik ku.

"Azman," panggilnya perlahan.

Aku tersintak. Cepat-cepat aku mengesat airmata yang mengalir di pipi ku. Ku letakkan novel yang sudah separuh ku baca ke sisi ku.

"Azman menangis ?" Soal abang ketika duduk di hujung katil ku.

Aku serba-salah. Rupanya tanpa ku sedari cerita dari novel itu berjaya mempengaruhi perasaan ku.

"Terasa benar kisah ini seperti berlaku dalam keluarga kita," kata ku.

"Memang benar," kata abang. "Dan itulah yang sebenarnya."

"Maksud abang ?" Aku kehairanan.

"Abanglah yang menulis novel itu," jawab abang.

"Tapi..." Aku ragu.

Seperti memahami keinginan dalam kepala ku, abang menambah, "Lihat nama pengarangnya. Bukankah A itu awalan nama emak, Aminah dan R nama abah ? Seterusnya nama abang, Azman dan Nuraini sendiri."

"Tidakkah nanti emak...?" Suara ku terhenti.

"Jangan bimbang. Abah akan jelaskan pada emak. Abah sebenarnya telah mengetahui sebelum buku itu mula ditulis," jelas abang.

Aku tiba-tiba merasa terharu. Tanpa ku sedari pipi ku yang kering membasah semula. Tiada kata-kata yang dapat ku lafazkan melainkan mengharapkan abang mengerti makna sinar mata ku.

Suasana hening sebentar.

"Dah lewat malam," kata abang akhirnya dan berlalu dari sisi ku.

Tetapi sebelum sampai di muka pintu, abang menoleh semula pada ku dan berkata, "Surat tadi tolong Azman balas. Gadis itu sebenarnya terlalu muda untuk abang."

Aku tersenyum mengerti.

Nikmat Merdeka

Nikmat Merdeka “ Tuan-tuan dan puan-puan, selamat datang ke tren ERL Ekspres. Destinasi tren ini adalah KL Sentral. Perjalanan tren ini akan mengambil masa lebih kurang 28 minit. Selamat menuju ke destinasi.” Kedengaran suara pengumuman yang cukup enak dan sedap didengar. Rashid telah pun berada di tempat duduknya. Wah, empuk sungguh kerusi tren ERL di Malaysia ini. Gerabak tren pula nampak sungguh bersih dengan pendingin hawa yang nyaman. Dengan ciri gerabak yang moden serta kemas, ia berbeza dengan tren Metro di Moscow. Tren di sana nampak berusia. Maklumlah sudah hampir 100 tahun dibina. Menariknya tren ERL di Malaysia ini, ada disediakan tempat khas untuk meletakkan beg, ruang kaki yang lebih luas, televisyen menarik di setiap penghujung barisan tempat duduk. Cermin tingkapnya pula bersih dan mempunyai penghalang sinar matahari terik. Di luar sana, kelihatan pemandangan serba kehijauan. Cantik dan segar nampaknya. Pokok-pokok seperti pokok kelapa sawit, pokok-pokok hutan dan lain-lain masih bebas menghuni. Bagi Rashid yang datang untuk melanjutkan pelajaran buat kali kedua, merasa cukup gembira dan kagum dengan pembangunan negara yang bernama Malaysia ini. “ Boleh saya duduk di kerusi ini?” Rashid memalingkan mukanya ke arah suara yang menyapanya. Kelihatan seorang wanita yang sarat dengan beg sedang berdiri di sebelahnya. Cantik juga orangnya. “Boleh, boleh. Jemputlah,” jawab Rashid memandangkan kerusi lain penuh dengan penumpang. Selepas itu Rashid kembali mengelamun sendirian. Rashid Idrisnovic, nama yang diberi oleh bapanya ketika lahir. Datang seorang diri mencari ilmu nun jauh dari tempat asalnya. Sambil mengelamun, beliau memikirkan keadaan dirinya, keluarga dan negaranya. Perjalanan tren yang lancar dan senyap menyenangkannya untuk bermonolog sendiri. Datang dari wilayah Ingushetia, Rusia sudah pasti ramai yang tidak mengetahui tempat asal usulnya. Yang pasti jika ditanya, beliau hanya terus menjawab dari Rusia. Mudah untuk difahami walaupun tidak disukainya. Oleh kerana Rusialah negaranya porak peranda dan huru hara. Begitulah nasib negeri yang kecil dan lemah. Menjadi makanan bagi negara yang kuat dan berkuasa. Sambil tersenyum, wanita di sebelah Rashid bertanya, “ Maafkan saya. Adakah awak pertama kali datang ke sini?”. Jawab Rashid, “Oh, tidak. Kali kedua,”. Nampaknya wanita di sebelahnya ingin mengajak beliau berbual. “ Kenapa awak tersenyum?” tanya Rashid. Wanita tersebut menjawab, “ Kenapa tidak?”. “ Tiada apa-apa, “ jawab Rashid. “Pelik juga wanita Malaysia ini,” kata hati Rashid. Maklumlah jika di Rusia boleh dikatakan lelaki dan perempuan di sana tidak mudah memberikan senyuman kepada orang yang tidak dikenali. Hasil ideologi di bawah pemerintahan komunis di sana. Walaupun telah beberapa tahun bertukar corak pemerintahan, rakyat Rusia masih mengekalkan sikap berwaspada setiap masa. Masakan tidak, di sana persepsinya sangat berbeza. Wanita takut senyum pada orang yang tidak dikenali kerana takut dianggap perempuan murahan. Lelaki senyum pula takut dianggap mempersendakan orang yang diberi senyuman. Wanita tersebut terus bertanya, “Datang untuk melancong ke?”. Jawab Rashid, “ Tidak. Sambung belajar.” “O, sambung belajar. Belajar di mana?” tanya wanita tersebut. “Universiti Malaya,” jawab Rashid. “Ambil bidang apa?” tanya wanita itu lagi. “ Komputer,“ jelas Rashid. “ Kenapa pilih sambung belajar di Malaysia?” tanya beliau lagi. “ Malaysia aman dan kosnya rendah.” Jawab Rashid. “ Awak hendak ke mana pula?” tanya Rashid. “ Oh, saya hendak melawat keluarga sebelah ibu saya. Sudah beberapa tahun saya tidak melawat mereka, ” jawab wanita tersebut. “ Awak tinggal di mana?” tanya Rashid. Wanita tersebut menjawab, “ Saya tinggal di Isfahan, Iran.” “ Jadi awak bukan orang Malaysialah,” komen Rashid. “ Susah sedikit hendak jawab. Ibu saya orang Malaysia. Bapa saya orang Iran tetapi saya memegang pasport Malaysia,” balas wanita tersebut. “Oh begitu,” balas Rashid. “Awak pula berasal dari mana?” tanya wanita berkenaan. “ Saya berasal dari Ingushetia, ” Jawab Rashid. “ Ingushetia? Di mana tempat itu?” tanya wanita berkenaan. Rashid terus menjawab, “ Pernah dengar Chechnya?” Wanita tersebut mengangguk tanda tahu. “ Ingushetia terletak di sebelah Chechnya, dalam negara Rusia,” terang Rashid. “Kenapa awak tidak sebut berasal dari Rusia?” tanya wanita itu lagi. Rashid menjawab, “ Sebab kami tidak suka Rusia. Mereka banyak membuat penganiayaan kepada rakyat Ingush,” “ Saya tidak pernah mendengar nama negara ini. Boleh awak jelaskan tentang negara awak?” pinta wanita itu. Rashid pun mula bercerita. “ Jika dilihat dalam peta dunia, wilayah Ingushetia terletak di utara benua Kaukus dengan Magas sebagai ibu kotanya. Ia merupakan tempat tinggal bagi penduduk Ingush yang berketurunan orang-orang Vainakh. Dari segi pentadbiran, wilayah Ingushetia ini tertakluk di bawah pentadbiran Rusia. Perkataan Ingushetia ini pula bermaksud (tanah) di mana orang-orang Ingush tinggal. Perkataan ini berasal dari sebuah perkampungan lama bernama Ongusht. Mengikut sejarah, nama Ongusht ini pernah beberapa kali ditukar. Antaranya ialah Tarskaya pada tahun 1859 dan Utara Ossetia pada tahun 1944. Oleh kerana terdapat banyak usaha-usaha pembendungan gerakan kemerdekaan, sehingga kini, wilayah Ingushetia ini masih dianggap sebagai salah satu kawasan termiskin dan termundur di Rusia. Dari segi bahasa pula, orang-orang Ingush memiliki bahasa mereka tersendiri yang berlainan dari bahasa Rusia. ” Melihatkan wanita berkenaan sedang asyik mendengar kisahnya, beliau pun meneruskan kisahnya. Kedatangannya kali ini dianggap seperti kepulangan. Kepulangannya ke Malaysia bermakna beliau bebas mengamalkan ajaran Islam bermazhab Syafii. Sama mazhab yang diamalkan di Ingushetia. Bezanya di sana orang masih takut-takut mengamalkan kepercayaan dan fahaman masing-masing secara terbuka. Ramai yang sembahyang berjemaah di rumah sahaja. Semuanya takut dianggap pengganas, pemberontak negara atau pelampau agama jika bersembahyang di masjid. Dahulu selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, beliau bekerja di sebuah stesen radio di Moscow. Jika diikutkan hatinya mahu saja beliau bekerja di Ingushetia. Dekat sedikit dengan kampung halaman. Namun apakan daya pekerjaan tiada. Dianggarkan lebih kurang 75 peratus para penduduk di situ mengganggur. Berbeza dengan Malaysia. Bukannya rakyat mencari pekerjaan, tetapi pekerjaan mencari rakyat. Alangkah bertuahnya rakyat Malaysia, bisik hati Rashid.

Semenjak jatuh di bawah pemerintahan Rusia pada tahun 1810, kehidupan di Ingushetia ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Susah sejak terjajah. Terjajah dan tertipu. Itulah yang boleh dikatakan secara ringkas. Dikatakan Ingushetia secara sukarela tunduk dengan pemerintahan Rusia sedangkan mengikut rekod panglima tentera pada tahun 1832 adalah sebaliknya. Bukti surat-surat yang berkaitan menyatakan perkara berikut, “ Pada 23 Jun 1832, saya telah menghapuskan lapan perkampungan Ingush. Pada 24 Jun pula saya telah menghapuskan sembilan perkampungan lagi.” Seterusnya pada surat berikutnya, beliau menyatakan para penduduk tanah tinggi di Dzheirkah, Kistin dan Ghalghai telah sebahagiannya ditakluk. Akhir sekali jeneral angkatan tentera Rusia dan kolonel Ossetia telah melaporkan bahawa penaklukan ke atas tanah Ingush telah berjaya. Sungguhpun begitu, rakyat Ingushetia tidak berputus asa. Mereka sentiasa berusaha membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Rusia. Namun pada usaha terakhir pada tahun 1865, mereka tewas. Dengan tawaran yang licik, Tsar Rusia (Raja Rusia) ketika itu telah menawarkan pertolongan penghijrahan rakyat Ingush dan Chechen ke Turki dan Asia Tengah dengan menyatakan bahawa orang Islam perlu hidup di bawah pemerintah orang Islam. Sedangkan motif utama Tsar Rusia adalah untuk memberikan tanah air Ingush kepada orang Ossetia dan Cossak. Akibatnya lebih 80 peratus orang Ingush telah diusir ke Asia Tengah hingga ramai yang mati dan yang hidup pula telah hilang identiti selepas bercampur dengan orang tempatan. Sambil teringatkan sejarah duka negaranya, Rashid memandang ke luar tingkap tren ERL dan berkata kepada wanita yang sejak tadi mendengar penerangannya, “ Cuba lihat di luar sana.” “ Ya, kenapa?” tanya wanita berkenaan. Lalu Rashid menjawab, “ Cantik dan hebat sungguh Putrajaya ini kan?” Wanita tersebut membalas, “ Ya, betul. Tetapi negara Malaysia ini jika tidak diurus dengan baik sudah pasti akan menjadi seperti negara jiran kami, Iraq,” Rashid seraya berkata, “ Benar, dahulu Iraq pernah menjadi lebih hebat daripada Malaysia. Tetapi oleh kerana ketamakan dan sikap lupa diri, negaranya hancur.” Lalu Rashid meneruskan komennya, “ Bangunan-bangunan Putrajaya memang unik. Siap ada taman tasik, taman flora dan fauna serta jambatan-jambatan yang sedap mata memandang. Namun agak panas sedikit dirasakan berbanding cuaca di negara Ingushetia. Jika di sana, iklimnya empat musim. Kalau sejuknya pula dingin tetapi kering. Perlu banyak minum air. Sungguhpun agak jauh dan kurang penduduk, Putrajaya menjadi daya tarikan para pelancong. Tidak terkecuali pelancong dari Rusia. Dahulu semasa belajar peringkat ijazah pertama, saya pernah bekerja sebagai pemandu pelancong dan antara tempat kunjungan pilihan adalah Putrajaya, Melaka dan Kuala Lumpur. Upahnya pula cukup untuk membantu pengajian.” “Hendak dibandingkan dengan Malaysia, Ingushetia tidak sesuai untuk menjadi daya tarikan pelancong. Bagaimana hendak menarik pelancong jika tiada jaminan keselamatan. Peperangan masih lagi berlangsung walaupun tidak banyak diwar-warkan dalam media massa. Baru-baru ini, sepupu saya telah hilang tanpa dikesan. Dipercayai diculik oleh polis rahsia Rusia dan dibunuh. Kononnya bagi mengekang gerakan pemberontakan dalaman. Sudahlah jumlah penduduk hanya seramai 400,000 sahaja, usaha-usaha untuk menghapuskan etnik Ingushetia secara rahsia sedang dilakukan pula oleh pihak Rusia. Yang menariknya yang diculik dan dibunuh kebanyakannya adalah dari golongan pemuda. Ini menyebabkan bilangan pemuda kurang dari bilangan pemudi. Mungkin ini antara sebab mengapa bapa saya menyuruh saya ke Malaysia. Negara yang aman dan merdeka, ” jelas Rashid. “ Terlanjur bercerita, nama saya Rashid, Rashid Idrisnovic. Bagaimana saya hendak memanggil awak? “ tanya Rashid. Lalu wanita tersebut menjawab, “ Panggil saja Maria, Maria binti Fahri.” “ Em, sudah lama saya ingin bertanya mengenai satu perkara. Memandangkan awak datang dari benua Rusia, bagaimana hendak mengenali nama bapa untuk anak lelaki dan anak perempuan? Yalah, jika kami, ada bin dan binti.” Tanya Maria. Lalu Rashid menjawab, “ Oh itu mudah saja. Seperti nama saya Rashid Idrisnovic, perkataan Idris itu adalah nama bapa saya. Manakala perkataan –vic itu bermaksud bin. Bagi wanita pula, perkataan ini disebut –ova. Contohnya seperti nama pemain tenis Maria Sharapova. Jadinya Maria adalah anak perempuan kepada Sharap.” Maria lantas membalas, “ Begitu rupanya... memandangkan awak pernah tinggal di Malaysia sebelum ini, apa yang dapat awak lihat lagi?” “ Oh banyak sekali yang saya dapat pelajari di Malaysia. Antaranya budaya kredit di Malaysia. Jika di tempat saya, kami amat jarang menggunakan kad kredit. Semuanya menggunakan tunai. Barang-barang kegunaan harian seperti kereta, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya kami biasanya membayar secara tunai. Tetapi di sini ramai yang menggunakan kad kredit. Dan apa yang saya tahu ramai juga yang diisytiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit ini.” Rashid kemudian menyambung lagi perbincangan, “ Sungguhpun begitu, peluang untuk berniaga di Malaysia ini cukup banyak. Jika hendak tahu, ramai para pelajar luar negara yang datang ke Malaysia ini menjadi kaya raya berniaga di sini. Salah seorang rakan saya, Hasan Ma dari China mengusahakan perniagaan membekalkan jubah di pasaraya besar Malaysia sejak belajar di universiti. Beliau mendapatkan bekalan jubah dari kilang di China dengan harga yang murah dan mendapat untung. Seorang lagi bernama Ayub yang juga berbangsa Cina Muslim, beliau hanya belajar sampai peringkat sekolah menengah sahaja di salah sebuah pondok di utara Malaysia. Kini beliau yang fasih berbahasa Arab menjadi pembekal kain serta pakaian kepada negara-negara Arab. Bukan itu sahaja, sekarang ini saya lihat ramai pekerja asing yang dulunya menjadi kuli, kini sudah menjadi pemilik perniagaan.” Maria terdiam seraya berkata, “ Banyak juga yang kamu tahu mengenai Malaysia. Pasti kamu membuat analisis yang mendalam.” Rashid pun membalas, “ Tidaklah membuat analisis yang mendalam. Cuma sekadar melihat pengalaman lalu dan membandingkan dengan keadaan Malaysia. Sungguhpun sudah merdeka lebih dari 50 tahun, masih banyak lagi perlu diperbaiki. Sebagai contoh, perkhidmatan di kaunter-kaunter dan perkhidmatan teksi masih kurang memuaskan. Anak-anak kurang terdidik. Yang terdidik hingga ke peringkat universiti pula, kurang daya common sense,” “ Eh di mana kita sekarang?” tanya Rashid. Maria menjawab, “ Kita sekarang sudah berada di kawasan Bandar Tasik Selatan. Lebih kurang 10 minit lagi kita akan sampai di KL Sentral. Nanti awak akan tinggal di mana?” Rashid berkata, “ Saya tinggal di apartmen rakan saya. Pantai Panorama, dekat dengan stesen LRT Universiti, “ Wah, itu apartmen mewah. Berapa sewa sebulan?,” balas Maria. Rashid menjawab, “ Saya tidak perlu bayar sewa bulanan,” Maria kemudiannya bertanya, “ Macam mana pula itu?” Lantas dijawabnya Rashid, “ Saya tidak perlu membayar sewa bulanan kerana rakan saya itu selalu bekerja di luar negara. Jadinya saya tinggal di situ untuk menjaga rumahnya. Kadang kala enam bulan sekali dia pulang ke rumah. Tambahan pula dia telah bercerai dan anak-anaknya tinggal bersama bekas isterinya. Hendak dijadikan cerita, dia berketurunan Filipina. Datang ke Malaysia dan bekerja di estet getah di Bentong, Pahang. Lama kelamaan perniagaannya maju dan menyerahkan pengurusan estet getah itu kepada adiknya. Dia pula berkebolehan menguasai pelbagai bahasa dan mempunyai kemahiran menjual yang baik. Sekarang tugasnya ialah menjual barangan perubatan milik syarikat dari Turki. Ada kalanya di Amerika Selatan, di Jepun, di Amerika Syarikat dan pelbagai negara lagi. Cuma yang saya perhatikan dia ini mudah menyesuaikan diri. Kalau bab makan itu, dia boleh makan apa sahaja. Mungkin kerana dia bukan Muslim, mudah baginya. Selain itu kalau tengok di rumahnya, banyak sungguh buku-buku bahasa dan buku panduan pelbagai negara. Cakera-cakera padat muzik negara yang pernah beliau lawat juga banyak.” “ Lama pula bercerita tentang diri saya. Bagaimana dengan awak?” tanya Rashid kepada Maria. “ Selepas ini saya akan ke Cheras. Tempat emak saudara saya. Sebenarnya saya datang hendak beraya. Maklumlah kubur ibu juga ada di sini. Sambil beraya bolehlah saya melawat kubur ibu saya.” Jelas Maria sambil memandang ke arah lain. Rashid kelihatan faham situasi Maria lalu berkata, “ Oh, maafkan saya. Jadi ibu awak sudah meninggal dunia. Saya ada seorang kawan tinggal di Cheras. Mungkin rumahnya berdekatan dengan rumah emak saudara awak.” Maria bertanya, “ Di mana dia tinggal?” Sambil mengemas beg galasnya, Rashid segera menjawab, “ Di Bandar Sri Permaisuri. Kami dahulu tinggal sebilik semasa di universiti.” Maria kemudiannya kelihatan mengerutkan dahinya dan bertanya semula, “ Dulu awak belajar di universiti mana? Siapa nama kawan awak itu?” Dijawabnya Rashid, “ Dulu saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Nama kawan saya Badrul Munir. Pelajar undang-undang. Kenapa awak tanya? Awak kenal dia?” Seperti kelihatan terkejut, Maria terus berkata, “ Alamak kecilnya dunia ini. Saya kenal Badrul Munir. Dia sepupu saya. Memang saya akan ke rumahnya selepas ini,” Rashid kelihatan begitu gembira. “ Wah, tak sangka pertemuan kita ini ada titik persamaan. Jika begitu bolehlah saya datang beraya juga ke rumah emak saudara awak. Nanti saya akan beritahu Badrul Munir akan hal ini. Cuma saya musykil sedikit mengenai diri awak. Kalau awak tidak keberatan, bagaimana ibu awak bertemu ayah awak?” “ Ala, dulu ibu dan ayah saya belajar sekali di universiti yang sama. Mereka aktif dalam persatuan. Jadinya ketika melakukan program bersama agaknya mereka berkenalan. Akhirnya mereka berkahwin dan tinggal di Malaysia. Selepas kematian ibu, ayah saya pulang ke Iran untuk uruskan perniagaan keluarga di sana,” jelas Maria. “ Stesen berikutnya, KL Sentral. Perjalanan tren ERL Ekspres ini telah tiba ke destinasinya. Sila tekan butang kuning untuk membuka pintu. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Jumpa lagi.” Kedengaran suara lemak merdu pengumuman dari pembesar suara tren. Mendengarkan pengumuman itu, Rashid mula mengambil beg galasnya dan berkata kepada Maria “ Nampaknya kita sudah sampai di KL Sentral. Nanti apabila sampai di rumah emak saudara awak, sampaikan salam saya kepada Badrul Munir, ok? Apa nombor telefon awak di Malaysia? Harap dapat kita berhubung lagi selepas ini.” Maria lalu menyahut, “ Ok. Ini nombor telefon saya. Saya juga harap begitu,” Setelah pintu tren dibuka, kedua-duanya pun mulai beredar dari tempat duduk dan bertukar tren LRT berlainan pula. Seorang ke arah LRT Star dan seorang ke LRT Putra. “ Bye, jumpa lagi,” kata Rashid. Maria pun menyahut, “ Bye, jumpa lagi.”

------------------------------------------------------------------------------------------------

Tiga tahun kemudian.

“ Assalamualaikum, abang di mana sekarang?” tanya Maria melalui telefon. Rashid pun menjawab, “ Di pejabat. Kenapa?” Sambil berjalan ke arah sofa empuk di rumah, Maria meneruskan perbualannya, “ Saja hendak tanya. Macam mana perniagaan hari ini?” Sambil berjalan menuju tingkap pejabatnya di menara KLCC, Rashid menjawab, “ Perniagaan hari ini baik. Ramai pelanggan dari England hantar e-mel mencari rumah di kawasan sekitar Kuantan dan Pulau Pinang. Nampaknya promosi Malaysia Sebagai Rumah Kedua mendapat sambutan. Tidak menang tangan dibuatnya,” jelasnya. “ Baguslah itu. Kalau dulu orang Malaysia ramai ke sana. Sekarang sudah terbalik. Oklah abang, saya hendak masak tengah hari pula. Anak kita sudah tidur. Bolehlah saya buat kerja dengan tenang,” kata Maria sambil berjalan menuju dapur kondominium mewah mereka. Rashid lalu menjawab, “ Ok. Jumpa di rumah petang nanti. Assalamualaikum.” Maria pun menjawab, “ Walaikumussalam,” lantas meletakkan I-Phonenya di atas kabinet dapurnya dan memulakan persiapan memasak.

Sekian.

Hasil nukilan:
Salehuddin Md. Dahlan
Teratak Cendana, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur
Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers