Aku Masih Tak Mengerti

Seperti biasa aku tersedar lagi subuh itu. Sambil menggosok-gosok kelopak mata, aku sempat melihat cahaya pelita di dapur. Pasti emak telah terjaga lebih dahulu. Agaknya emak sedang menjerang air.

Di dalam bilik ku suasana masih sunyi. Di dinding kelihatan cahaya samar kebiruan mencuri-curi ruang. Di luar kokok ayam bersahut-sahutan, kedengaran pendek dan sesekali memanjang. Aku cuba bangun, tetapi kepala ku terasa berat. Pening melayani mimpi malam tadi masih belum hilang.

Aku beralih mencari kedudukan lebih selesa. Rasa mengantuk telah tiada. Ku cuba melelapkan mata. Mungkin bukan masanya untuk ku menyambung tidur. Ku cuba mengangkat kepala sekali lagi. Masih terasa berat. Lalu aku berbaring terlentang memandang bumbung rumah. Nampak titik-titik cahaya menembusi lubang-lubang bekas kena paku.

Aku mula melayani fikiran dan perasaan ku.

*** *** *** ***

"Tak cukupkah lagi duit yang abang beri bulan lepas ?" Tempikan abah malam tadi bergema kembali di telinga ku.

"Cuma kurang sepuluh ringgit sahaja. Hutang kain ela pada Mak Limah..." Suara emak keras cuba mempertahankan. Mak Limah ialah penjual kain baju yang menjaja dari rumah ke rumah.

"Abang mana ada duit lagi." Suara abah meninggi.

"Yang dua ratus ringgit dulu ?" Emak membidas.

"Dah abang simpan semuanya di Pejabat Pos."

"Sepuluh ringgit pun tak ada ?" Emak memperlahankan suaranya.

"Abang kata tak ada, tak adalah !"

Aku cepat-cepat menutup telinga ku. Tak tahan hati ku mendengar pertelingkahan abah dan emak. Aku cuba tidur meniarap. Ku himpitkan bantal di atas kepala sehingga terlena.

Itu adalah kali kedua aku mendengar abah dan emak bertengkar. Setiap kali puncanya adalah wang. Aku tak tahu sejak bila ia bermula. Tetapi rasanya dalam beberapa minggu yang terakhir ini.

Aku begitu terperanjat sekembali dari asrama kelmarin. Ketika itu kaki ku baru sahaja memijak halaman rumah. Adik Man berlari tergesa-gesa ke arah ku. Wajahnya nampak dalam kecemasan.

"Abang Am... Abang Am, abah dan emak berkelahi lagi," katanya dalam keadaan tercungap-cungap keletihan. Sifat kejujurannya jelas kelihatan di usianya yang baru menjangkau sepuluh tahun.

"Bergaduh lagi ?" Hati ku tertanya kehairanan. Selama ini tak pernah aku mendengar, apatah lagi menyaksikan abah dan emak bertengkar. Masakan Adik Man cuba bergurau dengan ku. Hati ku merasa tersentuh melihat Adik Man beria-ia menjelaskan. Aku yakin perasaannya turut terguris.

Aku bergegas membimbit beg pakaian menuju ke rumah. Terdengar suara abah keras menengking. Sebaik sahaja melepasi tangga dan pintu depan rumah, ku lihat abah dan emak terdiam dan saling berpandangan. Aku tidak dapat bersuara. Abah dan emak seolah-olah cuba menyembunyikannya dari ku.

Aku terus masuk ke bilik. Ku lemparkan beg pakaian ke suatu sudut. Dan terus ku rebahkan tubuh ku di atas katil. Banyak kemungkinan yang ku bayangkan dan sebanyak itu pula perkara yang ku khuatirkan.

*** *** *** ***

Lamunan ku mati secara tiba-tiba. Bilik ku menjadi terang. Emak muncul di pintu dengan pelita minyak tanah di tangannya.

"Bangunlah. Hari dah siang. Lekas mandi dan berpakaian. Nanti tertinggal bas pulak." Emak menegur mesra. Namun kemesraan itu tidak dapat ku rasakan sepenuhnya. Kemesraan emak mulai tawar sejak kepulangan ku dua hari lepas.

Aku bangkit perlahan-lahan meninggalkan tempat tidur. Terasa kedinginan pagi mula menyucuk kulit. Teguran emak sekali lagi menjadikan aku pantas menuju ke bilik air.

Selepas berpakaian aku bersarapan bersama emak.

"Abah mana, Mak ?" Aku bertanya sekadar menghilangkan kesepian suasana.

"Masih tidur lagi. Biarlah dulu, nanti emak kejutkan. Habiskan kuih 'tu cepat." Emak seperti tidak suka aku menyebut tentang abah.

Perbualan dengan emak pendek sahaja. Aku tidak sanggup menyoal fasal pertengkaran malam tadi. Aku bimbang kalau-kalau ia akan melukakan hati emak.

"Nah, dua puluh ringgit. Ini sahaja yang mak ada." Emak menghulurkan dua keping duit kertas berwarna merah kepada ku.

Aku menyambutnya dengan berbagai persoalan membelit kepala ku. Apakah makna semua ini ? Apabila teringat punca pertengkaran emak dan abah malam tadi, aku kebingungan. Apakah sebenarnya punca pertengkaran abah dan emak. Aku cuba melupakannya, tetapi amat sukar. Terasa seperti telah sebati di hati ku.

Sejak kembali ke asrama, yang hampir lima tahun ku huni, ketenangan ku telah terlontar jauh. Wajah emak, abah dan Adik Man yang masih kecil tidak mengerti mengganggu perasaan ku setiap ketika. Bukankah sudah hampir tujuh belas tahun aku merasakan kebahagiaan hidup di samping mereka ? Aku benar-benar tidak mengerti mengapa kebahagiaan itu bagaikan dirobek kini. Pertengkaran abah dan emak yang tidak aku fahami merenggut kebahagian yang aku nikmati.

Siapakah yang harus aku salahkan ? Abah atau emak ? Kedua-duanya sangat aku sayangi. Abah sangat aku hormati. Dan emak... Aku sangat terhutang budi pada mu yang menanggung siksa melahirkan dan membesarkan ku.

Aku bingung. Amat bingung. Malah aku turut merasa bimbang. Apakah yang akan terjadi kalau pertengkaran abah dan emak berlanjutan ? Mungkinkah abah dan emak akan berpisah ? Tidakkah aku dan Adik Man yang akan menjadi mangsa ? Tidakkah pelajaran ku akan terganggu nanti ? Mungkin persekolahan ku terpaksa diakhiri. Bagaimana dengan peperiksaan SPM yang akan aku tempuhi ?

Aku mulai risau memikirkan peperiksaan yang akan aku tempuhi tiga bulan lagi. Dapatkah aku mencapai kejayaan yang cemerlang jika ketenangan tiada di dekat ku dalam menghadapi buku-buku pelajaran ? Bagaimana dapat aku menumpukan sepenuh perhatian ketika mengulangkaji pelajaran jika perasaan ku sering terganggu ?

Hari-hari berikutnya ku hadapi dalam keresahan hati.

Ingin rasanya aku menulis kepada abah dan emak. Ingin ku nyatakan betapa ketenangan ku telah tiada. Ingin juga ku nyatakan tentang kebimbangan yang memeluk perasaan ku. Mungkinkah abah dan emak akan memahami maksud dan tujuan ku ? Atau sebaliknya, adakah abah dan emak akan memarahi ku kerana memikirkan hal yang bukan-bukan ? Perkara yang tiada kebenarannya ! Ah... masakan ia tidak benar sedangkan ia berlaku di depan mata ku.

"Ayahanda dan Bonda," begitulah aku akan memulakan tarian pena ku seperti selalu. Tetapi dapatkah aku terus menulis ayat-ayat yang bergelora di benak ku ?

Selama ini aku tidak pernah menulis hal-hal begini kepada abah dan emak. Selalunya aku cuma menyatakan kegembiraan dalam menghadapi kehidupan seharian di asrama. Sering juga aku menyatakan kemajuan yang ku capai dalam pelajaran. Dan kerapkali pula aku menyakinkan abah dan emak yang aku akan dapat menebus keputusan yang tidak memuaskan penggal lepas. Tidak pernah aku menulis hal-hal yang mungkin akan menimbulkan kebimbangan abah dan emak.

Haruskah aku berterus-terang sekarang ? Tidakkah nanti abah dan emak akan merasa tersinggung membacanya kerana aku mengsyaki perkara yang kurang baik itu ? Perkara yang ku anggap boleh terjadi dalam keluarga ku. Mengapakah aku terlalu memikirkan berbagai-bagai kemungkinannya ? Tidakkah aku ini terlalu banyak prasangka ? Entahlah. Aku sendiri tidak dapat menilai diri ku.

Bagaimana pula kalau aku bincangkan perkara ini dengan rakan-rakan ? Asri yang kelihatan riang itu tentu tidak keberatan menolong. Azman yang sentiasa mendapat nombor satu di kelas ku mungkin boleh dipakai pendapatnya. Atau adakah lebih baik aku menemui guru pembimbing ku sahaja ? Ah... tak mungkin kerana perkara sekecil itu pun aku harus menemuinya. Apa pula katanya nanti. Tidakkah nanti dikatanya aku murid tingkatan lima yang lemah minda ? Kalau diherdiknya aku dengan kata-kata, "Perkara remeh-temeh pun tak boleh nak selesaikan !", alangkah malunya aku nanti.

Masih ku ingat lagi bagaimana dulu seorang rakan ku dimarahi kerana membawa masalah putus cinta kepadanya. "Ini waktu belajar, bukan waktu nak bercinta-cintaan !" Tengking guru pembimbing itu. Aku tidak sanggup menerima nasib yang sama seperti rakan ku itu.

Entahlah. Kepada siapa lagi tempat ku mengadu ? Haruskah aku membiarkan ia berlalu sendiri ? Haruskah aku terus membiarkan hati terus resah ? Haruskah aku membiarkan pelajaran ku terus terganggu ?

Terasa keresahan dan kesepian menyelubungi hati walaupun berada di tengah rakan-rakan seasrama yang ramai. Mungkinkah mereka menyedari penderitaan yang melanda hati ku ? Mungkinkah ?

Sudah seminggu berlalu. Tetapi aku masih tidak nampak tanda-tanda masalah ku akan selesai. Masih tidak nampak tanda-tanda keresahan hati ku akan hilang.

Cuma petang itu tanpa diduga aku merasa seolah-olah segala masalah ku akan berakhir.

Abah datang ke asrama bersendirian petang itu. Inilah yang menghairankan ku kerana abah sebenarnya jarang melawat ku. Malah boleh dikatakan tidak pernah walaupun aku sering mengharapkannya. Cuma sekali ketika menghantarku pada kali pertama dahulu. Ketika itu emak dan Adik Man turut bersama.

Aku tidak tahu apakah tujuan kedatangan abah. Abah cuma bertanya serba-sedikit tentang pelajaran ku. Abah menyuruh aku belajar lebih tekun lagi di samping nasihat-nasihat yang takkan ku lupakan. Nasihat yang sering abah ulangkan, "Tanpa ilmu hidup takkan sempurna."

Ketika abah hendak pulang barulah aku tahu yang aku telah dilalaikan oleh sangkaan bahawa masalah ku telah selesai. Aku merasa seperti baru dikejutkan dari lena tidur.

"Ini wang dua ratus ringgit untuk bayaran yuran peperiksaan." Abah menghulurkan sekeping sampul biru pada ku sambil wajahnya membayangkan kemurungan. Abah mendakap ku seakan tidak mahu berpisah dengan ku. Aku seakan memahami walaupun abah tidak menjelaskan.

Aku menatap wajah abah dan merasa terharu. Aku masih tidak memahami semua yang berlaku. Mengapa ia terjadi ? Mengapa ?

Dan tiga hari kemudian sebelum persoalan-persoalan dalam kepala ku terjawab, sepucuk surat tiba ke tangan ku. Aku kenal tulisannya. Pasti surat dari emak. Seperti juga kunjungan abah dulu, isi surat dari emak serupa sahaja nadanya. Emak mahukan aku belajar bersungguh-sungguh. Dan yang paling menyentuh hati ku:

"...Bonda akan menanggung segala perbelanjaan pelajaran Anakanda walau setinggi mana sekali pun..."

Barulah aku sedari, selepas mengunjungi ku di asrama, abah tidak lagi pulang ke kampung. Serasa hendak terlepas surat emak dari cengkaman jejari ku. Hanya yang semapat aku bisikkan:

"Abah, emak... berilah aku kepastian. Apakah makna semua ini ? Aku, anak mu, masih tidak mengerti."

Airmata ku tiba-tiba menitis dan membasahi pipi.



0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers