DENDAM YANG TERPADAM

DENDAM YANG TERPADAM 1

Hidup di dunia ini tidak selalunya indah. Kadangkala awan mendung pasti datang menerjah tanpa diundang. Begitulah perjalanan hidup setiap insan bergelar manusia.
Aku juga tidak terlepas dari dugaan itu. Tetapi aku tidaklah menyalahkan takdir Ilahi yang ingin menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan seseorang hambaNya.

Namun aku tidaklah secekal hamba-hambaNya yang lain. Malah aku tidak mampu melawan takdir buruk yang menimpa diriku ini. Walaupun begitu aku terus berusaha
untuk berdoa agar tragedi hitam yang menimpaku tidak akan lagi berulang. Ya Allah tabahkanlah hatiku ini.

Tanpa disedari air mataku menitik lagi. Hatiku begitu terusik setiap kali terkenangkan peristiwa nan silam. Perlahan-lahan diari bewarna biru tua ditutup rapat.

‘Argh.. kali ini aku takkan biarkan diriku tertewas lagi di tangan mereka. Mereka adalah musuhku. Musuh paling ketat yang tersemat di jiwa ini. Dendam yang membara
takkan pernah terpadam..’ Dengan semangat aku menyimpan tekad.

“Nabila, esok kau ada kelas tak?” tegur teman sebilikku Fatin yang tekun menggosok sepasang baju kurung sutera bewarna hijau cair. Memang cantik memang padan dengan gadis itu yang berkulit kuning langsat sepertinya.

Aku agak terkejut dengan teguran itu pantas menyorokkan diari biru di dalam laci. Air mata diseka untuk mengelakkan daripada disedari oleh Fatin. Entah bila dia berada di situ aku sendiri tidak perasan.

“ Ada..” balasku lambat-lambat tanpa menoleh ke arah Fatin.

“Pukul berapa?” Fatin menyoal lagi.

“8.00 pagi. Kenapa?” soalku pula ingin tahu.

“Oh.. baguslah! Kalau begitu esok tolong kejutkan aku ya. Kelas aku pun pukul 8.00 pagi juga.” Balas Fatin dengan penuh mengharap. Baju kurung yang baru diseterika itu diangkat untuk meneliti sekiranya masih ada kedutan.

“Emmm.. baiklah.” Aku hanya mengangguk beberapa kali.

Bukannya sekali dua dia menyuruh aku berbuat demikian. Malah setiap hari Fatin pasti akan berpesan kepadaku supaya mengejutkannya di waktu pagi. Ini adalah
kerana dia memang liat sedikit untuk bangun pagi. Aku memang sudah lali dengan situasi tersebut.

Aku melirik jam loceng di meja tulis yang sudah pun menunjukkan pukul 12.45 malam. Sesekali aku mengosok mata yang digenangi air tatkala aku menguap. Lantas aku bingkas bangun lalu berjalan menuju ke katil. Saatnya untukku masuk tidur.

***
DENDAM YANG TERPADAM 2

Aku melangkah longlai menuju ke perpustakaan. Tujuanku hanyalah satu. Untuk mencari bahan rujukan agar dapat menyiapkan assignment yang masih belum cukup isi yang perlu dilengkapkan. Selalunya waktu break begini aku akan balik ke hostel untuk menunaikan fardu zohor. Oleh kerana keadaan tidak mengizinkan aku berbuat demikian, aku mengambil peluang yang ada untuk membuat sesuatu yang lebih berfaedah. Kalau nak diikutkan sebenarnya aku tidaklah serajin ini. Maklumlah sekali-sekala nak ubah angin.

“Hai.. Nabila! Takkan seorang saja hari ini? Mana kawan-kawan yang lain?”

Aku tersentak apabila diajukan beberapa soalan ketika sedang sibuk meneliti sebuah demi sebuah tajuk buku untuk dipinjam. Seakan kukenal betul dengan suara itu. Namun aku sedikit pun mengendahkannya. Apa tidaknya, sekiranya perempuan yang menegurku tadi boleh juga ku balas. Tapi dek suara yang garau itulah membuat diriku semakin meluat. Huh.. tak sanggup rasanya aku melayan kerenah lelaki itu. Lebih baik aku beralih ke rak yang lain pula. Kalau nak diikutkan buku yang ingin kucari ada di rak tadi seperti yang dirujuk melalui OPAC.

“Amboi.. kenapa masam semacam saja muka awak ni? Macam cuka. Cuka pun tak masam macam ni. Cubalah senyum. Kan manis. Nanti taklah cepat berkedut wajah
awak tu.” Dia terus mengusik sambil menyisir rambutnya ke belakang.

Walaupun aku tahu bukan calang-calang jejaka yang menyapaku itu. Kalau diihat dari sudut rupanya memanglah tampan, cuma pemakaiannya untuk ke kuliah agak
sempoi. Maklumlah budak dari falkuti kejuteraan. Takkan nak dress up kemas-kemas kut? Bukannya nak pergi dating atau ke parti. Tetapi ini tidak bermakna aku akan
terpikat dengan ketampanannya itu.

“Huh..!” Aku mendengus marah. Lebih-lebih lagi pemuda itu cuba menghalang laluanku. Mamat ini memang mencari nahas. Sekali aku buka silat aku, mahunya kau mati..
eh.. l upa pula mana aku ada ilmu persilatan. Aku hampir tergelak mengenangkan kebodohan diriku sendiri. Namun aku cuba menahan daripada disedari oleh pemuda
yang tinggi lampai itu .

“Aik.. marah ke? Janganlah marah Nabila nanti kena jual.” Pemuda itu tersenyum meleret.

Aku berpaling ke belakang. Lebih baik aku blah. Malas nak melayan kerenah beruk seekor ini. Lebih menghairankan lagi, aku sendiri tidak pasti dari mana dia mengenali diriku dan dari mana dia mengetahui namaku. Jangan-jangan nama emak dan ayahku turut dia tahu juga.

“Eh.. eh.., nak kemana tu? Saya baru saja sampai. “ Sekali lagi pemuda itu cuba menghalang aku dari beredar.

“Woi, boleh tolong ke sana sikit tak? Saya banyak kerja ni..” suaraku agak keras tetapi perlahan untuk mengelak dari didengari oleh pelajar-pelajar lain di perpustakaan Tun Abdul Razak II.

“Err.. nanti dulu. Saya ada hal nak cakap dengan awak ni…” dia merayu.

“Hal apa? Penting sangat ke? Lagipun saya tak kenal siapa awak. Kalau awak nak tanya fasal PTAR II ni atau fasal buku-buku yang awak nak pinjam, adalah lebih baik awak tanya orang lain. Banyak lagi manusia di sini. Tak pun minta saja bantuan daripada librarian…” herdikku garang.

Aku sememangnya mengakui bahawa aku tidak berapa kenal pemuda yang selalu mengacau hidupku ini. Yang aku cam cumalah rupanya saja. Tidak lebih dari itu.
Wajah itu selalu menjelma setiap sudut di mana saja aku berada. Mungkin juga dia telah mengekori ke mana saja aku pergi. Sungguh membosankan.

Pemuda itu tegamam. Direnung mukaku tajam. Jelingan matanya merah menyala. Marah agaknya. Aku agak kaget melihat perubahan dirinya. Takut diapa-apakan aku
nanti. Ah.. aku apa peduli! Aku takkan beri muka pada mereka yang menghancurkan hidup aku ini. Walaupun bukan lelaki yang berdiri dihadapan aku ini yang menjadi
puncanya . Yang penting bagi aku semuanya sama. Aku tersenyum mengejek melihat perawakan lelaki itu. Tak semena-mena, dengan sendirinya pemuda itu berlalu.

DENDAM YANG TERPADAM 3

“Budak perempuan itu cantiklah..” Azie menelan air liur.

Terangkat kedua belah keningku mendengar pujian Azie terhadap seorang junior yang berjalan melintasi kami. Hairan. Kalau iya pun dia tu lawa janganlah sampai tak berkedip mata itu. Lebih-lebih lagi gaya yang ditunjukkan oleh Azie itu tak ubah seperti seorang lelaki memperhatikan perempuan cantik. Aku hanya mengangguk seolah mengakui kata-katanya.

“Eh.., siapa agaknya nama dia hah?” tambah Azie lagi. Hatinya kian melonjak ingin mengetahui.

“Iskh.. budak ni! Kau ingat aku ni paparazi ke? Kalau nak tahu pun, pergilah tanya tuan empunya diri..” balasku kasar. Menyesal pula rasanya berada di sisi Azie. Macam tiada topik lain. Sikit-sikit bercerita fasal perempuan cantik. Lain macam betul. Harap-harap dia bukanlah dari golongan yang suka pada kaum sejenis. Aku berdoa. Cap di kepala dibetulkan kedudukannya.

“Eleh.. rilex lah! Janganlah marah..” Azie memujukku sambil mengusap lembut bahuku. Deras saja aku menepis tangannya. Geli pula rasanya.

“Takkan cemburu kot?" Soalnya lagi.

Apa? Cemburu? Hei, tolong sikit! Ada ke patut dia kata aku cemburu. Cemburu apa bendanya? Perempuan sama perempuan. Lainlah kalau awak tu lelaki yang menjadi
kekasih aku. Tapi kalau kau ni lelaki pun tidak sekelumit pun di hati ini akan merasa cemburu. Aku mengeleng kepala tanda kekesalan. Terkelana seketika. Aku
mengalihkan pandangan ke sisi. Ku lihat Fatin melambai-lambaikan tangannya seolah memanggil aku agar pergi ke sana. Sempat juga aku mengerling ke arah Azie. Aku tersengih melihat yang dia sudah pun bercegat pinggang tanda geram.

“Eh.., apa hal kau panggil aku? “ soalku kepada Fatin setelah tiba di hadapannya. Nafas di dada yang tercungap-cungap akibat aku berlari-lari anak untuk cepat sampai ke situ belum lagi reda.

“Duduklah dulu. Nanti aku cerita.” Lantas dia menarik lembut tanganku mengajak aku duduk di sebelahnya.

“Hah.., ceritalah..” pintaku tidak sabar.

“Sekejaplah. Tak sabar-sabar..” seraya Fatin mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Aku menjengahkan kepala untuk melihat apa yang sedang dicari oleh Fatin
itu.

“Nah..” dia menghulurkan pada ku sekeping surat. Sudahlah tidak bersampul, dilipat kecil-kecil pula. Namun aku menyambut jua hulurannya itu.

“ Surat dari siapa ni?” soalku ingin tahu sambil membelek-belek surat tersebut.

“Kalau iya pun, bukalah dulu. Nanti kau tahulah…” arah Fatin. Aku menurut saja katanya seakan budak kecil. Berkerut-kerut aku membaca sebaris demi sebaris ayat yang terkandung dalam surat tersebut. Apa pula yang direpekkan oleh si penulis ini agaknya? Mahu saja disiat-siatkan lalu menempatkannya di dalam tong sampah yang kebetulan berada di sebelahku. Penuh dengan madah cinta. I like you.. You like me. Entah apa-apa.

“Siapa yang rajin sangat beri aku surat ni..?” soalku setelah selesai membaca surat itu. Perasaan bingung mula menghantui diri ini.

“Amran, classmate aku. Takkan kau tak nampak nama dia yang tertera di bawah tu..?” balas Fatin tersenyum manis sambil jari telunjuknya yang halus menuding ke arah hujung surat tersebut.

“Itu aku nampak. Yang aku nak tahu Amran tu siapa?” aku tidak begitu puas hati dengan jawapan yang Fatin berikan. Makin berkerutlah dahiku memikirkannya.

“Laaa… dia beritahu aku yang engkau kenal betul dengan dia.” Kali ini giliran dia pula mengerutkan dahinya menampakkan seribu garisan. Sesekali kepala yang tidak gatal itu digaru-garu.

“Kalau aku kenal, tak adalah aku bertanya.. mangkuk..” Hah.., ambil kau sebiji. Tak fasal-fasal kena hamun dengan aku.

“Itulah yang aku hairan tu!” Fatin berfikir sejenak. Aku hanya membatukan diri.

“Err... tak mengapalah! Lain kali kalau ada kesempatan, akan aku kenalkan kau pada dia.”

Aku mengeluh. “Oklah..” Aku melipat kembali surat tersebut lalu menyimpannya ke dalam poket seluar jeans biruku.

***
DENDAM YANG TERPADAM 4

“Err… Assalamualaikum..! Boleh tumpang tanya? Sudah pukul berapa sekarang?"

Aku berpaling. Aiseyman. Dia ini lagi. Tersengih-sengih, macamlah lawa sangat.

“Iskh.. tak ada muka lain ke?” Aku menyinga. Fail yang bewarna hijau digenggam erat tanda pelepas geram.

“Eh.., janganlah marah! Tak baik tahu ! Saya cuma bertanya saja. Pukul berapa sekarang..” Ulangnya dengan penuh santun.

“ Ah…, jangan tanya aku! Aku mana ada jam. Pergi tanya orang lain. Okey..” Aku me ngherdiknya begitu kuat. Nasib baik orang di sekeliling tidak mengambil peduli
terhadap kami berdua. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini kerap kali aku pasti bertembung dengannya. Sampai naik hafal aku dengan rupanya.

“ Iya ke? Habis tu, di tangan awak tu apa?” balasnya sambil tersenyum mengejek. Jari telunjuknya ditudingkan ke arah pergelangan tanganku yang dihiasi dengan
sebuah jam berjenama Calvin Klien bewarna silver.

“Alamak!” aku menepuk dahi. Hendak menipu tapi tak pandai. Itulah lain kali sorokkan dulu jam tangan awak itu. Aku merenungnya dengan penuh perasaan geram.
Kulitku yang keputihan bertukar menjadi kemerahan.

“Awak ni buta ke? Ini bukannya jamlah. Ini bangle. Itu pun tak tahu ke?” nafiku serta-merta walaupun hakikatnya aku tahu yang aku tidak mungkin dapat membohonginya.
Mana ada bangle yang mempunyai nombor 1 hingga 12. Siap dengan jarum saat, minit dan jamnya sekali. Saja sebenarnya, nak cover malu. Dia tergelak kecil.
Menahan kelucuan.

“Hmm.. sorry. Aku banyak kerja nak disiapkan..” dengan kasar aku menolaknya ke tepi.

“Mak oi, ganasnya!” Dia berundur setapak. Kalau terjatuh lagi bagus. Akulah orang pertama yang akan bertepuk tangan. Aku mengatur langkah panjang-panjang
meninggalkan pemuda itu termanggu sendirian.

“Nabila, kenapa monyok saja hari ini? Ada problem ke?" Tegur Irman rakan sekelasku. Agaknya mungkin dia terkejut apabila aku menghempaskan fail yang berada di
tanganku ke atas meja dengan kuat.

“Eh.. jangan jadi penyibuklah. Pergi buat urusan kau sendiri. Jangan jaga tepi kain orang. Faham! “jerkahan ku itu teramatlah nyaring seakan harimau betina yang sedang memburu mangsanya sehinggakan seluruh penghuni kelas benombor 343 menumpukan perhatian mereka kepadaku. Mataku yang agak bundar itu terbeliak.
Kedua-belah tangan sudah pun dicegatkan ke pinggang.

“Amboi, kalau iya pun, janganlah tengking aku! Aku tanya baik-baik tahu." Irman masih cuba berlembut denganku.

“Yang kau baik sangat tu apasal? Pandai-pandailah aku settle kan sendiri..”

“Laa.. kau kan kawan aku! Tak salah rasanya….”

Belum sempat Irman menghabiskan kata-katanya dengan deras aku menangkis. “Well, excuse me! Sorry to tell you, yang kau tu bukannya kawan aku. Jadi, jangan nak
perasan ya. Lagi sekali aku dengar suara dari mulut kau aku ajukan penumbuk ni ke muka kau..!” herdik ku bersahaja lalu ku angkat tanganku sambil kelima-lima jariku digenggam erat. “Bila masa entah kau jadi kawan aku..” rungutku agak perlahan.

“Aik.. marah! Kau nak marah, marahlah. Lain kali aku tak hingin lagi bercakap dengan kau.” Balas Irman lantang. Dia mula naik angin. Namun dia tidak sepertiku kerana dia masih dapat mengawal api kemarahannya. Apa tidaknya dia mulakan dengan baik tetapi hanya aku sahaja yang mencari masalah.

DENDAM YANG TERPADAM 5

Aku duduk termenung di tepi jendela bilikku. Fikiranku melayang entah kemana. Apa yang diajarkan oleh pensyarah petang tadi sedikit pun tidak menarik minatku. Pen kilometriko kuketuk-ketuk ke atas meja. Lantas diketika itu diari biruku ku buka kembali. Helaian demi helaian kuselak. Itu sajalah yang menjadi pelepas untukku mengadu.

Bila terkenangkan peristiwa petang tadi, aku berasa sedikit menyesal. Kesian Irman. Tidak semena-mena dia menjadi mangsa amarahku. Bukannya sengaja aku
lakukan demikian. Malah aku sendiri tidak mengetahui bilakah semua ini akan berubah. Hatiku begitu keras macam batu. Luka yang kian lama berkulat masih tidak dapat kesembuhkan jua walaupun berbagai jenis ubat yang ku sapu. Hendak kubuang ingatan terhadap tragedi yang silam jauh-jauh, aku tidak berdaya. Selagi dendamku tidak terbalas selagi itulah aku tidak dapat memaafkan insan yang bernama lelaki. Keperitan masa silam sering terbayang di segenap ruang fikiranku. Kadangkala aku hampir hilang pertimbangan apabila mengingatkannya kerana saban hari ia seolah-olah ligat menari-nari dihadapanku. Walaupun aku kelihatan tabah di mata orang tuaku, namun aku sebenarnya ter tewas dengan ujian Ilahi. Tapi aku tidak lupa untuk memohon petunjuk dari yang Esa dan bermohon kepadanya agar orang yang memusnahkan hidupku akan hidup terseksa biar di dunia mahupun akhirat.

Argh! Aku menutup semula diari biruku dengan agak kuat. Perasaan geram mula menyelubungi diriku. Lalu aku menyandarkan badanku ke kerusi. Mataku terkatup rapat. Sedang aku cuba menenangkan diri, entah kenapa sekali lagi aku didatangi tetamu yang tak diundang iaitu ‘peristiwa hitam'.

Tidak kusangka. Orang yang selama ini aku sanjung kerana sifatnya yang sungguh baik dan bertanggugjawab terhadap keluargaku malahan dia juga merupakan
pakcik saudaraku sanggup menjatuhkan maruah anak saudaranya sendiri ketahap yang hina.

Aku masih ingat lagi, di ketika itu aku menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Untuk mengelakkan daripada masaku terbuang begitu sahaja, aku penuhi ia dengan bekerja di sebuah kilang elektronik. Itu pun atas cadangan pakcikku sendiri yang kupanggil dengan nama Pak Su. Pak Su merupakan adik ibuku. Dia berumur lewat 20 an. Namun masih belum beristeri. Ayah dan ibu menaruh harapan padanya untuk menjagaku kerana kebetulan itu dia turut bekerja di kilang tersebut di bahagian maintenance.

Setiap hari Pak Su akan menghantarku pergi dan balik dari tempat kerja dengan menaiki motosikalnya. Aku amat berterima kasih kepadanya di atas budi baiknya. Ini bermakna aku tidak perlulah menaiki bas kilang yang disediakan oleh majikanku yang memerlukan aku membayar duit pengangkutan sebanyak RM30 setiap bulan. Jimat sikit duit gajiku yang sememangnya tidak seberapa itu.

Entah kenapa tiba pada suatu hari, tergerak hatiku unutk bekerja overtime. Sambil itu bolehlah aku mengumpul duit untuk sambung belajar sekiranya aku dapat tawaran di mana-mana institusi pengajian tinggi. Al-maklum sajalah kalau mengharap wang perbelanjaan dari pendapatan ayahku sememangnya tidak mencukupi. Berapa sangatlah pendapatan yang diperolehi hasil dari menoreh getah. Ibu pula membuka warung kecil-kecilan. Menjual nasi lemak dan pisang goreng. Untuk menyara tiga orang anaknya termasuk diriku ini.

Pak Su berjanji akan menjemput aku pulang walaupun ayah ada mengatakan bahawa dia yang akan berbuat demikian. Oleh sebab aku tidak menaruh apa-apa
perasaan syak wasangka, aku hanya bersetuju dengan cadangan Pak Su itu tanpa banyak bicara. Hinggalah tiba saatnya diwaktu malam yang durjana itu. Malam yang
menyaksikan segala-galanya peristiwa hitam yang menimpa diriku. Di mana malam itu aku ternoda akibat dari perbuatan Pak Su sendiri. Aku sendiri tidak mengetahui tujuannya membawa aku ke pondok yang agak usung. Walhal pada mulanya dia ada mengatakan ingin singgah ke rumah temannya untuk menghantar barang.

Inilah yang dikatakan kerana hasutan syaitan bercampur nafsu orang jantan. Hingga dia sanggup meratah daging anak saudaranya sendiri. Aku sungguh marah berbaur dengan perasaan kecewa. Kepercayaan ku terhadapnya hilang serta-merta. Lebih buruk lagi selepas merogol aku, dia terus meninggalkan ku sendirian di pondok usang itu. Aku menangis semahu-mahunya. Kesakitan yang kualami menyebabkan aku tidak bermaya. Namun aku gagahkan kakiku untuk pulang ke rumah di dalam kesakitan ditambah pula keadaan malam yang gelap-gelita.

Tiba sahaja di rumah ibu agak terkejut melihat diriku yang berlumuran darah. Aku yang hampir pengsan dipapah naik oleh ibu. Ayah menjadi berang yang teramat
apabila mengetahui hal yang sebenar. Parang di dapur sudah mula diasah tajam.

“Jantan keparat! Engkau telah hancurkan masa depan anak aku..” Itu saja yang dapat diluahkannya. Ibu hanya menangis tersedu-sedu di sisiku. Aku? Apatah lagi. Hanya Tuhan sajalah yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu.

“Akan kubunuh jantan siol itu..” jerkah ayah sambil menghayunkan parang yang siap diasah tinggi ke udara. Ibu hanya membisu tidak berkata apa-apa. Pak Su itu adalah adiknya. Itulah membuatkan hatinya bertambah remuk seribu.

Dengan terburu-buru ayah mengajak Zain adikku ke rumah nenek untuk mencari Pak Su. Zain hanya menurut. Langkah ayah semakin deras. Dia ingin cepat sampai ke
sana.

Apabila sampai ke pengetahuan nenek, nenek mula meraung. Tidak sangka yang anak kesayangannya melakukan perbuatan terkutuk itu. Patutlah dia tidak pulang-pulang dari jam 9.00 malam tadi. Katanya dia ingin menjemputku pulang.

Polis menjalankan siasatan setelah diadukan oleh ayahku. Bukti yang ada sudah kukuh untuk membuktikan Pak Su menerima hukuman penjara. Tetapi, polis masih tidak dapat mengesan di mana dia berada. Huh.. licik sungguh lelaki itu.

Sebermulanya dari kisah itu aku mengurungkan diri dalam bilik. Makan pun tak lalu. Tidur pula tak lena kerna asyik terbayangkan peristiwa hitam itu. Tawaran untuk ke UTM ku tolak mentah-mentah. Walaupun aku berhasrat untuk menyambung belajar hingga berjaya. Namun itu semua menjadi impian yang terkubur. Jauh di sudut hati aku menyimpan tekad untuk membalas dendam terhadap Pak Su. Bukan Pak Su sahaja malahan terhadap semua kaum lelaki. Ini megajar aku agar lebih berhati-hati pada sesiapa jua. Aku takut sekiranya kejadian ini akan berulang kembali.

Dua tahun selepas itu, aku menerima tawaran belajar di sini, di UiTM, Shah Alam. Aku mengambil keputusan untuk menerima. Itu pun atas nasihat dan dorongan kedua
orang tuaku. Hidup mesti diteruskan walau apa pun yang terjadi. Aku takkan biarkan diriku menerima kekalahan ini. Sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahmya.

***
DENDAM YANG TERPADAM 6

Aku terdengar ketukan di pintu sekaligus salam di beri. Dengan deras aku menjawab salam tersebut. Apabila tombol dipulas, serta-merta wajah Fatin yang bujur sirih itu tersembul. Tanpa membuka sandal dengan tiba-tiba dia menegurku dari muka pintu.

“Nabila, ingat lagi pada Amran?” Aku yang pada ketika itu sedang mengesat-ngesat rambutku yang masih basah akibat baru disyampu termanggu seketika.

“Emm.. kenapa?” balasku seraya mengatur langkah menuju ke almari pakaianku.

“Dia ingin meminta maaf kepada kau.”

“Kenapa pula?” dahiku berkerut. Haru-biru dibuatnya. Jangankan kata dia ada buat silap, malahan berjumpa pun tak pernah. Alih-alih nak memohon maaf. Hairan bin
ajaib.

“Entahlah. Aku pun pelik juga ni..” balas Fatin sambil mengangkat bahu. Lalu dia mengorak langkah masuk ke bilik setelah sandal yang dipakainya dibuka.

Aku mendengus sambil berfikir sejenak.

“Semenjak dua menjak ni kan, aku lihat si Amran tu semakin kurus. Muka pun makin cengkung. Nak kata susah hati, tak nampak pun macam orang di dalam kesusahan.
Happy selalu. Ini yang membuatkan aku berasa curiga ni..” Fatin mengetap bibir.

“Tapi tidak semestinya sesetengah orang dari segi luaran kita nampak dia happy je tapi di dalam, Tuhan saja yang tahu…” balas aku pula. Aku berkata begitu kerana aku sendiri mengalami perasaan sedemikian. Bukan Fatin seorang saja malah aku pun turut berasa curiga.

“Hah.. satu lagi, dia kirim salam pada kau…”

“Wa’alaaikummussalam..” ku jawab di dalam hati. Ah.. gasak engkaulah Amran. Malas aku nak layan kau. Kalau difikirkan sangat, boleh jadi biol agaknya.

“Eh.. malam nanti aku nak makan di luar! Kau nak ikut tak??” soal Fatin mengubah topik perbualan seraya menghempaskan tubuhnya ke atas katil milikku.

“Err.. boleh juga!” balas aku acuh tak acuh.

***

DENDAM YANG TERPADAM 7

Fatin mengira jumlah duitnya di dalam dompet. Telingaku dapat menangkap keluhan kecil di bibirnya.

“Kenapa? “ Aku bertanya sekadar ingin tahu apa yang membuatkan fikirannya menjadi runsing.

“Cepat betul duit aku habis..” dia mencebikkan bibir. Melahirkan rasa kekesalan.

“Itulah engkau! Time belanja tak ingat dunia..” Dia tersengih menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi. Dompet disimpan semula ke dalam kocek seluar jeans nya.

“Jom.. temankan aku cucuk duit sekejap..!” Fatin menarik lengan tanganku. Aku hanya mengangguk tanda setuju. Dalam perjalanan ke mesin ATM milik BSN, Fatin
sempat menjerat aku dengan beberapa soalan yang bagiku amat sensitif.

“Apa hubungan Azie dengan engkau..?”

“Kawanlah.. macam engkau dengan aku. Kenapa kau tanya macam tu..?” dahiku berkerut. Aku tidak berapa mengerti akan maksud tersirat dari kata-katanya itu.

“Hmmm.. Aku tahu yang kau memang kamceng dengan dia dan tidak bermaksud hendak memburukkan dia…”

“Apa sebenarnya yang ingin kau sampaikan pada aku..” fikiran mula berkecamuk.

“Err.. aku dengar dia tu suka pada kaum sejenis..” balas Fatin teragak-agak.

“Maksud kau lesbian..?" aku meneka. Dengan perlahan dia menangguk.

“Eh.., tak baik buat fitnah macam tu..” Aku membantah walaupun kadangkala pernah terlintas jua di benak fikiranku tentang perkara itu.

“Bukan niat aku nak menfitnah dia. Aku dengar dari sumber terdekat..”

“Siapa..?”

“Salah seorang awek dia..”

“Ceh.. kau ini..!” Aku seolah tidak mempercayainya,

“Betullah aku tak tipu. Dan engkau pula bakal menjadi salah seorang daripadanya… aku rasa lebih baik kau jauhkan diri kau daripada Azie…” terang Fatin
bersungguh-sungguh.

Aku terdiam sejenak. Meremang bulu roma. Minah ni biar betul. Ini yang membuatkan aku tidak senang duduk. Ah.. sebelum apa-apa terjadi, seperti yang Fatin katakan tadi, lebih baik aku jauhkan diri daripadanya. Tapi aku lakukan ini semua bukan kerana termakan hasutan kawan.. naluriku sendiri pernah beberapa kali berbisik akan hal yang sama.

“Ingatlah.., kita ni orang Islam..” tambahnya lagi.

“Heh.. kau ni! Itu aku taulah. Nak jalinkan hubungan dengan dia? Selisih malaikat empat puluh empat. Sia-sia saja Ibu dan ayah kau memberi didikan agama sekiranya aku terjebak dengan hubungan diluar tabii itu…” tingkahku laju. Hubungan sejenis sememangnya diharamkan oleh Islam. Itu aku tidak nafikan.

“Hish.. kau ni! Cuba elakkan daripada berkata..’Selisih Malaikat empat puluh empat tu..” Tegur Fatin agak keras lalu dia menambah lagi. “Malaikat tu tugasnya
mendoakan kesejahteraan kita tau.. takkan aku nak selisih kan mereka pula….”

“Err.. bukan itu maksud aku…” balasku terpinga-pinga.

“Habis tu..”

“Aa.. a..” aku kehilangan kata-kata. Tidak tahu apa yang apa yang harus aku jawab.

***
DENDAM YANG TERPADAM 8

Di waktu pagi minggu begini memang seronok untuk aku beristirehat. Aktiviti paling utama yang menjadi kegemaran yang akan ku lakukan adalah tidur. Lebih-lebih lagi di kala hujan renyai-renyai mendinginkan lagi tubuhku. Dengan mata yang terpejam, aku menarik selimut dan kemudian memeluk erat bantal peluk yang berbentuk ‘gula-gula’.

Nun di luar sana aku sempat terdengar ngomelan Fatin. Tetapi tidak aku hiraukan langsung. Entah perkara apa yang dibebelkan aku tidak mahu ambil peduli.

“Woi, Nabila! Tak reti-reti nak bangun?” serentak tubuhku digoncang kuat. Aku merengus marah. Tidurku diganggu. Tidak boleh tengok aku senang sedikit. Ada saja yang datang mengacau. Perangainya tak ubah macam emak aku yang sememangnya kuat berleter setiap kali sekiranya aku terlewat bangun tidur.

“Jangan kacaulah..” Pintaku keras. Aku menarik selimut lalu mengelubungkan tubuhku hingga tidak menampakkan mukaku.

“Eh.. Nabila bangunlah. Sudah pukul 9 pagi. Selalunya engkau juga yang akan bangun awal..”

Aku menurunkan selimut. Mataku dicelikkan. Ku lihat Fatin sudah pun berdiri di hadapanku.

“Semalam kau kata hari ini kau ada kelas pukul 10.30 pagi…”

“Allah..! “ aku tesentak lalu menepuk dahi.

Gila. Macam mana aku boleh lupa. Nasib baiklah ada Fatin. Kalau tidak mampus aku tidak akan hadir back up kelas hari ini. Puan Mona, pensyarahku mesti bengang
sekiranya aku ponteng kelas hari ini kerana tempoh hari sudah pun diberikan cuti untuk pelajar-pelajarnya. Takkan nak bercuti lagi kut.

Dengan sepenuh tenaga yang ada seperti kilat aku mencapai tuala dan peralatan mandi. Tergesa-gesa kakiku melangkah menuju ke bilik air. Fatin hanya ketawa
berdekah-dekah melihat aksiku seperti lipas kudung.

Seharian aku menonong jalan ke hulu ke hilir di hadapan Menara UiTM. Masuk yang ini sudah tiga kali. Namun keadaan Perwira Affin Bank masih lagi dipenuhi dengan
pelajar.

“Iskh.. diaorang ni! Time aku nak keluarkan duit, time itu juga dia orang turut menyibuk nak keluarkan duit..” gerutu hatiku melepaskan perasaan geram. Aku mengetap bibir.

Malam tadi semasa menelefon ibu, ibu ada menyatakan, keluarga di kampung tengah kesempitan duit tatkala ini. Ayah pula baru saja keluar hospital kerana sakit.
Terkejut beruk aku dibuatnya. Hampir nak melelehkan air mata. Nasib baik cuma sengal-sengal otot sahaja. Walaupun ibu tidak meminta wang dariku kerana dia tahu wang yang aku gunakan untuk tampung perbelanjaan sepanjang aku belajar di sini hasil dari wang pinjaman yang ditaja oleh PTPTN semata-mata, sebagai anak sulung yang mempunyai rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap orang tuanya aku perlulah menghulurkan sebanyak mana yang aku mampu. Lebih-lebih lagi bila
terkenangkan adikku Zain dan Mahdi yang masing-masing belum jelaskan bayaran yuran SPM dan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun.

“Psst.. psst.. Nabila.”

Huh.. pelik siapa pula yang memanggil namaku. Aku mencari di merata tempat namun gagal menangkap dari mana arah suara itu kedengaran.

“Saya di belakang awaklah..”

Aku menoleh ke belakang. Apabila aku sudah mengenal pasti tuan yang empunya suara itu. Aku mencebik. Dia ini lagi. Ke sana pun muka dia, ke sini pun muka dia juga.
Tension! Tension! Buang karan betullah. Mahu saja aku menerkam mukanya dengan kuku yang panjang ini. Aku cepat-cepat mengorak langkahku untuk mengelakkan
diri darinya.

“Awak kenal saya tak..” soalnya sambil mengekori pergerakkan ku. Dia tersengih. Tahulah gigi awak itu cantik, putih bersih tidak seperti gigiku yang agak berterabur.
Janganlah nak menayang-nayang di hadapanku.

“Mahunya tak kenal. Mana aku pergi di situlah kau berada!” Aku mengherdiknya perlahan takut didengari oleh orang di sekeliling. Nanti mereka ingat aku sedang
bergaduh dengan teman lelaki pula.

“Ok. Ok. Janganlah marah pula! Awak ada dapat surat saya tak?”

“ Surat? Surat apa? Bila masa kau kasi aku surat?.” Balasku dengan jujur. Serta-merta langkahku terhenti. Dia termenung sejenak seraya mengaru-garu kepala. Keningnya bertaut.

“Tapi.., kan saya ada kirimkan awak sekeping surat melalui Fatin..”

Ah! Mendengar saja dia menyebut nama Fatin, aku baru teringat. Ya.. dia ada memberi aku surat dan surat itu masih aku simpan. Tapi… aku lupa aku telah letakkannya di mana.

“Oh.. jadi kau ni Amran..!” aku bertanya inginkan kepastian.

“Ha’ah! Sayalah Amran..” Dia mengangguk.

“Harap awak tak marah..” tambahnya lagi.

“Hmm…oklah saya tak marah..” aku berlembut. Kali pertama aku bersikap demikian padanya. Sebenarnya aku malas nak berbual sangat dengannya. Aku nak cepat
beredar.

“Eh, nanti dulu..”

“Apasal?”

Dia menghela nafas panjang. Wajahnya berubah menjadi muram.

“Yelah, inilah kali terakhir saya dapat berjumpa dengan awak..,” balas sayu. Suaranya agak tersekat-sekat.

“Kenapa? Awak nak berpindah ke?" Hatiku sedikit melonjak mendengar rintihannya. Bahagialah aku selepas ini. Tiada lagi orang yang akan menganggu hidupku lagi.

“Err.. bukan. Cuma nak pergi jauh dari sini..” balasnya lambat-lambat.

“Pindahlah tu..”

“Boleh dikatakan juga! Dan selepas ini awak tak perlu risau kerana saya tak akan menganggu hidup awak lagi…”

Hmmm. Apasal lah sedih sangat bunyinya. Hatiku tergelak riang. Orang tengah bersedih, aku gembira sakan.

“Baguih bebenor le.. sonang sikit hidup aku..” Secara tidak sengaja perkataan itu terpacul keluar dari mulut aku.

“Janganlah awak cakap macam tu. Sedih saya mendengarnya..”

“Sedih, sedihlah! Apa saya peduli..” Aku menjelingnya tajam.

Dia tertunduk. Aku sempat menyaksikan bebola matanya mulai berkaca. Eh.. eh! Emosionallah pula. Serta-merta perasaan serba salah mula menyelubungi diri. Baru
cakap macam itu dah nak nangis. Tak gentleman lah beb. Sedikit kekesalan mulai timbul. Jangan mengadu pada mak dan ayah kau sudah. Nanti mampus dikejarnya
aku dengan parang. He.. he..


***

DENDAM YANG TERPADAM 9

“Fatin, esok aku ingat nak balik ke kampunglah..”

“Kenapa?” soal Fatin lalu berpaling memandangku. Dia melabuhkan punggung ke sisiku.

“Aku risaukan ayah aku. Makin lama makin menjadi pula sakitnya..” aku meluahkan perasaan sedihku kepada satu-satunya sahabat yang paling memahami diriku.
Sahabat suka dan duka. Itulah membuatkan aku respect kepadanya. Untung aku menjadi sahabatnya. Perlahan-lahan dia menepuk bahuku mesra.

“Tapi sebelum kau balik, jangan lupa berjumpa Puan Zubaida, resident staff kita. Nanti apa pula katanya. Tak fasal-fasal kau kena demerit 30 points…”

Aku tergelak kecil. Ceh.. siapa takut. Minggu lepas baru aku kena demerit 10 points kerana lewat pulang ke hostel sebelum jam 11 malam. Alah.. aku bukannya sengaja nak berbuat begitu. Sudah beberapa kali aku terangkan kepada Pn. Zubaida tentang kedudukan sebenar yang aku berada di sudut bacalewa dekat PTAR I untuk
berbincang mengenai group project. Tetapi langsung tidak diendahkannya. Cerewet betul. Baru lambat sikit. Lain kali kalau kau lambat biar aku pula yang demeritkan engkau pula.

“Iyalah..” balasku ringkas.

Tiba-tiba perbualan kami diganggu oleh bunyi deringan handset kepunyaan Fatin yang memainkan muzik dari lagu ‘Shape Of My Heart’. Serentak kami berdua menoleh
ke arah handset yang berjenama Nokia 3310. Ini mesti tak lain tak bukan abang dia yang telefon kerana Fatin telah setkan lagu itu khas untuk lelaki itu. Tapi bukan abang kandung tau. Abang yang emm…em.. Fatin tersenyum gembira seraya mengenyitkan mata kepadaku. Dia segera bangun untuk mendapatkan handset nya yang
ditinggalkan di atas meja tulis.

***
DENDAM YANG TERPADAM 10

“Wah.., best juga lagu KRU ni..! Apa nama tajuk lagunya? “ soal Amran sambil merapatkan telinganya ke speaker radio milik Redza. Matanya dipejamkan seolah-olah menghayati lirik lagu tersebut.

“Di Pintu Syurga. Lagu duet dengan kumpulan Elite....” balas Redza. Hampir tergelak dia melihat gelagat Amran seakan orang yang sedang mabuk cinta. Kemudian bibirnya bergerak turut sama menyanyi lagu itu dengan penuh syahdu.

“Eh.., kau tahu lirik lagu itu?” soal Amran setelah mendengar nyanyian merdu suara Redza. Redza angguk.

“Boleh tak kau tuliskan lirik lagu Di Pintu Syurga ni untuk aku..” pintanya bersungguh-sungguh.

“ Ok.. no problem! Jangan lirik, kasetnya pun aku boleh kasi pinjam..” balasnya serentak album kaset dikeluarkan dari almari pakaiannya. Lalu dilemparkan kepada
Amran. Amran menguntum senyum lalu dibelek-belek kaset itu depan dan belakang.

“Pergh.. kau memang minat dengan kumpulan ni yek..”

“Tak juga. Tapi entah kenapa aku suka dengar lagu ni. Syok pula. Kaset ini pun awek aku yang hadiahkan..”

“Romantiknya awek kau?” Amran menyindir. Redza tersengih. Mengakui kata-kata Amran. Mastura adalah seorang gadis yang paling romantik yang pernah dia temui.
Kalau bab lagu-lagu jiwang serah saja padanya. Dia mesti tahu.

“Engkau dengan Nabila macam mana?” soal Redza mengubah topik perbualan. Dia memang tahu yang sahabatnya itu menaruh hati pada gadis bernama Nabila. Kalau
tidak bahkan dia sering menyanyi 'Lagu untuk Nabila' setiap kali dia mandi. Telinga ni sampai naik putus mendengar Amran melalak.

Amran mengeluh. Dia mengelengkan kepala.

“Agaknya dah bukan jodoh aku. Sia-sia sahaja aku menyintai dia separuh mati tapi dia sikit pun tidak memberi apa-apa response..”

“Hish.. kau ni! Jangan cakap macam tu. Soal jodoh di tangan Tuhan..” Redza cuba memujuk hati sahabatnya. Beri sedikit kata peransang agar dia tidak lekas putus asa.

“Begitu juga ajal dan maut kan..” tingkah Amran dengan cepat.

Saat itu Redza terdiam. Kenapa pula dengan tiba-tiba Amran berbicara mengenai ajal dan maut? “Kenapa kau cakap macam tu..?” soalnya agak perlahan. Amran
geleng.
Dia hanya tunduk membisu. Redza tercengang melihatkan perubahan diri Amran. Ah…mungkin dia hanya bergurau. Fikirnya.

***

DENDAM YANG TERPADAM 11

Sampai saja aku di halaman rumah, aku terus melaungkan nama ibu sekuat hatiku. Gembira bukan kepalang apabila terlihat ibuku menjengahkan kepala melalui jendela rumah.

“Kak long..!” terdengar jeritan Mahdi yang sebelum itu berada di belakang rumah tapi kini sudahpun berdiri tercegat di hadapanku.

“Wah.. makin berisi kak long sekarang..!” dia mengusikku nakal. Tanpa disuruh dia menolong aku menjinjing beg galas yang ku bawa naik ke atas rumah.

“Yang kau pulak makin lama aku tengok makin tinggi..” giliran aku pula menegurnya. Kalau tak silap aku sebelum aku bertolak ke Shah Alam untuk menyambung pengajianku, ketinggian Mahdi cuma di bawah paras telinga aku tapi kini aku pula menjadi rendah daripadanya.

Dia hanya ketawa terbahak-bahak apabila mendapati aku lebih bantut daripadanya setelah mengukur jarak ketinggian antara kami berdua. Yelah dulu aku selalu
mengejek-ngejeknya dengan gelaran ‘ketot’.

“Eh.. kak long tak bawak balik apa-apa ke?” soal Mahdi tangan deras saja cuba menyelongkar untuk melihat isi di dalam perut beg galasku itu.

Ibuku sempat memukul tangannya. “Mahdi, tak elok buat macam tu..!” marah ibu. Mahdi tersengih.

“Aku ni bukannya cap duit tahu.” Tanganku pantas ingin menarik telinganya. Mahdi sempat mengelak sambil tersenyum mengejek.

“Ayah mana?” aku berpaling ke arah ibu yang mengorak langkah ke dapur. Aku mengekori ibu dari belakang.

“Ke ladang..” balas ibu spontan.

“Sakit-sakit pun ke ladang lagi?” aku mula risau dengan keadaan ayah. Degil tak bertempat. Apalah salahnya berehat saja di rumah sampai sembuh dahulu.

“Taklah, dia cuma pergi menengok Pak Long kau di sana.” Terang ibu agaklambat.

“Pak Long buat apa di ladang kita, ibu..” pintaku ingin tahu.

“Tolong ayah kaulah. Ayah kau tak suruh pun. Tapi dia yang rajin sangat. Naik segan ibu dibuatnya. Sudah banyak dia berjasa pada kita…”

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata ibu. Jangan ada udang di sebalik batu sudah. Aku mengalihkan tumpuanku ke dapur. Aku perhatikan lauk yang sedang
dimasak ibu.

“Wah.., ayam masak lemak cili padi. Ini makanan favourite kak long ni..” aku menelan air liur. Aku mencium aroma masakan ibu. Perut mula berkeroncong. Terasa lapar pula.

“Hah.. sudah! Kut iya pun pergilah mandi dulu.” Tegah ibu.

Aku mengelap pinggan mangkuk yang baru siap dibilas dengan tuala kecil. Namun demikian, mataku ralit memandang ayah yang sedang mengurut-urut kakinya yang
sengal dengan minyak urut. Kasihan ayah. Umur tidaklah setua mana. Tapi sakitnya yang lebih.

“Angah tak balik lagi?” soal ayah mengadap ibu.

“Belum lagi bang,“ balas ibu pula yang sedang asyik melipat kain baju yang bertimbunan di atas lantai.

“Dia tolong kawannya di gerai burger. Maklum sajalah rakan kongsi..” Ayah mengangguk lesu. Selepas ayah sakit, ayah jarang bekerja. Jadi, hasil pencarian pun agak berkurang. Zainlah yang akan mengganti tempat ayah untuk seketika. Zain memang anak yang baik. Itu aku akui. Sejak dari dulu lagi. Tetapi tercalit juga perasaan risau.
Bagaimana agaknya dia membahagikan masa antara belajar dengan bekerja. Lebih-lebih lagi dia akan menduduki SPM tidak lama lagi.

“Berapa lama kak long duduk di sini..?” soalan ayah berpindah kepadaku.

“Sampai hari Selasa, ayah!” balasku sejujurnya. Walaupun kutahu ketika itu kuliah tetap dijalankan seperti biasa tetapi terpaksa aku tinggalkan untuk sementara waktu demi keluarga. Ala.. setakat sehari dua tu apalah sangat. Pandai-pandailah aku kelentong pensyarah nanti sekiranya mereka bertanya.

“Lama betul kau bercuti. Nanti pensyarah kau tak marah ke?” ayah cuba memerangkap aku dengan soalan cepu emas. Seolah-olah dia dapat membaca telahan hatiku.
Macam ahli nujumlah pula. Aku terkedu seketika. Kepala otakku ligat berputar untuk mencari jawapan yang bernas lagi jitu.

“Err.. aa.. kak long dah minta kebenaran dia orang ayah…” aku berdusta. Jantungku mula berdegup kencang.

“Mm…” sekali lagi ayah mengangguk. Antara percaya dengan tidak. Nasib baik ayah tak bertanya lebih-lebih. Nanti mati akallah aku dibuatnya dek soalan yang
bukan-bukan.

Sesudah baldi yang kosong itu berisi dengan air, aku mengorak langkah kaki menuju ke rumah. Belum pun sempat aku memijak anak tangga, aku terdengar bunyi
deruman motor milik ayah. Kuintai-intai dari celahan tiang kayu di bawah rumah. Badanku terbongkok-bongkok seperti nenek tua.

“Oh.., Zain rupanya.”

Zain menghampiri aku. “Nah..!” dia menghulurkan aku bungkusan karung plastik yang berisi lima ekor ikan kembung bersama-sama setengah kilo sayur kobis.

“Ini saja ke?” Keningku bertaut.

“Habis tu..?” Dia mengaru kepala.

“Mana rempahnya.?”

“Rempah? Dekat dapur kan banyak. Kalau tak cukup, kak long taruh sajalah apa-apa. Janji boleh makan..”

“Kepala otak kaulah. Kau ingat masak lauk macam masak burger ke?.” herdikku garang. Mentang-mentanglah dia tak tahu memasak.

“Aik.. perli nampak? Rileks lah kak long. Ini semua perkara kecil..”

“Apa rileks-rileks? Nak rileks pergi ke kuburlah..” aku menjegilkan mata. Sudah lama rasanya aku tidak bertekak dengan adik-adikku. Paling best bila bergaduh dengan Zainlah. Dia ini kuat menjawab sikit. Macam aku juga. Barulah dikatakan adventure sikit. Dia tergelak besar sehingga ternampakkan anak tekaknya.

“Huh.” Aku mendengus.

“Kalau masakan tak sedap.. komplen..” rungutku.

“Eleh.. tak susah nak makan masakan kak long tu. Nganga mulut, suap, kunyah telan. Tak pun terus telan tak payah kunyah..” dia menyindir diringi dengan hilaian ketawa.
Aku mencebik. Geram pun ada. Memang dasar lelaki. Langsung tak hormat perempuan.

“Kak long janganlah masamkan muka tu. Kan dah tak lawa..” Zain mengusik.

“Apa? Ingat muka kau tu lawa sangat ke? Tengok muka tu hitam legam, kotor dan berminyak..” Aku menonyoh mukanya dengan jari telunjukku. Dia mengelak.

“Eleh.. dulu orang hensem apa! Orang jadi macam ni sebab sibuk bekerja.”

“Ah.. dari dulu kau memang tak hensem pun..” aku menafikannya. Walhal adikku yang seorang ni memang ada rupa. Tapi badannya kurus macam papan plywood.
Giliran aku pula mentertawakannya.

Sekembalinya aku ke Shah Alam, setelah beberapa hari bercuti, aku masuk ke bilik yang telah aku tinggalkan untuk seketika itu. Aku dapati Fatin murung saja dan duduk di bucu katil sambil berpeluk tubuh. Dia kelihatan tidak bermaya. Mukanya sembab seolah-olah baru sahaja lepas menangis. Matanya agak kemerahan. Eh, takkan rindu dekat aku kut. Aku berandaian. Aku segera merapatinya. Tudung di kepalaku serentak ditanggalkan.

“Kenapa ni, Fatin…?” ujurku lembut. Mengusap ubun-ubun kepalanya. Fatin tidak berkata-kata. Lantas dia terus memelukku. Air mata berjujuran bak air terjun. Aku tergamam seketika.

“Betul ke apa yang aku dengar ni Fatin?” soalku inginkan kepastian. Jantungku berdegup kian kencang seakan mahu luruh saja. Hatiku semakin sebak. Aku menahan air mataku daripada mengalir keluar. Dalam hati aku berdoa bahawa aku tersilap dengar.

“Agaknya orang lain tak..?” sambungku lagi.

“Astaghfirullah..” Fatin beristifar panjang. Dia kelihatan agak tenang dari tadi. Lalu dia menokok lagi. “Ini soal hidup atau mati Nabila. Buat apa aku nak tipu engkau. Amran betul-betul dah.. dah.. tak ada. Di.. dia pergi mengadap Ilahi..” Fatin cuba menahan sebak di kerongkongnya yang bagai disekat-sekat.

Aku terpempan. Lidahku menjadi kelu. Bulu romaku seakan meremang.

“Mula-mula tu aku tak percaya. Tapi Redza sendiri yang menyakinkan aku. Redza tu roommate Amran. Dan masa kejadian itu berlaku, dia ada bersama arwah. ..”
Mendengar saja perkataan arwah aku seakan hilang pertimbangan. Aku hampir tertewas. Mataku mula digenangi air mata. Mulutku terkunci tidak mampu berkata
apa-apa lagi. Amran telah pergi.. perginya takkan kembali. Aku mengurut dada. Innalillah..!!

“Itu semua takdir, Nabila!” Fatin mengigit jari. Sesekali dia menggosok-gosok matanya.

“Bagaimana perkara ini terjadi..?”

“Aku dengar khabar angin, dia pergi racing motor..”

“Racing? “ Mengucap panjang aku mendengarnya. Tak mungkin. Dari tafsiran aku, Amran bukanlah jenis orang begitu. Ini diperkukuhkan lagi cara dia melayan aku.
Walaupun aku menengking, mengherdik dan memaki hamun pemuda itu, namun tidak sedikit pun dia berkasar denganku. Dia tetap sabar dan berlembut denganku.

“Tapi engkau janganlah cepat melatah! Itu semua tidak benar..” Aku menarik nafas lega mendengar penerangan yang Fatin berikan. Dalam keadaan sedih-sedih ni pun
Fatin masih nak mereka cerita. Straight forward sajalah. Tak payah belok-belok.

“Kemalangan ini berlaku sewaktu dia dan Redza dalam perjalanan pulang ke rumah. Yang menunggang motor itu adalah Amran sendiri manakala Redza cuma pemboncengnya saja..”

“Aku harap selepas ini Nabila, kau janganlah memusuhinya lagi..”

Aku berasa agak gusar mendengar kata-kata Fatin. Air mata diseka. “Ap.. apa maksud kau..?" balasku tidak mengerti.

Fatin mengeluh.. ”Segalanya sudah Redza jelaskan padaku mengenai engkau dan Amran. Hubungan Redza dengan Amran cukup rapat. Dia selalu bercerita kepada
Redza cara kau melayani dia. Aku tidak faham mengapa kau cukup benci pada lelaki. Bukan semua lelaki itu jahat, Nabila. Sedarlah…”

Bijak sungguh kau bermain kata-kata Fatin. Engkau tidak tahu. Kau tidak tahu apa sebenarnya terjadi pada diriku. Apa yang menjadi penyebab aku bersikap demikian.

Tapi jauh di sudut hati timbul rasa kekesalan yang amat mendalam. Kekesalan yang tidak dapat ku ungkapkan dengan kata-kata. Aku tidak sepatutnya bersikap begitu
pada Amran. Kalaulah ketika dia hidup dulu aku… ahh.., segalanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Amran maafkan aku. Bukan niatku untuk menyakiti hatimu malah tidak pula terlintas di lubuk sanubariku untuk memainkan perasaanmu. Jika tidak kerana lelaki jahanam itu, mungkin hatiku tidak sekeras ini. Maafkan aku Amran.
Maafkan aku.

***
Tapi jauh di sudut hati timbul rasa kekesalan yang amat mendalam. Kekesalan yang tidak dapat ku ungkapkan dengan kata-kata. Aku tidak sepatutnya bersikap begitu
pada Amran. Kalaulah ketika dia hidup dulu aku… ahh.., segalanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Amran maafkan aku. Bukan niatku untuk menyakiti hatimu malah tidak pula terlintas di lubuk sanubariku untuk memainkan perasaanmu. Jika tidak kerana lelaki jahanam itu, mungkin hatiku tidak sekeras ini. Maafkan aku Amran.
Maafkan aku.

***
DENDAM YANG TERPADAM 12

“Nabila. Awak ni Nabila kan?” soal pemuda itu seraya menghampiriku. Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya. Siapa pula lelaki ini? Tak pernah nampak pun.
Mataku tertumpu ke arah pergelangan tangannya yang berbalut. Terdapat kesan darah yang meresap di atas kain putih itu. Ingin ku bertanya. Tetepi aku batalkan saja niat hatiku itu. Aku mengangguk. Dia tersenyum.
“Jenuh saya mencari awak. Nasib baik jumpa..” dia melahirkan rasa kelegaan.

“Awak dah makan?”

“Err.. belum. Kenapa? Awak nak belanja ke?” aku berseloroh. Sebenarnya aku cuba berbaik-baik padanya.
“Ok. Jomlah..” dia mempelawa.

“Eh.. saya cuma main-main saja..” aku agak terkejut dengan pelawaannya itu.

“Tak apalah. Lagipun saya ada perkara penting nak sampaikan pada awak..” katanya bersungguh-sungguh. Aku hanya menurut.

“Sebenarnya tujuan saya berjumpa dengan awak adalah hendak menyampaikan amanat Amran..” terang pemuda itu setelah mengenalkan dirinya sebagai Redza.
Barulah aku tahu yang dia merupakan rakan karib Amran.

“Amanat? “ aku berkerut dahi. Tanganku ligat bermain-main dengan straw minuman.

“Ya.. amanat. “ dia menekankan kata-katanya.
“Pertama sampaikan salam pada awak. Kedua dia ingin sekali meminta maaf kepada awak.. dan ketiga.. err.. nanti sekejap..” Redza mengeluarkan sesuatu dari poket
kemeja. Kulihat terpandang sampul surat bewarna kuning dari tangannya. Lalu dia menyerahkan surat tersebut kepadaku. Aku menghela nafas panjang. Entah kenapa
tanganku agak terketar-ketar ketika menyambut hulurannya itu. Di hadapan sampul surat tertera namaku.

Nabila bte Mohd. Nuh
“Bukalah..” Redza mengarah.
Dengan berhati-hati aku mengoyakkan sampul surat itu. Wangian harum semerbak menusuk ke lubang hidungku. Macam bau minyak wangi 'Dashing' saja. Bisik hatiku.
Aku membaca surat itu. Aku dapati isi kandungan surat itu merupakan sebuah lagu. Lagu nyanyian kumpulan KRU dan Elite. Apa agaknya motif Amran memberikan aku
lagu ini. Aku berfikir.
“Dia berpesan, lagu tu dia hadiahkan khas untuk awak dan dia berharap yang awak akan berubah….”
Hatiku semakin terusik.

****
DENDAM YANG TERPADAM 13

“Inilah emak Amran, Puan Aishah. Dan makcik yang ini Nabila dan di sebelah tu Fatin..” Redza memperkenalkan kami kepada ibu arwah Amran. Wanita yang agak
berusia itu tersenyum simpul menyambut kami. Bersebelahan dengannya merupakan adik perempuan Amran, Suraya.

“Walaupun makcik sedih di atas pemergiannya. Namun makcik tetap redha. Syukurlah keadaan dia tidaklah teruk sangat. Sebelum dia kembali ke rahmatullah dia rajin
bersolat. Ke hulu ke hilir dengan tangan memegang Al-Quran membuatkan makcik hairan…”

Aku mendengar cerita Pn. Aisyah dengan khusyu’. Dia kelihatan tenang sekali.

“Amran ada bercerita mengenai Nabila. ..” Aku tersentak apabila namaku disebut.

“Makcik kenal kamu melalui gambar ini..” seraya dia menunjukkan gambarku. Aku bertambah-tambah terkejut. Macam mana gambar aku boleh sampai ke tangan Amran.
Aku berpaling ke arah Fatin. Kulihat dia tersenyum tawar sambil mengerakkan bibir untuk berkata sorry.

“Bertuah dia dapat berkawan Nabila. Nabila seorang gadis yang baik..” Aku tertunduk malu. Malu dengan diriku sendiri. Kerana aku bukanlah gadis begitu.

Sehingga kini masih terngiang-ngiang lagi di cuping telingaku akan suara Amran yang tak pernah lekang mengusikku. Serentak ketika itu kedengaran lagu Di Pintu
Syurga berkumandang di ruang udara. Aku cuba menghayati lirik lagu itu. Dan yang paling membuatkan sebak pabila mendengar lirik ini

“Andai daku pergi sebelummu.., kenangkan daku selalu.., di dalam doamu.. kaulah cinta pertama dan terakhir untukku.. semoga kukan menantimu setia menunggu di pintu syurga……”
Perlahan-lahan air mataku menitis. Hatiku yang dahulunya keras aku disebabkan seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab telah dilembutkan oleh seseorang lelaki juga. Aku nekad tidak mahu mendendami mana-mana lelaki lagi selepas ini. Secara tidak sengaja dendam yang telah lama terbuku dihatiku perlahan-lahan hilang. Api yang dahulunya marak dan membakar telah mula terpadam dek air hujan yang mencurah. Allah itu Maha Berkuasa.

-TaMaT-

nizazulkarnain@bi.com.my


MENITI GARIS PELANGI

Suasana suram dan pilu semakin menyelubungi kamar tidurku. Matahari senja telah lama gugur dari lindungan langit. Cuaca mendung pada malam ini seakan-akan mengerti kesedihan yang sedang hebat melanda naluriku. Malam dicengkam kedinginan seolah-olah ingin memuntahkan selautan hujan untuk menenggelamkan bumi dan sekaligus menghapuskan kedukaanku.
Seingat-ingatku, sudah empat hari aku memencilkan diri di dalam kamar ini.

Mama dan papa serta Mak Timah saban hari memujukku dari luar bilik. Tapi, ternyata usaha mereka selama ini menuju kegagalan. Aku hanya keluar apabila perutku mula terasa lapar yang amat sangat. Itupun ketika semua orang di dalam Anggerik Villa ini sedang melayari mimpi yang indah dan mengasyikkan. Ketika itu aku persis seorang pencuri yang ingin mencuri makanan di dalam rumahnya sendiri.

Kejadian lima hari lepas benar-benar meruntun hati dan perasaanku. Aku telah kehilangan seseorang yang amat kusayangi. Dia seorang yang begitu memahami fe'elku. Kenapa ini semua terjadi? Kenapa terlalu awal Zam pergi Kenapa Zam tinggalkanku terkapar-kapar seorang diri di sini? Kenapa dunia ini tak berlaku adil? Kenapa semua orang yang kusayangi dan baik padaku pergi tinggalkanku? Kenapa tidak orang yang kubenci selama ini?

Persoalan demi persoalan begitu kerap bertandang dan mengetuk kamar hati dan ruang mindaku. Ia sentiasa berputar ligat di dalam fikiranku namun tiada jawapan yang boleh aku berikan untuk memujuk hatiku yang keluh-kesah dan gelisah seperti cacing kepanasan ini.

Tiba-tiba aku terpandang sebuah rumah kristal yang dihadiahkan oleh Zam di atas meja tulis. Aku mengambilnya lalu kutatapi dan kurenunginya. Kau begitu mulia Zam. Sanggup kau buat semua ini semata-mata inginkan aku sentiasa mengukirkan senyuman. Tapi kini bagaimana aku harus senyum?

Padahal kau baru saja pergi Zam. Ini benar-benar berlawanan dengan prinsip hidupku. Bergembira di atas kesengsaraan dan penderitaan orang. Perkara ini tidak ada dan tidak akan sesekali wujud dalam kamus hidupku. Bagaikan terbayang-bayang wajah Zam yang kutatapi buat kali yang terakhir.

Masih lagi terngiang-ngiang di telingaku segala pesanan dan amanat terakhirnya. Ia bagaikan sebuah wayang gambar yang sedang berputar memainkan cereka yang penuh tragis di dalam fikiranku. Tanpa kusedari dan kupinta, air jernih mula bertakung di kolam mataku dan mula mengalir lagi untuk kesekian kalinya. Aku sendiri tidak pasti sudah berapa kali aku menangis dan meratapi pemergiannya. Aku sedar ini semua adalah takdir Illahi. Tiada siapa yang mampu melawan kehendak-Nya. Aku juga menyedari akan hakikat ini. Namun yang pasti aku tidak dapat menerima pemergiannya secara tiba-tiba. Zam pergi di saat-saat kami ingin menggapai impian dan cita-cita yang telah kami bina bersama-sama selama ini. Tahun ini adalah tahun penentuan masa depan kami. Tapi sayang sekali Zam tidak akan sempat menunaikan perjanjian yang telah kami tandatangani dengan keazaman kami berdua. Kucuba kuatkan semangatku yang masih berbaki persis sebesar zarah agar dapat membimbingku ke jalan yang benar. Aku membaca serangkai dua doa penenang jiwa agar boleh mengubati hatiku yang tidak keruan ini. Andai waktu boleh berputar, ingin sekali aku kembali ke masa silam di saat-saat aku menangis dan ketawa bersama-sama dengan Zam. Kenangan pada masa itu mula membesar dan menjajahi seluruh benakku. Aku terlalu rindukan saat-saat itu.
________________________________________________________________________

Suasana di dalam kelas tingkatan 5 Sains 1 hingar-bingar lantaran Cikgu Mariam, guru subjek Biologi tidak hadir ke sekolah. Keadaan yang sedia bising itu bertambah bising disebabkan aku bertengkar dengan Zam kerana dia menuduh aku ada affair dengan pelajar baru kelas sebelah yang baru masuk ke sekolah ini minggu lepas. Aku menafikannya tapi Zam tidak mempercayainya lantas menuduhku sudah tidak mahu berkawan dengannya lagi.

Gara-gara peristiwa inilah aku dan Zam hampir mencetuskan Perang Dunia Ketiga. Sakit hati, terkilan, kecil hati dan bengang meradak hatiku sekaligus akibat perbuatan Zam yang seakan-akan tidak percayakanku lagi. Dia sanggup mempercayai orang lain dan bukannya diriku ini sebagai kawan karibnya. Lantas aku bergegas ke taman mini sains sekolah yang berhampiran dengan kelasku setelah agak lama kami bertikam lidah. Selain itu aku sedar semua yang ada di dalam kelas sedang menonton drama yang sedang kami lakonkan ini. Zam dengan pantas pula mengekori jejak langkahku dan aku membiarkannya saja kerana tidak mahu bertengkar lagi.

Zam mengekori setiap langkahku dan perbuatanku hinggakan aku bosan dengan sikapnya itu. Apa kena dengan Zam ni Dahlah ikut saja ke mana orang pergi, apa orang buat, senyum-senyum pulak tu. Tambahkan sakit hati aku adalah. Zam senyum-senyum seperti kerang busuk ni macam nak sindir aku saja. Dah tu pandang aku tak berkelip-kelip. Aku sekadar diam seribu bahasa walaupun matanya tak lepas memandangku, tapi aku buat tak tahu saja. Setelah agak lama kebisuan bermaharajalela, aku lihat Zam kegelisahan seperti cacing kepanasan dan mulutnya terkumat-kamit seakan ingin berbicara denganku.

“Eida, janganlah macam ni. Maafkan Zam okay,” Zam mula memujukku. Suasana sunyi dan senyap yang bermaharajalela tadi bertempiaran lari. Zam sudah membuka mulutnya tapi aku masih lagi membatu.

“Eida, maafkanlah Zam. Zam tahu Zam salah. Zam tahu semua ni silap Zam kerana tak percayakan Eida. Zam juga tau Eida tak buat camtu. Hisham dan Adnan tu yang buat cerita tentang Eida dengan budak baru tu. Dia orang cakap, dia orang ada nampak Eida keluar dengan budak tu kat KLCC minggu lepas. Siap pegang-pegang tangan dan peluk-peluk lagi. Manalah Zam tak hot. Tapi, bila Zam tengok Eida bermati-matian menafikannya, barulah Zam percaya. Sorrylah Eida, sebab Zam lebih percayakan kata-kata orang lain daripada best friend Zam sendiri. Hukumlah Zam kalau Eida masih tak puas hati lagi. Zam sudi terima apa saja hukuman daripada Eida,” Zam menjelaskannya dengan panjang lebar.

Setelah agak lama aku membiarkan Zam bercakap seorang diri, akhirnya aku memulakan percakapanku walaupun dengan nada merajuk dan berkecil hati.

“Pergilah Zam, tinggalkan Eida sendiri di sini. Eida tak perlukan Zam lagi. Zam pun tentu tak ….. ”

“Kenapa Eida kata macam tu? Zam tetap perlukan Eida. Eida begitu penting buat diri Zam. Masakan Eida boleh kata macam tu,” potong Zam. Zam seperti tidak suka aku cakap begitu. Seharusnya Zam faham perangaiku yang memang pantang apabila orang menuduhku yang bukan-bukan padahal aku tidak buat perkara tersebut.

“Why not,” aku bersuara lantang seakan-akan ingin mengajak Zam bertikam lidah lagi. Tapi seketika kemudian aku menyedari kesilapanku lantas aku diam sebentar untuk menenangkan hatiku yang mula panas. Zam terkesima dengan perkataanku sebentar tadi. Keadaan kembali sepi seperti tadi. Kami berdua diam seribu bahasa melayani perasaan masing-masing dalam beberapa minit.

“Kalau macam tu Eida mesti senyum, ketawa dan gembira seperti dulu. Janganlah tarik muka empat belas lagi. Lagipun orang yang suka masam dan cepat marah ni lekas tua tau. Zam tak maulah kawan dengan orang yang lekas tua ni, nanti tak pasal-pasal berjangkit kat Zam pulak,” usik Zam tidak mahu mengalah.

“Alah Eida, senyumlah sikit. Zam dah penat tau pujuk Eida ni. Nanti kalau Zam tak mau kawan dengan Eida, Eida juga yang tak ada kawan. Nanti tak akan ada siapa yang nak kawan dengan Eida lagi tau. Lagipun, siapa lagi yang boleh tahan dengan perangai Eida yang kuat merajuk ni kalau bukan kawan Eida yang sorang ni,” usik Zam lagi setelah usikannya tadi tidak mampu mengubah pendirianku.

Walaupun begitu, aku rasa amat gelihati selepas dia menghabiskan ayatnya yang terakhir itu. Aku sendiri pun tak sangka aku boleh termakan dengan usikannya yang begitu bersahaja dan selamba tu. Walau bagaimanapun, aku berpura-pura tidak mengendahkan kata-katanya itu. Aku cuba jual mahal dengannya. Padan muka, biar dia tahu betapa susahnya nak memujuk aku. Siapa suruh dia tak percayakan aku. Ikut lagi ‘nasihat’ Adnan dan Hisham tu. Aku hampir-hampir nak ketawa tapi kutahan juga supaya Zam tidak perasan bahawa kata-katanya tadi mampu menundukkan egoku.

“Senyumlah sikit, sayang. Kalau sayang nak tahu, senyuman sayang tu mampu menyejukkan dan menggetarkan hati abang yang gundah-gulana ni tau.”

Serta-merta tawaku meletus setelah aku cuba menahannya sejak dari tadi. Usikan Zam dengan memanggilku ‘sayang’ sebentar tadi benar-benar menggelikan hatiku.

“Apalah Zam ni, panggil Eida ‘sayang’ pulak. Dah buang tabiat ke? Zam ni demam ke? Kalau demam, boleh Eida temankan Zam jumpa doktor,” balasku sambil mengusiknya.

“Tapi kan, Eida rasa tekak Eida ni loya semacam aje. Eida rasa tekak Eida nak terkeluar aje bila dengar Zam kata macam tu tadi,” sambungku pula sambil ketawa.

“Ha….. kan dah senyum tu. Siap ketawa lagi. Kan ke betul kata Zam, bila Eida ketawa dan ditambah pula dengan senyuman Eida yang manis tu, serta lesung pipit yang dalam tu, alam ini akan terus ceria,” usik Zam lagi tanpa membalas kata-kataku sebentar tadi.

“Dahlah tu Zam, janganlah usik Eida lagi.” Balasku dengan nada yang manja.

“Ok, Ok! Zam tak akan usik Eida lagi. Maafkanlah Zam ye, Eida. Zam janji Zam tak kan ulangi lagi.” Aku memandang mukanya sekilas. Kesian pula aku tengok mukanya yang ingin meminta simpatiku itu.

“Takkan maaf aje kut. Tak ada apa-apa ke,” balasku dan ingin lagi jual mahal.

“Oklah. Apa saja yang Eida mahu Zam akan tunaikan. Cakaplah apa dia.”

“Kalau Zam dah kata macam tu, apa kata kalau Zam belanja Eida makan di gerai-gerai, takpun pergi…… KFC.” Balasku mengusik.

“Amboi, amboi ……! Lebih-lebih pulak dia ni. Orang bagi betis, dia nak peha.”

“Bukan ke Zam dah janji, yang Zam akan tunaikan apa saja yang Eida minta. Tak adillah kalau macam ni.”

“Oklah, Zam boleh belanja Eida makan. Tapi tak bolehlah di KFC. Nanti overlah bugdet Zam bulan ni. Tapi…. Kalau…. di kantin tu bolehlah,” ujar Zam mengalah.

“Oklah, kantin pun kantinlah. Asalkan ada orang yang nak belanja Eida hari ni sudah. Selamat duit poket Eida hari ni. Kalau camtu, apa yang nak ditunggu lagi. Jomlah kita pergi, kalau tak nanti habis pulak makanan di sana. Nanti terlepas peluang untuk makan makanan yang dibelanja orang.”

Begitulah kami hari-hari. Kalau sehari kami tidak bertengkar, kami mengibaratkan dunia ini seperti kekurangan sesuatu yang amat berharga dan tidak ternilai. Aku dan Zam boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku. Kami tidak dapat dipisahkan lagi dan saling bantu-membantu dalam segala hal. Tapi, ada kalanya pula kami seperti anjing dengan kucing. Pantang kami bersua muka, pasti ada saja yang ingin ditengkarkan. Kawan-kawan dan semua orang yang mengenali diri kami akan berasa pelik dan hairan dengan telatah dan perbuatan dalam perhubungan kami. Sekejap berbaik, sekejap bermusuh. Orang lain tidak akan dapat memahaminya. Hanya kami sahaja yang memahami tentang perhubungan kami.

Sebenarnya, aku dan Zam telah lama berkawan, sejak kami berumur 5 tahun lagi. Kami selalu berada dalam kelas yang sama daripada sekolah rendah sampai sekolah menengah. Kami telah masak dengan perangai masing-masing. Tiada lagi rahsia antara kami. Kami seringkali berkongsi problem. Zam adalah teman yang pernah mengusap air mataku yang gugur pada waktu aku dilanda kesedihan. Selain itu aku juga menjadi pendengar paling setia pada cerita-ceritanya yang gembira mahupun yang pilu.

Tahun ini kami akan menduduki exam yang bakal menentukan masa depan kami, iaitu SPM. Kami mempunyai impian dan harapan yang sama, iaitu kami ingin menjadi seorang doktor pakar bedah bahagian otak yang berdedikasi pada suatu hari nanti.

Kami juga turut berkongsi hobi yang sama. Di Sekolah Menengah Sains Damansara Utama ini, semua guru mengenali kami. Bolehlah dikatakan kami famous di sekolah. Kami famous bukan kerana masalah disiplin tapi kerana kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum kami.

Setiap tahun aku dan Zam sentiasa menjadi pelajar terbaik di antara tingkatan di sekolah kami. Walaupun pada hakikatnya taraf kehidupan kami amat jauh bezanya ibarat langit dengan bumi tapi aku tidak sesekali memandang rendah kepadanya. Zam tinggal di rumah teres kos rendah di kaki bukit, manakala aku pula tinggal di dalam sebuah villa tiga tingkat di puncak bukit yang berhampiran dengan rumah Zam. Ayah dan ibu Zam hanyalah pekerja kilang di bandar metropolitan ini. Zam adalah anak yang kedua daripada enam orang adik beradik yang masih kecil. Berlainan pula dengan aku, papa seorang tokoh korporat yang berjaya. Mama pula seorang peniaga butik yang terkenal di ibukota ini. Aku pula merupakan anak tunggal dalam keluargaku.

Sungguhpun begitu aku bersyukur kerana walau sesibuk manapun mama dan papa bekerja, mereka tetap dapat meluangkan masa untukku dan selalu bertanyakan apakah peristiwa yang telah berlaku di sekolah setiap hari. Mereka juga tidak menghalang aku untuk berkawan dengan sesiapa pun. Aku tidak berlagak seperti kawan-kawanku yang datang daripada keluarga berada. Aku tetap naik bas sewaktu pergi dan balik sekolah walaupun pada awalnya dilarang oleh mama.

Memandangkan exam sudah hampir tiba, kami sering study bersama-sama di bawah pokok sena di hadapan rumah Zam. Suasana di situ nyaman dan menyegarkan membuatkan kami selesa membuat homework dan disscus tentang pelajaran kami. Minggu bertukar menjadi bulan, bulan berganti bulan, kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh setiap calon SPM. Kertas yang bakal kujawab nanti akan menentukan nasibku kelak. Adakah aku akan berjaya untuk mencapai impianku yang kugantungkan setinggi lelangit rumah itu?. Tanggal 10 November 2001 adalah tarikh keramat semua calon SPM seluruh Malaysia.

Sebelum pergi ke sekolah seperti biasa dengan Zam, mama dan papa tidak lupa memberi kata-kata semangat dan perangsang buat kali yang terakhir kepadaku. Pada mulanya mama dan papa ingin menghantarku ke sekolah, tapi aku menolak dengan lembut dengan alasan tidak mahu menyusahkan mereka berdua di samping aku ingin menemani Zam.

“You can do it, honey. I know you can. Trust me. Try your best. Ingat Allah banyak-banyak, ye. This is very important for your future. May god bless you,” Mama berpesan sambil mengucup dahi dan pipiku dengan penuh belaian kasih sayang seorang ibu.

“Ingat Allah banyak-banyak. Sebelum masuk dewan baca doa dan ayat kursi dulu. Jawab dengan tenang. Jangan gopoh, ye honey,” nasihat papa pula sambil mengucup mesra dahiku. Aku rasa terharu dengan segala kata nasihat dan perangsang mereka berdua. Aku rasa sungguh bertuah kerana dikurniakan seorang ibu dan ayah yang benar-benar menyayangiku. Dalam diam-diam aku sematkan jauh di dalam sudut hatiku untuk cuba dapatkan 15A1 dalam exam yang bakal kujawab nanti. Hari ini dengan penuh semangat dan sedikit gementar aku melangkah ke dewan peperiksaan untuk mengambil exam.

Sudah dua minggu peperiksaan SPM berlalu, Zam tidak lagi bertandang ke rumahku. Ke mana Zam pergi ni? Sudahlah batang hidung dia pun tak nampak, bila aku call dia, adik dia bagitau dia tak ada. Tapi…... bila aku tanya ke mana dia pergi adik dia kata tak tau. Hai…. Sungguh hairan bin ajaib kepala aku ni. Tak pernah-pernah dia buat macam ni. Bila aku pergi rumah dia pun macam tu juga. Mak cik Rosnaini bagitau dia tak ada di rumah.

Tapi… yang heran tu bila aku tanya ke mana Zam pergi dia kata tak tahu. Takkanlah dengan mak dia pun Zam berahsia. Zam…… manalah kau pergi ni, aku jadi tak tentu hala bila tak jumpa kau tau. Tak pernah pun dia berperangai macam ni.

Mama dan papa pun naik hairan dengan perubahan sikapku yang begitu mendadak. Aku sepatutnya bergembira dengan cutiku yang telah pun bermula. Cadangan mama dan papa untuk mengajakku pergi melancong ke overseas pun aku tolak semata-mata disebabkan Zam. Takkan aku nak bergembira dikala Zam entah ke mana hilangnya. Aku dapat rasakan Zam ada problem yang tidak dapat diselesaikan lalu dia melarikan diri dariku. Dia tidak akan dapat membohongi diriku apabila kami bersua muka di kala dia di dalam kesusahan kerana aku begitu bijak membaca riak wajahnya apabila dia ada masalah.

Kenapa Zam buat perkara yang bodoh ini? Tapi mungkin juga aku ada salah apa-apa. Tapi…… apa salah aku hah? Setahu aku bila dia nak marahkan aku dia terus-terang saja. Apa nak jadi dengan Zam ni. Satu berita pun aku tak dengar. Minggu ni dah nak masuk minggu ketiga cuti, tapi bayang-bayang dia pun aku tak nampak. Zam… Zam…, manalah kau pergi ni? Aku rindukan kau, tau. Aku nak dengar suara dan usikan kau yang bersahaja tu. Tolonglah hubungi aku Zam. Aku amat terasa kehilangan kau.

Pada petang Sabtu lalu, pada minggu keenam cuti, kedatangan abang Syafiq, iaitu abang Zam ke Anggerik Villa ini dengan muka dan pakaian yang tidak terurus tetapi nampak tenang itu benar-benar meruntun hati dan naluriku. Barulah aku faham kenapa aku tak nampak Zam sejak lima minggu yang lalu. Rupa-rupanya Zam sedang menderita dan berlawan dengan penyakit yang dihidapinya sekarang, iaitu leukemia. Sudah lima minggu Zam dimasukkan ke Hospital Putrajaya.

“Kenapa abang Syafiq tak bagitau kat Eida awal-awal yang Zam telah dimasukkan ke hospital dan ada penyakit leukemia,” Kataku terkilan sambil menangis selepas abang Syafiq habis berkata-kata.

“Bukan kami sekeluarga tak nak bagitau. Tapi itu adalah kehendak Zam sendiri. Abang kadang-kadang kesian tengok kau selalu telefon dan datang ke rumah kami untuk berjumpa dengan Zam, tapi kami tak ada pilihan lain melainkan terus merahsiakan daripada kau, Eida. Mengenai penyakitnya pula kami sekeluarga baru tahu beberapa minggu yang lalu, itupun selepas abang berkeras dengan doktor yang merawat Zam tu supaya bagitau apa sebenarnya penyakit Zam tu,” terang abang Syafiq lagi dengan panjang lebar.

“Habis… ada berapa lama lagi jangka hayat dia?” papa menyampuk setelah dia berdiam diri untuk beberapa ketika. Abang Syafiq menarik nafas panjang lalu melepaskan kembali sebelum mampu menjawab soalan papa tadi

“Mengikut kata doktor…., dia hanya mampu bertahan untuk beberapa hari saja lagi. Doktor sudah tak mampu lagi untuk berusaha. Mereka menyuruh kami supaya bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Mereka juga menyuruh kami berserah kepada Allah. Mereka juga berpesan supaya tunaikan segala kemahuan dan permintaan Zam. Syafiq ke mari pun kerana ingin tunaikan permintaan Zam yang terakhir. Dia teringin sangat nak berbicara dan berjumpa dengan Eida. Itupun kalau Datuk dan Datin tak keberatan.”

Aku terus menangis tersedu sambil memeluk mama. Aku tahu aku bakal kehilangan orang yang kusayangi. Aku juga tahu betapa deritanya Zam sekarang ni. Mama membelai rambutku dengan penuh kasih sayang.


“Makcik dan pakcik takkan halang. Pergilah Eida, tunaikanlah permintaan Zam yang terakhir ni. Sabarlah sayang. Dia perlukan sokongan daripada Eida. Mama dan papa akan mendoakan keselamatan Zam,” mama memberi kebenarannya sambil memberi kata-kata semangat kepadaku.

Sebaik sahaja aku sampai di bilik pesakit yang tertera nama Hafiz Redzuan Hanizam, aku terus meluru masuk tanpa sempat dihalang oleh seorang jururawat di situ. Aku terperanjat apabila melihat keadaan Zam yang tidak ubah seperti mayat hidup. Kepalanya tidak lagi dilitupi dengan rambutnya yang hitam berkilat dan terbelah dua. Aku tidak dapat lagi menahan rasa sebak yang kian mengasak di dalam dadaku sejak aku melangkah kaki ke bilik ini tadi. Mujurlah pada ketika ini Zam sedang tidur. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu Zam melihat aku menangis. Selepas keadaan aku kembali tenang, aku menanti dengan penuh sabar di sisi katil Zam. Zam tersedar setelah hampir lima belas minit aku berada di sisinya. Dia menggagahkan dirinya untuk menguntumkan sebuah senyuman kepadaku. Aku membalasnya walaupun aku dapat rasakan senyumanku terlampau hambar.

“Kenapa Zam jadi seorang yang kedekut? Kenapa Zam tak bagitau Eida tentang penyakit Zam ni?” tanyaku memulakan bicara setelah dia menegurku dan aku membalas dengan seadanya. Zam tersenyum kelat sambil mengeluh bagaikan ingin melepaskan segala penderitaan yang ditanggungnya itu.

“Kalau Eida nak tahu, Zam memang seorang yang kedekut. Zam tak mahu orang lain berkongsi derita yang Zam tanggung selama ini. Biarlah Zam sendirian menghabiskan sisa hidup Zam yang masih berbaki lagi.” Ujar Zam dengan nada yang sayu sekali. Suara itu mengandungi seribu derita yang tidak berkesudahan. Aku hampir-hampir menangis di depannya tetapi kugagahi juga supaya air mataku tidak tertumpah di depannya.

“Sejak bila pula Zam jadi macam ni. Selama ni kan kita selalu kongsi problem. Jika Eida ada problem Zamlah yang tolong settlekan untuk Eida. Tapi kenapa bila Zam ada problem Zam sorokkan.”

“Masa dan keadaan boleh mengubah sikap dan sifat seseorang, Eida. Jika dulu Zam bagi nasihat kat Eida supaya optimis dan berfikiran positif, sekarang Zam tak ada lagi kekuatan itu. Zam ingatkan Zam boleh harungi penderitaan ni seorang diri, tapi rupanya tidak. Zam amat perlukan Eida untuk tanam kembali kekuatan yang kian rapuh dalam diri Zam ni. Eida amat penting dalam hidup Zam.”

Suasana sunyi kembali bermaharajalela di dalam bilik ini buat seketika. Abang Syafiq yang menemani aku masuk tadi hilang entah ke mana. Kini di dalam bilik ini hanya aku dan Zam sahaja yang ada. Setelah beberapa ketika aku memulakan semula perbualan yang terbengkalai tadi. Pelbagai topik kami berbicara seperti hal sekolah, kawan-kawan, zaman kanak-kanak, impian kami dan macam-macam lagi. Pada malam itu, Zam memang banyak mulut. Dia tetap hendak bercerita macam-macam walaupun pada mulanya aku menegahnya. Tapi dia tetap hendak bercakap denganku atas alasan takut tak sempat lagi. Kami terus berbual sehinggakan kami tidak sedar bila kami terlelap.

Pada keesokan harinya Zam telah dulu bangun sebelum aku. Aku tertidur di sisi katil Zam.

“Eida, ingat tak rumah kristal yang kita lihat di Mahkota Parade tahun lepas sewaktu kita pergi lawatan ke Melaka dulu,” Zam memulakan bicara sesudah kami bersarapan bersama.

“Yang mana satu? Mmm…… Oh, rumah kristal tu. Ye… ye… baru Eida ingat. Rumah kristal tu memang Eida berkenan sangat, tapi….. masa tu Eida tak cukup duit nak belinya. Pada masa tu memang Eida terkilan sebab tak dapat membelinya. Kenapa Zam tanya?”

“Cuba Eida buka laci yang kedua itu,” kata Zam tanpa menghiraukan pertanyaanku tadi sambil jari telunjuknya menunjukkan ke arah laci tersebut. Aku membukanya lalu terpana sebentar dengan apa yang aku lihat.

Patutlah Zam tanya tadi, rupa-rupanya dia telah membelinya. Aku sungguh terharu dengan apa yang Zam telah buat. Rumah kristal ini harganya mencecah ribuan ringgit tapi Zam telah membuang duit begitu saja semata-mata untuk memenuhi impianku yang tidak aku jangkakan. Aku tidak dapat menyembunyikan rasa terharuku dengan semua ini. Tanpaku sedari manik-manik halus yang jernih mengalir ketika aku mengucapkan terima kasihku yang tidak terhingga kepada Zam.

Tepat jam 12.00 tengah hari, Zam telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisiku serta kaum keluarganya. Zam pergi dengan tenang melepaskan kesemua penderitaan yang telah ditanggungnya selama ini. Aku cuba berlagak tenang tapi dari kelopak mataku, mutiara jernih mula menitis tanpa kusedari. Zam telah pergi untuk selama-lamanya dan tak akan kembali lagi.
Aku teringat warkah yang Zam tinggalkan untukku yang belum kubaca. Dengan perlahan-lahan aku mengoyak sampul biru itu lalu warkah yang berwarna biru lembut itu kutatapi dan kubaca.

Eida, Terlebih dulu Zam ingin meminta ampun dan maaf seandainya kehadiran warkah ini akan membuatkan kehidupan Eida tidak lagi tenang. Sebetulnya apabila Eida membaca warkah ini, Zam tentunya sudah berada di alam lain dan terasing untuk semua manusia di muka bumi ini. Zam sekali lagi ingin memohon ampun dan maaf kerana telah merahsiakan penyakit yang telah Zam alami ini. Untuk pengetahuan Eida, Zam tahu Zam menghidap penyakit leukemia ini pada tahun lepas. Pada masa itu doktor ada beritahu penyakit ini masih boleh diubati kerana masih di peringkat pertengahan. Zam bukannya tak mahu berubat, tapi Eida fahamlah macam mana keadaan kewangan keluarga Zam. Zam tak mahu menyusahkan ayah dan ibu Zam. Kebetulan pada masa itu abang Syafiq amat memerlukan duit untuk pergi ke universiti. Bayaran perubatan untuk mengubati Zam ini mencecah ratusan ribu ringgit. Manalah ayah dan ibu Zam ada duit sebanyak itu. Sebab itulah Zam biarkan saja penyakit ini merebak. Kalau Eida nak tahu, tiap-tiap hari Zam terpaksa menelan pelbagai jenis ubat tahan sakit. Zam terseksa Eida. Hanya Allah saja yang tahu betapa sengsaranya Zam mengharungi penderitaan ini seorang diri. Kadang-kadang Zam terfikir kenapa Allah tidak mengambil terus nyawa Zam ini agar penderitaan yang Zam tanggung selama ini berakhir, tapi Zam kuatkan semangat Zam untuk terus menjalani kehidupan ini dengan penuh optimis. Zam selalu berdoa agar Zam pergi dengan tenang dan dalam iman. Walaupun jauh di dalam sudut hati ini, Zam tidak rela melepaskan apa yang akan menjadi milik kita, tapi kalau ini sudah suratan takdir Zam pasrah menerimanya. Zam telah banyak menderita. Izinkanlah Zam pergi dengan tenang. Jangan lagi ditangisi pemergian Zam ini. Eida……… Zam nak beritahu satu rahsia yang telah lama Zam simpan di dalam lubuk hati ini. Sebelum itu, sekali lagi Zam ingin memohon berjuta-juta kemaafan seandainya apa yang akan Zam nyatakan di sini bakal mengguris hati dan perasaan Eida. Perkara ini telah lama Zam simpan dan tidak mampu Zam luahkan. Biarlah Zam luahkan di atas warkah ini saja. Sebenarnya Zam telah lama menyimpan satu perasaan terhadap Eida. Perasaan ini amat sukar untuk ditafsirkan. Zam sendiri pun tidak menyedarinya bilakah perasaan itu hadir. Zam tahu dengan adanya perasaan ini persahabatan kita akan mula tak tentu hala. Zam juga takut akan natijahnya nanti bila Zam luahkannya. Zam amat takut persahabatan kita juga akan hancur berkecai begitu saja. Sebab itulah Zam banyak kali menafikannya. Tapi hati dan perasaan Zam tidak boleh menipu diri ini. Zam betul-betul menyayangi Eida lebih daripada seorang sahabat. Kalau boleh Zam tak rela Eida bersama dengan orang lain kelak selepas Zam tiada di dunia ini lagi. Tapi siapalah Zam untuk menghalang Eida. Zam tak sanggup untuk memikirkan dengan siapa Eida akan bersama kelak. Tapi, Zam tahu Zam tak boleh pentingkan diri sendiri. Alangkah bahagianya Zam kalau Eida pun mempunyai perasaan yang sama seperti apa yang Zam alami sekarang. Zam tak sempat nak tahu apakah perasaan Eida terhadap Zam. Eida, Zam sekali lagi minta maaf andai kata-kata Zam tadi menghancurkan hati Eida. Zam tidak pandai bermadah pujangga seperti seekor pungguk rindukan bulan tapi Zam amat berharap kalau Eida boleh memahaminya. Rumah kristal yang Zam hadiahkan itu diharap Eida jagalah baik-baik. Kalau Eida teringatkan Zam tenungkanlah rumah itu, pasti rindu Eida akan terubat. Zam tahu, Zam akan pergi sebelum sempat ambil result SPM, jadi Eida tolonglah ambilkan untuk Zam. Zam harap impian dan harapan yang kita gantungkan setinggi lelangit rumah itu dapat Eida capai walaupun tanpa Zam di sisi. Zam tidak lagi menaruh sebarang harapan. Sama ada baik atau buruk result itu nanti sudah tidak berguna lagi apabila Zam pergi nanti. Zam cuma berharap dan mampu berdoa agar cita-cita Eida untuk menjadi seorang doktor pakar bedah bahagian otak yang berdedikasi itu mampu Eida capai. Cuma satu harapan Zam, Eida jagalah diri Eida baik-baik. Tolonglah tengok-tengokkan keluarga Zam di rumah. Janganlah suka bertindak mengikut nafsu. Ikutlah suara hatimu yang baik itu. Janganlah ditangisi pemergian Zam ini. Zam nak tengok senyuman Eida sentiasa menghiasi bibirmu yang mungil itu. Untuk kesekian kalinya Zam ingin memohon ampun dan maaf yang tidak terhingga. Terima kasih kerana selama ini Eida menjadi sahabat Zam yang amat memahami diri ini. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Selamat tinggal, sayangku. Assalamualaikum……… Sahabatmu, Zam (27/12/2001…… 11.30 mlm)

Aku tidak dapat lagi menahan sebak yang sedang hebat melanda diri ini. Aku menghamburkan segala-galanya. Kebetulan pada masa ini radio yang sedang terpasang sejak dari tadi memutarkan lagu “Salam Terakhir” nyanyian Sudirman. Itu adalah salah satu lagu yang amat Zam suka semasa hayatnya.

Aku terus menangis tersedu apabila mengingati Zam. Zam, pergimu dengan penuh tragis. Tempatmu di dalam hatiku dan tidak akan ada sesiapa pun yang mampu menggantikannya. Jauh di dalam sudut kamar hatiku, aku juga mempunyai perasaan yang sama seperti yang Zam alami. Jangan bimbang Zam, selagi nadi ini berdenyut, selagi darah dalam tubuh ini mengalir tidak akan ada sesiapapun yang akan merampas Eida dari diri Zam. Eida berjanji di hadapan Rumah Kristal ini. Eida akan teruskan kehidupan ini demi Zam. Eida akan merialisasikan impian kita berdua walaupun tanpa Zam di sisi.

Tunggulah suatu hari nanti Eida akan menjadi seorang doktor pakar bedah bahagian otak yang berdedikasi. Nama Nurul Juliana Shahidatul Dursina akan seiring dengan nama doktor-doktor pakar bedah dari luar negara. Eida akan bina hidup baru dengan setiap kenangan kita berdua. Zam tidak akan Eida lupakan buat selama-lamanya. Pemergian Zam tidak akan lagi Eida tangisi.

Eida pasrah dengan segala-galanya. Dengan perlahan-lahan aku melangkah ke bilik air untuk menunaikan solat sunat pada dinihari ini. Aku ingin mendoakan kesejahteraan Zam di sana agar Zam berbahagia dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang Allah kasihi…...


Kabut Kasih


Karya: Selina S. F. Lee


Lapan tahun. Lapan tahun bukan suatu jangka masa yang singkat. Lapan tahun cukup untuk mendewasakan perantau seperti aku. Aku belajar tentang kehidupan, per­juangan dan kemanusiaan. 2922 hari aku tinggalkan kam­pung halaman demi mengejar secebis cita-cita yang kuya­kini. Aku tinggalkan Milah, meskipun dia tak mengizinkan. Aku tinggalkan Amir, anakku yang belum tumbuh gigi lagi. Aku bungkus kasih dan sayangku terhadap Milah dan Amir. Aku menahan sebak dan ngilu di hati. Aku melangkah, membawa beban kasih meninggalkan segalanya di kampung.

Masih terngiang di ingatanku, tangisan Milah yang mem­belah kesunyian malam tika aku khabarkan kepadanya ten­tang niatku ingin ke kota, melanjutkan pelajaran.

"Abang, abang tak usahlah pergi. Rezeki yang ada sekarang ini pun sudah cukup membahagiakan Milah."

"Milah kita harus melihat lebih jauh. Kita tidak harus berpuas hati dengan keadaan yang ada sahaja. Kita mesti maju, demi Amir dan untuk anak-anak kita yang bakal lahir nanti."

"Tidak bang, Milah tak mahu abang menjadi tamak. Mi­lah bersyukur dengan pemberian Tuhan selama ini."

"Milah, mengertilah. Abang cuma ingin memberikan yang terbaik untuk Milah dan anak-anak kita. Abang bukan ta­mak, cuma ingin lebih maju. Lagipun peluang yang abang dapat sekarang pun adalah rezeki pemberian Tuhan juga. Jadi Milah, mengapa harus kita menolak?"

"Milah tak peduli. Abang sudah berjanji dulu bahawa abang tidak akan berpisah dengan Milah walau sehari pun. Mak jadi saksi!"

"Janganlah merajuk, dengar dulu Milah, abang bukan nak tinggalkan Milah, abang cuma nak sambung pelajaran."

"Dah! Dahlah tu, Milah tak mahu dengar alasan abang. Milah nak abang pilih sekarang juga! Milah atau pelajaran. Kalau pilih Milah, tinggal di sini. Kalau pilih pelajaran, abang boleh pergi dan tak payah balik lagi!"

"Milah, mengapa tergamak kau? Kau pun tahu Milah, abang sayangkan kau lebih daripada segala-galanya. Tapi abang juga punya keinginan dan cita-cita sendiri. Abang ingin belajar lagi kerana itu adalah cita-cita abang sejak dari kecil lagi."

Oh, Milah maafkan aku! Lapan tahun cukupkah untuk melembutkan hati seorang perempuan seperti Milah? Aku kurang pasti.
Surat -surat yang kukirim ke kampung, tak satu pun dibalasnya. Aku pasti Milah masih marah. Aku kembali ke kampung apabila mendapat cuti, tapi Milah enggan bertemu. Bukan itu saja, malah ibu Milah juga turut bersikap pem­bengis.

Milah, apakah dosaku begitu besar sehingga tak terdaya kau memaafkan? Milah, aku masih menyintaimu hingga ke sa at ini. Maafkanlah aku. Aku ingin kembali kepadamu, mengongsi kejayaanku bersamamu dan Amir.

Lapan tahun, kalau setitis air sehari berguguran di atas api kemarahanmu, pasti ia sudah padam setelah 2922 hari. Milah, padamkanlah api itu! Jangan biarkan ia membakar hangus masa depan anak kita. Milah! padamkanlah api itu!

Amir anakku, bagaimana kau sekarang? Ayah yakin, ten­tu kau sudah besar, sudah bersekolah, ya sayang. Ayah da­pat khabar dari kampung, kau sudah masuk tahun dua persekolahan. Kadang-kadang tergetus di hati kecil ini ingin segera bertemu Arnir: "Tunggu Mir, ayah akan pergi jum­pa dengan kau nak."

Malahan sering kuberbisik keseorangan: Ayah tak dapat bayangkan bagaimana rupa kau, Mir. Apakah ada iras ayah atau iras ibumu? Bagaimana harus ayah bertemu dan menyatakan. rindu dan kasih ayahmu? Amir, hati ayah bagai ditusuk sembilu setiap kali ayah terkenangkan kau. Tangis­mu, hilaimu dalam ingatan ayah cukup membahagiakan. Tetapi ayah selalu terseksa setelah terjaga dari khayalan in­dah ini.

Aku gagahi juga semangat yang terdorong oleh rasa rin­du dan kasihku terhadap Amir. Aku mesti menemui Amir, anakku yang terlepas dari dakapanku sejak lapan tahun yang lalu. Amir, ayah akan kembali mendakapmu erat-erat. Ayah akan mengusap rambutmu seperti yang selalu ayah bayangkan. Kali ini, aku akan pastikan impian ini menjadi kenyata­an. Aku akan pastikan.

"Cikgu, saya Amran, ayah Amir bin Amran. Boleh saya berjumpa dengan dia?"

"Tentu boleh, silakan." Aku meninjau-ninjau wajah-wajah kedl, bersih dan sud di hadapanku. Daripada sinar mata mereka tak ada duka yang terbayang. Semuanya riang melakarkan potret keluarga masing-masing di atas kertas lukisan. Aku mencari-cari Amir di antara wajah-wajah itu. Aku memandang kepada guru. Dia tersenyum mesra, me­restui "pencerobohanku" . Aku meninjau-ninjau lagi. Siapakah di antara anak-anak cornel itu anakku?

"Amir, pandanglah ayah! Ayah datang!" Bisikan dalam hatiku semakin mendesak malah aku rasakan hatiku sedang menjerit -jerit memanggil nama Amir.

Aku mencari-cari lagi di antara wajah-wajah itu. Aku mengamati satu persatu wajah kecil itu dengan instinct seorang ayah. Aku pasti aku akan dapat mengenali Arnir. Aku terbayangkan mata bulat bersinar Amir dengan bulu mata yang panjang dan lentik mesra memandangku tika Amir berada dalam pangkuanku dulu. Aku terbayangkan rambut hitam Amir yang berkeriting cantik. Amir cukup comel dan riang waktu kecilnya.
Aku kembali mencari wajah cornel dan riang di antara wajah-wajah itu. Kali ini aku pasti. Budak lelaki yang pen­diam, duduk menyepi di sudut meja melakarkan lukisannya. Tanpa mempedulikan usikan kawan-kawan tekun dia me­lakar dan mewarna. Aku pasti inilah Amir. Arnir yang aku cari dan rindui selama ini!

Amir, mengapa wajahmu begitu muram? Mengapa kau tak seriang seperti waktu kecilmu? Tika ayah menggeletek kau hingga tergelak terkekeh-kekeh. Ke mana perginya ke­rianganmu itu Amir?

Aku menghampiri Amir. Aku merenung wajahnya lama­-lama. Seketika, mataku bertentangan dengan mata bulat co­mel Amir. Bagai dikejutkan oleh panahan petir aku terjaga daripada lamunan. Aku mengukir sebuah senyuman yang entah apa ertinya pada pandangan Arnir. Amir memandangku buat seketika. Dahi kecilnya berkerut lagi. Kemudian dia kem­bali menghadap lukisannya yang belum selesai itu. Aku sedlikit tergamam dan kecewa.

"Mengapa kau tak peluk dan cium Amir?" Aku bertanya pada diriku sendiri.

"Mengapa kau biarkan Amir begitu?" Cakaplah kepada Amir bahawa kaulah ayahnya. Cakaplah.... "

Tapi, aku tak terdaya melakukannya. Barangkali jurang per­pisahan selama lapan tahun itu terlalu luas dan dalam un­tukku mencapai Amir.

Aku ikut Amir menghadap lukisannya. Oh, seorang ne­nek dan seorang ibu, seorang anak kecil memangku seekor kucing hitam.

"Amir kenapa kau tak lukis seorang lagi?"

"Siapa?"

"Ayahmu."

"Ayah???" Arnir tak ada ayah. Nenek kata ayah dah mati. "Dah mati? Sejak bila?"

"Dah lama, Amir pun tak ingat."

"Jadi Amir percaya?"

"Nenek tak bohong. Nenek sayang "Ibu?"

"Ibu pun sayang pada Amir."

"Amir percaya ayah dah mati?"

"Tak tahu." Dahi kecil itu berkerut lagi.
Milah, rupanya api kemarahan au masih membara lagi walaupun sudah lapan tahun berlalu. Milah, kau telah bakar hangus cinta dan harapan seorang anak terhadap ayahnya. Kau telah musnahkan segala keindahan dnta dan kasih seorang ayah dan suami. Oh, bagaimanakah harus aku me­nyubur kembali segal a yang telah menjadi abu itu?

Aku memandang Amir lagi. Kali ini pandanganku agak kabur, dikaburi air mata yang tergenang di kelopak mata. Selamat tinggal Amir. Maatkan ayah yang tak terdaya meng­khabarkan kebenaran ini. Tunggulah, ayah akan kembali setelah kau dewasa nanti.

Aku. melangkah beberapa langkah dari meja Amir ketika kudapati beberapa orang murid lain turut memerhati aku. Seketika itu juga Amir berhenti mewarna lukisannya. Dia mendongak. Matanya tajam merenungku. Mata yang kurin­dui bertahun-tahun lamanya. Haruskah aku pergi? Seko­nyong-konyong kakiku begitu berat untuk melangkah... .

Amir. "


Munajat Cinta Agung


Hatiku bergetar
Bila nama-Mu disebut, dialun
Alangkah sayunya hati
Alangkah pilunya hati
Kenangan dosa-dosaku yg menggunung

Engkau bisa saja menghukumku
Tapi Engkau hulurkan rahmat-Mu
Menggerakkan aku mencari taubat-Mu

Ya Allah Engkau Tuhanku
Tiada Tuhan melainkan Engkau
Engkau cinta Agungku
Nabi Muhammad pesuruh-Mu

Ya Allah Engkau sumber bahagia
Engkaulah sumber keselamatan
Ya Allah Engkau sumber keamanan
Engkaulah segalanya

Ya Allah Engkaulah pelindungku
Engkaulah sumber rezekiku
Di waktu sakit Kau sembuhkan
Di waktu lapar Kau beri makan

Ya Allah Engkau Cinta Agungku
Cintaku haraplah dibalas
Ya Allah Engkau Cinta Agungku
Janganlah cintaku tidak dibalas

Jangan biarkan ku tanpa pimpinan
Pimpinlah aku ke jalan yang benar
Kepada Engkaulah harapanku
Janganlah hampakan perasaanku

Jangan Engkau tinggalkan aku
Walau sesaat, atau waktu yang lebih singkat dari itu…


Pengajaran....


Memandang wajahnya sudah mula membuatkan aku kalut. Bertahanlah wahai hati. Engkau harus pandai mengawal perasaan kau tu. Habis la kalau dia tahu. Dia pemuda kacak di sekolah. Seingatku dialah orang yng pertama yang memperkenalkan dirinya padaku sewaktu aku mula-mula datang mendaftar di situ . Aku membayangkan yang dia seorang yang berbudi bahasa. Tiga hari kemudian sikapnya yang sebenar mula kelihatan.Aku tergamam apabila dengan tidak sengaja terdengar perbualannya dengan kawan-kawannya.

"Aku tabik kat kau la. Baru tiga hari kau dah dapat pikat 3 makwe. Apa ubat yang kau pakai hah ?" Aku terkejut yang amat sangat. Mujur fail yang aku bawa tidak terjatuh kerana terlalu terkejut.
"Aku tak pakai apa-apa pun. Dia orang yang terhegeh-hegeh nak kat aku.Takkan aku nak tolak tuah kot ." ujarnya sambil tersenyum.
Entah apa perasaan aku waktu mendengar bicara yang keluar dari mulutnya. Katakan apa yang ku dengar itu semuanya dusta.
"Kau kenal kan dengan budak baru 2. Ala yang kurus kering tu. Aku ingat dia dah jatuh cinta kat aku la. 2-3 hari ni asyik mengekor kat mana je aku pergi. Rimas la..Muka pun bukannya lawa sangat. Hanya kesian kat dia je.."
Air mataku menitis tanpa aku sedari. Ya Allah, begitu sekali tanggapan dia padaku.Wal hal dia sebenarnya yang asyik mengekoriku ke sana ke mari. Apa lagi pembohongan yang aku harus dengar . Aku tak sanggup namun aku kena tahu jugak.
"Kau jangan main-main dengan perasaan ni. Nanti kau pulak yang tersungkur. " Seorang lagi kawannya mengingatkan dia. Balik dari sekolah aku terus mengunci diriku di dalan bilik. Setiap pernghinaan yang dia berikan masih lagi terngiang-ngiang di telingaku. Aku nekad.Setiap penghinaan dia akan aku balas.Biar dia merana.
Keesokan harinya aku meneruskan persekolahan seperti biasa. Aku melayannya seperti biasa.Senyuman dan lakonan yang aku buat benar-benar berjaya.Dia langsung tidak mengesyaki apa-apa.
Malah hubungan kami tetap berlangsung dengan begitu baik.Dia melayanku dengan baik namun aku sedar yang itu hanyalah topeng semata-mata.Apabila dia berjenaka aku tersenyum dan bila dia berbicara pasal hati dan perasaan,aku mengikut rentaknya dan menyatakan betapa aku merinduinya.
6 bulan aku melakonkan watakku dengan begitu berjaya. Aku akui yang aku gembira berasa di sampingnya namun demi sebuah maruah yang terobek aku tak harus berpaling ke belakang lagi.
Suatu hari, dia menyatakan yang dia ingin berjumpa denganku.!3 Febuari. Katanya dia ingin menghadiahkan sesuatu yang berharga buatku. Aku terima pelawaannya untuk berjumpa denganku. Aku mengenakan blause bewarna pink dengan skirt yang bewarna putih pada hari yang amat bermakna buatku. Hadiah yang dia takkan lupa buat selma-lamanya.
Sewaktu dia menjemputku, dia menghadiahkan aku sekuntum bunga . Bukan bunga ros tetapi bunga kertas. Aku tersenyum bangga.
Kami makan di sebuah gerai di tepi jalan. Almaklumlah kami berdiua masih belajar.Dan dia tanpa segan silu menyatakan sesuatu padaku.
"Aku dah jatuh cinta pada kau"
Aku terkejut. Bukan dengan kata-katanya tetapi bunyi vibrate telefon yang berada dalan beg. Aku menjawab panggilan tersebut dan membiarkan dia menanti jawapan dariku.
"Kau serius?"soalku. Dia mengangguk. Aku tersenyum. Benarkah kata-kata yang terluah di bibirnya.
" Aku juga sudah jatuh cinta" balasku. Dia tesenyum meleret mendengar jawapan yang terkeluar dari mulutku.
Dia ingin memegang tanganku tetapi aku menolak.
"tiba-tiba satu suara menyapaku dari belakang. "Dah lama ke tunggu. Sorry,jam sikit tadi." Aku tersenyum memandang wajah itu.Dia memandangku dengan pandangan yang bingung.
"Siapa dia ?" soalnya.
"Dialah orang yang berjaya mencuri hati aku. Selamat hari kekasih." ujarku lalu pergi dari situ.
" Awak tak kesian ke kat dia?" soal pemuda di sisiku.
Aku menggelengkan kepalaku laju.
"Untuk apa? Cinta saya telah saya serahkan pada awak. Tak mungkin ada dua.Biar ia jadi pengajaran buat dia supaya jangan main-main dengan hati dan perasaan. Dan awak...jangan sia -siakan kasih sayang yang saya semai..."


KEBULURAN


Apabila rumah tumpangan di pekan itu ditutup, Amena sekali lagi pulang ke kampungnya. Suami dan anak Amena telah diserang penyakit cacar dan meninggal dunia. Dia sendiri masih tidak dapat menerima ujian Tuhan ini dan mengapa dia masih dipanjangkan usia. Dia tiba ke kampungnya dengan mengikut jalan yang menuju ke Pejabat Daerah. Sekarang musim luruh. Buat beberapa bulan yang akan datang ini, Amena bercadang mencari rezeki sama ada dengan mengetam padi atau dengan mengumpul padi yang bertabur di sekitar sawah.

Tetapi Amena mendapat jawapan yang agak mengecewakan daripada isi rumah di mana dia pernah mengambil upah mengetam padi. Mereka tidak memerlukan khidmat ini lagi selepas membuat keputusan untuk mengetam padi mereka sendiri, dan yang lebih itu bolehlah dihantar ke kilang di Jhalakati.

Rumah orang kaya lain di kampung itu juga kurang memberi sambutan kepada Amena semasa dia pergi meminta kerja. Mereka juga akan mengetam sendiri padi mereka.

Seorang perempuan tua dalam rumah itu bersimpati dengan Amena, "Dulu lain. Ketua keluarga rumah ini sekarang mahu mengerjakannya sendiri. Dia mengarah kami jangan memberi sesiapa pun mengetam walaupun sebutir padi."

Tiada pilihan ain nampaknya selain mengutip lebihan padi yang berselerak di tanah. Memang perkara biasa butir padi yang kuning keemasan yang tidak terhingga bilangannya bertaburan di sana sini di bendang selepas pak tani membawa tuaian mereka pulang. Ramailah orang tidak kira tua dan muda akan mengutip padi ini, dan setiap tahun, jadi semacam pertandingan di kalangan kanak-kanak untuk mengumpul padi ini di musim luruh.

Amena tidak mempunyai pilihan lain lalu memulakan kerja mengumpul padi dari bidang tanah yang luas kepunyaan keluarga Munshi. Rumah keluarga Munshi yang tersegam kelihatan di celah-celah rumpun pokok pisang, kelapa, dan pinang. Sambil menikmati pandangan yang indah itu Amena tenggelam dalam imbas kembali memori yang telah berlalu:

"Hashem Bhai?"

"Ada apa?"

"Mari kita pergi petik buah zaitun di pokok sebelah sana tu. Buahnya lebat sungguh."

"Jangan banyak sangat makan buah zaitun. Nanti kau demam pulak."

Demikianlah Hashem menolak cadangan Amena. Pada masa itu Hashem sedang sibuk mengaut jus dari batang pisang dengan menggunakan cengkerang siput. Ia seolah-olah suatu permainan yang meniru orang mengumpul nira dari pokok tamar.

"Ah ... aku tak hairanlah kalau demam sikit. Cakaplah, boleh tak kau ambilkan aku buah zaiton tu? Boleh tak?"

Amena kemudian merampas cengkerang siput dari tangan Hashem. Hashem meradang lalu membalas, "Bagi balik cengkerang aku ; aku tak mahu ambil buah zaiton untuk kau."

Hashem balik semula menoreh batang pokok tadi dengan pisau lipat yang kecil. Tidak lama menudian dia cuba memujuk Amena dengan berkata, "Tunggulah sekejap, biar aku toreh batang pokok ini dan tadah airnya sikit."

Tetapi Amena telah meninggalkan tempat itu. Hashem memaling dan berteriak, "Amena!"

Amena laju sahaja menuju ke kelompok pokok zaitun. Hashem bergegas mengejarnya.

Sebentar kemudian kedua-duanya pulang dengan membawa banyak buah zaitun. Kedua-duanya kelihatan comot dan dimakan panas.

"Suka hati kau sekarang, Amena?"

"Mengapa pula? Aku bukannya marah pada kau!"

"Habis, apa?"

"Oh ... aku cuma mahu tengok setakat mana kau mahu tolong aku!" Selepas berkata demikian, Amena tertawa sendiri dan berlari dari situ. Hashem berdiri tegak seketika kemudian bernyanyi, "Aku tak akan berjauhan lagi....."

Hashem sedar bahawa lagu ini kebanyakannya didendangkan oleh orang dewasa. Namun begitulah perjalanan percintaan mereka semasa alam remaja. Mereka memetik buah dari pokok dan menangkap ikan dari paya. Boleh dikatakan banyak lagi permainan yang mereka main. Masa yang begitu lama telah juga berlalu. Sebuah pasar tani didirikan di seberang sungai. Seorang lelaki yang agak berumur dari kampung ini, yang bernama karamali, membuka gerai di pasar tadi. Walau bagaimanapun dia, malangnya telah dibunuh dalam suatu peristiwa. Dan ini ialah antara banyak peristiwa yang berlalu. Amena dan Hashem juga telah meningkat dewasa mengikut masa.

Tidak ragu lagi mereka telah melangkah ke alam dewasa.

"Amena!"

"Ada apa?"

Amena gementar sedikit mendengar suara Hashem memanggil namanya di suatu petang di bawah pokok. Hashem yang memakai selendang merah di pinggangnya mendekati Amena. Anak teruna itu memakai dhoti yang berwarna putih susu. Tubuhnya yang sihat seolah memancarkan cahaya. Perasaan malu membuat Amena mengalihkan matany daripada renungan Hashem yang menggoda. Hatinya berdebar. Hashem terpaku buat seketika. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini terasa semacam ada perubahan yang tidak dapat dijelaskan dalam perhubungan antara Amena dan Hashem. Mereka berasa agak sukar untuk bercakap sebebas yang mereka amalkan dahulu. Seperti ada suatu jurang, yang tidak ketara dan agak pelik, dalam kemesraan yang mereka nikmati semasa kanak-kanak dulu. Amena jadi kaku setiap kali dia melihat Hashem. Jejaka itu pula menggelabah apabila berdepan dengan Amena dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

Amena menguis-nguis tanah dengan jari kakinya. Dia terasa tidak selesa. Tidak tertanggung lagi rasanya keadaan sepi membisu itu. Lalu dia pun bertanya, "Apa yang kau nak katakan, Hashem Bhai?"

Hubungan rapat yang terjalin antara kedua-dua insan ini diwarnai kebelakangan ini dengan perasaan saling menghormati. Ibu Amena telah mengingatkan anaknya supaya memberi penghormatan yang sewajarnya kepada Hashem, anak seorang yang berada. Sejak itu Amena telah banyak berubah sikapnya.

"Aku dengar semua persiapan telah dibuat untuk perkahwinan kau!"

Amena menundukkan kepalanya seraya berkata dengan nada perlahan, "Memang begitulah nampaknya."

"Siapakah mempelainya?"

"Aku sendiri tak tahu."

Hashem tidak dapat berkata-kata buat seketika. Dia tidak dapat menangkap dengan tepat perasaan Amena. Tiba-tiba anak teruna itu tertawa lalu berkata, "Kau sudah tentu akan melupakan aku selepas kau berkahwin. Kau akan mendapat rumah baru, baju baru dan wang ringgit. Mana boleh kau ingat lagi perhubungan kita?"

Amena menjeling tajam pada Hashem Bhai, kemudian merendahkan pandangannya. Tidak terkeluar dari mulut pemuda itu apa sebenarnya yang ingin dikatakannya kepada Amena.

"Kau memang seorang yang baik hati. Aku yakin kau akan menjadi isteri yang taat. Muka dan telinga kau sudah pun diinai, dan kau hanya perlu labuhkan tudung saja di muka kau."

Amena tidak sanggup lagi mendengar kata-kata Hashem. Mungkin dik terguris dengan kata-kata pemuda itu, Amena segera berlari meninggalkan tempat itu. Hashem tertawa besar dan kemudian berjalan menuju ke rumahnya. Yang kedengaran ke telinga Amena hanyalah sayup-sayup suara Hashem yang menyanyi - "Memang dunia ini tidak mengandungi kegembiraan ..."


Memang jelas Amena tidak dikahwinkan dengan Hashem, sesuatu yang tidak terfikir dek akal. Bapa Hashem seorang yang berpengaruh dan mempunyai sentimen yang kuat. Dia mempunyai rancangan untuk mencari menantu daripada keluarga yang kaya.

Walau bagaimanapun ibu Hashem yang mengetahui perasaan anaknya terhadap Amena, pernah cuba berbincang dengan suaminya. Tetapi orang tua itu tidak bersetuju. Malahan dimarahinya pula isterinya dengan berkata, “Awak ingat aku dapat terima gadis hodoh itu sebagai menantu kita? Lagi pun dia itu daripada keluarga yang miskin!”

Pada mulanya ibu Hashem ingin membantah pendapat suaminya, tetapi kemudian dia membatalkan niatnya. Hashem juga keluar lalu menuju ke pasar. Di sana pemuda itu membeli dua helai sari dengan harga dua puluh taka yang dikumpulnya daripada jualan padinya. Dia memnawa balik sari-sari itu lalu menyembunyikannya.

Lebih kurang dua tiga hari sebelum hari perkahwinan Amena, Hashem menghadiahkannya sepasang sari itu.

“Masihkah kau ingat dulu-dulu semasa kita bersama mengumpul butir padi dari lading Munshi?”

“Ya, aku masih ingat.”

“Aku membeli sepasang sari ini dengan wang yang aku kumpul masa itu. Aku jarang berbelanja kebelakangan ini. Tapi sekarang tidak ada sebab aku menyimpan duit ini lagi. Aku rasa ingin memberi kau sesuatu sebagai tanda kenang-kenangan.”

Suara Hashem tersekat-sekat penuh emosi. Sambil mendakap sari-sari tadi dalam tangannya, Amena merenung pemuda di depannya – mencari-cari sesuatu yang ingin dilihatnya.

Hashem berpura-pura senyum dengan berkata, “Sudah tentu kau akan melupakan aku, ya Amena? Mengapa dengan kau? Mengapa kau tak berkata apa-apa? Aku tak akan ke sini lagi untuk mengganggu kau.”

Amena berpaling untuk menyembunyikan mukanya dalam lipatan kain dalam tangannya. Dia tidak berkata apa-apa. Cepat-cepat dia melangkah masuk ke biliknya. Hashem masih tercegat di situ dengan hati yang luka. Dengan perlahan dia berjalan menuju ke anjung. Ibu Amena membawa sebuah kerusi rotan dan menjemputnya duduk.

“Terimakasih. Saya ke sini untuk mengucapkan selamat tinggal, kerana esok saya akan bertolak.”

“Kau akan ke mana, nak?”

“Saya akan ke Bandar mencari kerja. Pendapatan keluarga kini semakin hari semakin kurang.”

Dalam bilik, Amena tergamam mendengar kata-kata Hashem. Dia bimbang dengan keputusan Hashem untuk berhijrah ke Bandar. Senikata lagu Hashem masih terngiang-ngiang di kepala Amena. Pada ketika itu Hashem telah pun meninggalkan tempat itu dan melintas pembetung di luar sana sambil menyanyikan lagu yang sama, “Tidak ada kebahagian…….”

Bidang tanah yang sama dengan tanah merekah yang sama dikelilingi pokok tamar terbentang di depannya. Butir padi yang berlumpur dan lubang sarang tikus semuanya masih di situ. Kampung yang sama dengan alam sekitarnya yang ceria, kumpulan bangau dan bunyi merpati - semuanya masih tidak berubah. Yang sudah tidak ada lagi hanyalah memori indah masa silam.

Butir padi yang keemasan, dipungut oleh Hashem dari tanah ini, semata-mata untuk membeli kain sari untuknya. Butir padi yang bertaburan itu menambahkan lagi kelaparan Amena. Kelaparan yang tidak mungkin dipadamkan.

Jari-jarinya enggan bekerja lagi. Matanya merenung tanpa melihat rumah keluarga Munsyi. Apa yang dilihatnya hanyalah kepiluan yang membisu seorang perempuan yang tidak bermaya.

Kali ini dia gagal mengutip walaupun sebutir padi dari bidang tanah yang sama.

TAMAT.

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers