Hari Kepulangan Abang

Baru setengah jam aku duduk membaca buku di anjung rumah. Tiba-tiba mata ku terpaku pada tubuh lampai di halaman. Dengan muka yang agak cekung dan langkah yang pantas, wajah yang biasa itu memang amat ku kenali. Wajah ku segera menampakkan keriangan. Telah lama aku merindui wajah yang amat ku sayangi itu. Kini seakan terubat rasa rindu ku.

"Mak ! Abang Mazlan balik, mak," terpantul suara ku agak nyaring dari biasa dengan nada riang.

Suara ku berulang beberapa kali kerana tiada sahutan dari dalam rumah. Malah lebih nyaring dari sebelumnya.

Abang muncul di muka pintu. Aku cepat-cepat menyambut beg sandang yang dihulurkannya. Terpampang pada beg itu logo universiti kebanggaan abang.

"Mak dan Abah mana ?" Abang menyoal. Agaknya kerana melihat aku sendirian menymbutnya.

"Ada di dalam," jawab ku tanpa memikirkan apa-apa melainkan kegembiraan di hati.

Dan aku pun mula menyoal abang dengan berbagai-bagai soalan - berapa lama cutinya, bila akan kembali ke kampus dan yang paling utama, tercapaikah cita-cita abang ?

Seperti biasa abang cuma menjawab sepatah dua setiap soalan ku - "Seminggu", "Minggu depan" dan yang terakhir tanpa jawaban yang pasti.

Kemudian abang mengeluarkan bungkusan kecil dari begnya yang ku jangkakan sebuah buku. Abang menghulurkannya kepada ku.

"Ini hadiah dari abang," katanya.

Aku menyambutnya dengan gembira. Segera ku koyak pembalutnya. Benar. Sebuah novel hasil karya Arman berjudul "Ibu".Tak pernah ku dengar nama penulis ini, bisik hati ku. Ku selak muka pertama yang tertulis "untuk ayah, ibu dan adik-adik ku".

Ketika itu juga Nuraini, adik perempuan ku, muncul di muka pintu. Dialah satu-satunya adik ku yang masih bersekolah rendah.

"Ani punya mana ?" Nuraini mendekati abang.

Aku menjadi serba-salah kerana tidak menyembunyikan hadiah daripada abang itu. Nuraini memang tidak boleh melihat aku menerima sesuatu dari abang. Pasti dia inginkan yang serupa. Aku bimbang abang terlupa membelikan sesuatu untuknya.

Tetapi tidak. Abang hanya tersenyum melihat telatah manja Nuraini. Lalu abang mengeluarkan sebuah bungkusan yang sama besarnya dengan hadiah yang ku terima.

"Ini untuk adik Ani, sayang," kata abang sambil mencuit hidung Nuraini.

"Bukalah cepat." Aku mendesak dengan harapan akan dapat bertukar-tukar selepas selesai membacanya nanti.

Aku hampa kerana novel itu juga berjudul "Ibu", sama seperti yang ku perolehi. Malah aku menjadi lebih terkejut apabila abang mengeluarkan dua buah bungkusan yang juga sama saiznya.

"Ini untuk Mak dan yang ini untuk Abah," kata abang bersahaja.

Aku kehairanan melihat sikap abang. Bukankah ini membazir, bisik hati ku, membeli empat buah novel yang serupa. Aku ingin menegur sikap abang. Tetapi hasrat ku hanya membeku dalam kepala. Aku khuatir abang akan merasa tersinggung pula. Sebagai seorang mahasiswa tentulah abang lebih arif lagi tentang hal itu.

Memang sejak dulu lagi aku tidak dapat memahami sikap abang. Abang terlalu merahsiakan hal-hal peribadinya. Mungkin disebabkan pengaruh sifat semulajadi abang yang pendiam itu.
Pernah aku cuba mengubahnya. Aku ceritakan kisah-kisah yang melucukan dengan harapan abang juga akan berbuat demikian. Abang tertawa. Tetapi akhirnya aku naik bosan dibuatnya. Abang tetap berahsia dengan ku. Abang cuma menceritakan sedikit peristiwa-peristiwa yang berlaku di kampusnya. Tidak lebih dari sekadar menceritakan kesibukannnya menghadapi buku-buku dan kesukaran ketika menghadapi peperiksaan.

Aku tahu, seperti juga aku, abang mempunyai cita-cita yang tinggi. Dulu abang ingin berhenti sekolah dan jadi penulis. Tetapi apabila sampai ke pengetahuan ibu, abang dimarahi.

"Apa ? Nak jadi macam Rosman AL ? Jangan nak mengada-ngada. Belajar dulu. Kalau dah lulus, nak jadi apa pun, jadilah," sanggah ibu.

Aku tahu ibu menyindir ayah. Rosman AL itu sebenarnya nama pena ayah. Ayah yang sabar itu hanya mendiamkan diri. Namun begitu aku tahu diam ayah bersebab.

Ayah berhenti menulis selepas sepuluh tahun menceburinya atas desakan ibu. Ketika itu kehidupan sebagai penulis tidak begitu terjamin. Desakan ibu memanglah berasas. Ayah kemudiannya menjadi guru. Namun darah seni ayah terus mengalir. Sesekali aku terbaca hasil karya ayah dalam majalah sekolah tempat ayah mengajar sehinggalah ayah bersara.

Dan seolah-olah darah seni ayah akan tumpah kepada abang. Abang berkeras mahu meneruskan cita-citanya. Abang tetap mahu berhenti sekolah. Ini menyebabkan ibu bermasam-muka dengan abang selama beberapa hari.

Tetapi tidak lama kemudian abang bersetuju menurut kata-kata ibu. Ayah berjaya memujuknya. Sampai kini aku masih tidak tahu cara ayah melembutkan hati abang. Memang benar syurga di bawah tapak kaki ibu. Tetapi itu bukanlah satu sebab yang kuat sehingga boleh mengubah pendirian abang. Aku tahu betapa kerasnya hati abang.

Akhirnya kebenaran berpihak kepada ibu. Abang berjaya dalam peperiksaan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Aku tak dapat membayangkan betapa girangnya hati ibu. Aku merasa agak kecewa kerana tidak dapat bersama menghantar abang ke Kuala Lumpur. Ketika itu aku sedang menghadapi peperiksaan penggal terakhir ku.

Sebentar kemudian ibu muncul dari ruang tengah. Ayah tiada bersama.

"Mana ayah, Mak ?" Tanya abang sambil memegang satu daripada bungkusan itu.

Aku terlupa memberitahu abang yang sebenarnya ayah ke kebun. Aku cepat-cepat meminta maaf sebelum sempat ibu menjawab. Aku sendiri yang menyambut bungkusan yang abang hulurkan. Ku berikan kepada ibu. Seperti selalu ibu tidak segera membuka bungkusan itu.

"Sama macam yang Azman dapat," kataku sambil menunjukkan naskah novel di tangan ku kepada ibu.

"Ani pun dapat satu," sampuk Nuraini dengan bangga.

Ibu, seperti juga aku, segera menoleh kepada abang berupa tanda-tanya di wajahnya. Abang dengan wajah selambanya. Tidak nampak riaksi dari abang yang boleh menjelaskan hadiah-hadiah yang serupa itu.

Sikap abang tetap tidak berubah. Aku mulai bosan kerana abang hanya menjawab pertanyaan-pertanyaan dari ibu. Lantaran itu aku segera meminta diri dan terus masuk ke bilik ku. Aku rebahkan diri di atas katil. Namun begitu aku masih dapat menangkap butir perbualan abang dan ibu menerusi dinding papan yang menjadi pemisah. Sesekali terdengar suara Nuraini menyampuk. Dan sesekali ingatan ku dibuai entah ke mana.

Sejak abang berada di kampus, akulah yang selalu menerima surat-surat dari teman sekolahnya dulu. Abang jarang pulang ke kampung kerana sibuk katanya. Jadi aku poskan kembali surat tersebut kepada abang dengan hanya mengubah alamatnya. Tugas itu berakhir tidak lama kemudian.

Tetapi sebenarnya tugas itu tidak berakhir sepenuhnya. Ada surat-surat yang masih ku terima berterusan dari orang yang sama. Malah salah satu darinya masih ada dalam simpanan ku kini. Hendak ku berikan kepada abang, aku khuatir akan mengganggu perbualannya dengan ibu. Aku juga khuatir kemungkinan riaksi abang kerana surat itu telah aku buka dan baca isinya. Mungkin abang akan memarahi ku.

Tindakan ku memanglah suatu sikap tidak amanah. Tetapi perasaan ingin tahu ku terlalu mendesak. Lagi pun sudah tiga pucuk surat terawal yang serupa tulisannya aku poskan kembali kepada abang. Masakan abang tidak membalasnya dan seterusnya menyatakan alamatnya yang terbaru kepada pengirim surat itu. Ia menimbulkan tanda-tanya di hati ku. Itulah sebabnya aku membukanya.

Namun aku berasa kesal kerana isi surat itu merupakan curahan perasaan salah seorang sahabat abang. Tiada nama tertera. Ku rasa cuma abang sahaja yang mengenali pengirimnya. Tulisannya halus, kemas dan bersih. Ia menyakinkan ku bahawa pengirimnya bukan seorang lelaki.

Dan setelah selesai membaca keseluruhannya, hati ku diresapi pula rasa bimbang. Aku mula memikirkan kemungkinan yang akan terjadi terhadap abang. Tentunya abang akan merasa serba-salah kerana surat itu inginkan kepastian. Atau mungkin abang telah mengetahui dari tiga surat yang terawal. Lalu abang tidak mahu membalasnya, jangka ku. Tapi aku tahu abang yang pendiam itu tetap akan berahsia dengan ku. Tidak mungkin dia akan menceritakan hal-hal peribadi begitu. Dan tidak mungkin dia abang menunjukkan rasa bersalahnya pada ku.

Apabila teringat kepada novel pemberian abang, aku terus mencapainya dari atas meja di sisi katil. Ku selak beberapa muka di tengahnya. Tiada suatu pun yang menarik perhatian ku. Ku selak mukasurat yang lain. Ah... kisah-kisah begini telah selalu ku baca, bisik hati ku. Lalu ku letakkan kembali di atas meja dan berbaring terlentang di katil merenung siling. Ku pejamkan mata hingga terlena.

Lewat petang aku dikejutkan oleh bunyi bising di luar. Ayah telah pulang dari kebun. Aku tahu ayah tidak suka anaknya tidur waktu asar.

Ku jenguk menerusi tingkap. Nampak ayah sedang membaiki basikal tuanya.

"Ayah, abang Mazlan dah balik," tegur ku.

"Ayah tahu," jawab ayah ringkas.

Terasa pula ayah seperti menyindir ku. Agaknya ayah telah lama pulang. Mungkin ketika aku masih lagi terlena.

Tanpa berlengah lagi aku terus ke bilik air. Di dapur, abang, Nuraini dan ibu sedang bersarapan petang. Rupanya perbualan mereka belum berakhir. Dan Nuraini dengan telatahnya sedaya-upaya cuba menarik perhatian abang kepada pertanyaan-pertanyaannya.

"Cepat basuh muka. Nanti habis kuih ni, kempunan pulak," tegur ibu.

"Dah pukul berapa ?" Tanya ku.

"Enam," jawab abang pendek.

Ah... sungguh menghairankan. Takkan begitu lama abang dan ibu berbual. Selalunya, malah setiap kali, abang berbual sebentar sahaja. Terutama sejak abang dan ibu berselisih pendapat mengenai pelajaran abang dulu.

Ku biarkan persolan-persoalan itu berlegar dalam fikiran ku. Tidak mungkin aku akan menyoal abang atau ibu mengenai perhubungan yang nampak telah pulih itu.

Selesai mencuci muka, tangan ku pantas hendak mencekup pisang goreng yang masih panas.

"Ajak abah kau sekali. Jangan ingatkan selera sendiri saja," tingkah ibu.

Aku termangu-mangu tetapi patuh menurut perintah ibu. Tetapi di hati merungut sendirian.

Abang, Nuraini dan ibu beredar ke anjung rumah semula. Tinggal aku dengan ayah. Ayah tidak banyak bercakap kalau bersama aku. Tetapi sebaliknya pula kalau ayah bersama abang.

Aku sedar terdapat suatu jalinan perhubungan yang erat antara abang dengan ayah sejak tiga tahun terakhir ini. Aku memang tidak memahaminya. Tetapi aku tahu, ketika abang berada di kampus, ayah selalu menerima surat darinya. Dan lazimnya aku tidak berpeluang menatapnya. Sesekali sahaja ayah memberikan kepadaku selepas terlebih dahulu membacanya.

Isi surat itu biasa sahaja. Abang menceritakan masalah-masalah pembelajaran yang selalu dihadapinya. Pada bahagian akhir suratnya tertulis, "Ayahanda jangan bimbang. Anakanda akan berusaha sedaya-upaya mengatasinya..." Dan diikuti pertanyaan-pertanyaan mengenai masa lalu ayah.

Pada minggu lepas ayah ada menerima sepucuk surat dari abang. Sehingga kini aku belum berpeluang menatapnya. Seolah-olah ada rahsia yang abang dan ayah sahaja yang mengetahuinya. Aku pula tidak berani menggelidah bilik ayah bagi mendapatkan surat itu.

Selepas tegukan kopi yang terakhir, aku dan ayah menyertai abang, ibu dan Nuraini di anjung rumah.

Seperti yang ku jangka ketika itulah abang memberikan hadiah yang serupa itu kepada ayah. Tetapi yang paling menghairankan ku ialah tiada apa-apa riaksi yang luar biasa dari ayah. Tidak seperti kehairanan yang aku dan ibu rasakan sebaik sahaja melihat empat buah buku hadiah yang serupa dari abang itu.

Ku rasa tiada jalan lain untuk menghilangkan segala persoalan dalam kepala ku. Aku meminta diri dan segera masuk ke bilik. Ku ambil surat untuk abang yang tersimpan dalam laci meja ku.

Ketika ku hulurkan kepada abang, kehairanan ku bertambah lagi. Abang tidak langsung kelihatan tersintak. Dan abang juga tidak marah pada ku. Abang menatap surat itu seketika. Kemudian melipatnya dan menyerahkan semula kepada ku. Abang seolah-olah mengisyaratkan pada ku supaya menyimpan surat itu terlebih dahulu. Tidak pentingkah surat itu, tanya hati ku.

Dan lewat tengah malam itu, ketika aku sedang berbaring di katil menatap novel hadiah dari abang, abang masuk ke bilik ku.

"Azman," panggilnya perlahan.

Aku tersintak. Cepat-cepat aku mengesat airmata yang mengalir di pipi ku. Ku letakkan novel yang sudah separuh ku baca ke sisi ku.

"Azman menangis ?" Soal abang ketika duduk di hujung katil ku.

Aku serba-salah. Rupanya tanpa ku sedari cerita dari novel itu berjaya mempengaruhi perasaan ku.

"Terasa benar kisah ini seperti berlaku dalam keluarga kita," kata ku.

"Memang benar," kata abang. "Dan itulah yang sebenarnya."

"Maksud abang ?" Aku kehairanan.

"Abanglah yang menulis novel itu," jawab abang.

"Tapi..." Aku ragu.

Seperti memahami keinginan dalam kepala ku, abang menambah, "Lihat nama pengarangnya. Bukankah A itu awalan nama emak, Aminah dan R nama abah ? Seterusnya nama abang, Azman dan Nuraini sendiri."

"Tidakkah nanti emak...?" Suara ku terhenti.

"Jangan bimbang. Abah akan jelaskan pada emak. Abah sebenarnya telah mengetahui sebelum buku itu mula ditulis," jelas abang.

Aku tiba-tiba merasa terharu. Tanpa ku sedari pipi ku yang kering membasah semula. Tiada kata-kata yang dapat ku lafazkan melainkan mengharapkan abang mengerti makna sinar mata ku.

Suasana hening sebentar.

"Dah lewat malam," kata abang akhirnya dan berlalu dari sisi ku.

Tetapi sebelum sampai di muka pintu, abang menoleh semula pada ku dan berkata, "Surat tadi tolong Azman balas. Gadis itu sebenarnya terlalu muda untuk abang."

Aku tersenyum mengerti.

0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers