KEBULURAN


Apabila rumah tumpangan di pekan itu ditutup, Amena sekali lagi pulang ke kampungnya. Suami dan anak Amena telah diserang penyakit cacar dan meninggal dunia. Dia sendiri masih tidak dapat menerima ujian Tuhan ini dan mengapa dia masih dipanjangkan usia. Dia tiba ke kampungnya dengan mengikut jalan yang menuju ke Pejabat Daerah. Sekarang musim luruh. Buat beberapa bulan yang akan datang ini, Amena bercadang mencari rezeki sama ada dengan mengetam padi atau dengan mengumpul padi yang bertabur di sekitar sawah.

Tetapi Amena mendapat jawapan yang agak mengecewakan daripada isi rumah di mana dia pernah mengambil upah mengetam padi. Mereka tidak memerlukan khidmat ini lagi selepas membuat keputusan untuk mengetam padi mereka sendiri, dan yang lebih itu bolehlah dihantar ke kilang di Jhalakati.

Rumah orang kaya lain di kampung itu juga kurang memberi sambutan kepada Amena semasa dia pergi meminta kerja. Mereka juga akan mengetam sendiri padi mereka.

Seorang perempuan tua dalam rumah itu bersimpati dengan Amena, "Dulu lain. Ketua keluarga rumah ini sekarang mahu mengerjakannya sendiri. Dia mengarah kami jangan memberi sesiapa pun mengetam walaupun sebutir padi."

Tiada pilihan ain nampaknya selain mengutip lebihan padi yang berselerak di tanah. Memang perkara biasa butir padi yang kuning keemasan yang tidak terhingga bilangannya bertaburan di sana sini di bendang selepas pak tani membawa tuaian mereka pulang. Ramailah orang tidak kira tua dan muda akan mengutip padi ini, dan setiap tahun, jadi semacam pertandingan di kalangan kanak-kanak untuk mengumpul padi ini di musim luruh.

Amena tidak mempunyai pilihan lain lalu memulakan kerja mengumpul padi dari bidang tanah yang luas kepunyaan keluarga Munshi. Rumah keluarga Munshi yang tersegam kelihatan di celah-celah rumpun pokok pisang, kelapa, dan pinang. Sambil menikmati pandangan yang indah itu Amena tenggelam dalam imbas kembali memori yang telah berlalu:

"Hashem Bhai?"

"Ada apa?"

"Mari kita pergi petik buah zaitun di pokok sebelah sana tu. Buahnya lebat sungguh."

"Jangan banyak sangat makan buah zaitun. Nanti kau demam pulak."

Demikianlah Hashem menolak cadangan Amena. Pada masa itu Hashem sedang sibuk mengaut jus dari batang pisang dengan menggunakan cengkerang siput. Ia seolah-olah suatu permainan yang meniru orang mengumpul nira dari pokok tamar.

"Ah ... aku tak hairanlah kalau demam sikit. Cakaplah, boleh tak kau ambilkan aku buah zaiton tu? Boleh tak?"

Amena kemudian merampas cengkerang siput dari tangan Hashem. Hashem meradang lalu membalas, "Bagi balik cengkerang aku ; aku tak mahu ambil buah zaiton untuk kau."

Hashem balik semula menoreh batang pokok tadi dengan pisau lipat yang kecil. Tidak lama menudian dia cuba memujuk Amena dengan berkata, "Tunggulah sekejap, biar aku toreh batang pokok ini dan tadah airnya sikit."

Tetapi Amena telah meninggalkan tempat itu. Hashem memaling dan berteriak, "Amena!"

Amena laju sahaja menuju ke kelompok pokok zaitun. Hashem bergegas mengejarnya.

Sebentar kemudian kedua-duanya pulang dengan membawa banyak buah zaitun. Kedua-duanya kelihatan comot dan dimakan panas.

"Suka hati kau sekarang, Amena?"

"Mengapa pula? Aku bukannya marah pada kau!"

"Habis, apa?"

"Oh ... aku cuma mahu tengok setakat mana kau mahu tolong aku!" Selepas berkata demikian, Amena tertawa sendiri dan berlari dari situ. Hashem berdiri tegak seketika kemudian bernyanyi, "Aku tak akan berjauhan lagi....."

Hashem sedar bahawa lagu ini kebanyakannya didendangkan oleh orang dewasa. Namun begitulah perjalanan percintaan mereka semasa alam remaja. Mereka memetik buah dari pokok dan menangkap ikan dari paya. Boleh dikatakan banyak lagi permainan yang mereka main. Masa yang begitu lama telah juga berlalu. Sebuah pasar tani didirikan di seberang sungai. Seorang lelaki yang agak berumur dari kampung ini, yang bernama karamali, membuka gerai di pasar tadi. Walau bagaimanapun dia, malangnya telah dibunuh dalam suatu peristiwa. Dan ini ialah antara banyak peristiwa yang berlalu. Amena dan Hashem juga telah meningkat dewasa mengikut masa.

Tidak ragu lagi mereka telah melangkah ke alam dewasa.

"Amena!"

"Ada apa?"

Amena gementar sedikit mendengar suara Hashem memanggil namanya di suatu petang di bawah pokok. Hashem yang memakai selendang merah di pinggangnya mendekati Amena. Anak teruna itu memakai dhoti yang berwarna putih susu. Tubuhnya yang sihat seolah memancarkan cahaya. Perasaan malu membuat Amena mengalihkan matany daripada renungan Hashem yang menggoda. Hatinya berdebar. Hashem terpaku buat seketika. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini terasa semacam ada perubahan yang tidak dapat dijelaskan dalam perhubungan antara Amena dan Hashem. Mereka berasa agak sukar untuk bercakap sebebas yang mereka amalkan dahulu. Seperti ada suatu jurang, yang tidak ketara dan agak pelik, dalam kemesraan yang mereka nikmati semasa kanak-kanak dulu. Amena jadi kaku setiap kali dia melihat Hashem. Jejaka itu pula menggelabah apabila berdepan dengan Amena dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

Amena menguis-nguis tanah dengan jari kakinya. Dia terasa tidak selesa. Tidak tertanggung lagi rasanya keadaan sepi membisu itu. Lalu dia pun bertanya, "Apa yang kau nak katakan, Hashem Bhai?"

Hubungan rapat yang terjalin antara kedua-dua insan ini diwarnai kebelakangan ini dengan perasaan saling menghormati. Ibu Amena telah mengingatkan anaknya supaya memberi penghormatan yang sewajarnya kepada Hashem, anak seorang yang berada. Sejak itu Amena telah banyak berubah sikapnya.

"Aku dengar semua persiapan telah dibuat untuk perkahwinan kau!"

Amena menundukkan kepalanya seraya berkata dengan nada perlahan, "Memang begitulah nampaknya."

"Siapakah mempelainya?"

"Aku sendiri tak tahu."

Hashem tidak dapat berkata-kata buat seketika. Dia tidak dapat menangkap dengan tepat perasaan Amena. Tiba-tiba anak teruna itu tertawa lalu berkata, "Kau sudah tentu akan melupakan aku selepas kau berkahwin. Kau akan mendapat rumah baru, baju baru dan wang ringgit. Mana boleh kau ingat lagi perhubungan kita?"

Amena menjeling tajam pada Hashem Bhai, kemudian merendahkan pandangannya. Tidak terkeluar dari mulut pemuda itu apa sebenarnya yang ingin dikatakannya kepada Amena.

"Kau memang seorang yang baik hati. Aku yakin kau akan menjadi isteri yang taat. Muka dan telinga kau sudah pun diinai, dan kau hanya perlu labuhkan tudung saja di muka kau."

Amena tidak sanggup lagi mendengar kata-kata Hashem. Mungkin dik terguris dengan kata-kata pemuda itu, Amena segera berlari meninggalkan tempat itu. Hashem tertawa besar dan kemudian berjalan menuju ke rumahnya. Yang kedengaran ke telinga Amena hanyalah sayup-sayup suara Hashem yang menyanyi - "Memang dunia ini tidak mengandungi kegembiraan ..."


Memang jelas Amena tidak dikahwinkan dengan Hashem, sesuatu yang tidak terfikir dek akal. Bapa Hashem seorang yang berpengaruh dan mempunyai sentimen yang kuat. Dia mempunyai rancangan untuk mencari menantu daripada keluarga yang kaya.

Walau bagaimanapun ibu Hashem yang mengetahui perasaan anaknya terhadap Amena, pernah cuba berbincang dengan suaminya. Tetapi orang tua itu tidak bersetuju. Malahan dimarahinya pula isterinya dengan berkata, “Awak ingat aku dapat terima gadis hodoh itu sebagai menantu kita? Lagi pun dia itu daripada keluarga yang miskin!”

Pada mulanya ibu Hashem ingin membantah pendapat suaminya, tetapi kemudian dia membatalkan niatnya. Hashem juga keluar lalu menuju ke pasar. Di sana pemuda itu membeli dua helai sari dengan harga dua puluh taka yang dikumpulnya daripada jualan padinya. Dia memnawa balik sari-sari itu lalu menyembunyikannya.

Lebih kurang dua tiga hari sebelum hari perkahwinan Amena, Hashem menghadiahkannya sepasang sari itu.

“Masihkah kau ingat dulu-dulu semasa kita bersama mengumpul butir padi dari lading Munshi?”

“Ya, aku masih ingat.”

“Aku membeli sepasang sari ini dengan wang yang aku kumpul masa itu. Aku jarang berbelanja kebelakangan ini. Tapi sekarang tidak ada sebab aku menyimpan duit ini lagi. Aku rasa ingin memberi kau sesuatu sebagai tanda kenang-kenangan.”

Suara Hashem tersekat-sekat penuh emosi. Sambil mendakap sari-sari tadi dalam tangannya, Amena merenung pemuda di depannya – mencari-cari sesuatu yang ingin dilihatnya.

Hashem berpura-pura senyum dengan berkata, “Sudah tentu kau akan melupakan aku, ya Amena? Mengapa dengan kau? Mengapa kau tak berkata apa-apa? Aku tak akan ke sini lagi untuk mengganggu kau.”

Amena berpaling untuk menyembunyikan mukanya dalam lipatan kain dalam tangannya. Dia tidak berkata apa-apa. Cepat-cepat dia melangkah masuk ke biliknya. Hashem masih tercegat di situ dengan hati yang luka. Dengan perlahan dia berjalan menuju ke anjung. Ibu Amena membawa sebuah kerusi rotan dan menjemputnya duduk.

“Terimakasih. Saya ke sini untuk mengucapkan selamat tinggal, kerana esok saya akan bertolak.”

“Kau akan ke mana, nak?”

“Saya akan ke Bandar mencari kerja. Pendapatan keluarga kini semakin hari semakin kurang.”

Dalam bilik, Amena tergamam mendengar kata-kata Hashem. Dia bimbang dengan keputusan Hashem untuk berhijrah ke Bandar. Senikata lagu Hashem masih terngiang-ngiang di kepala Amena. Pada ketika itu Hashem telah pun meninggalkan tempat itu dan melintas pembetung di luar sana sambil menyanyikan lagu yang sama, “Tidak ada kebahagian…….”

Bidang tanah yang sama dengan tanah merekah yang sama dikelilingi pokok tamar terbentang di depannya. Butir padi yang berlumpur dan lubang sarang tikus semuanya masih di situ. Kampung yang sama dengan alam sekitarnya yang ceria, kumpulan bangau dan bunyi merpati - semuanya masih tidak berubah. Yang sudah tidak ada lagi hanyalah memori indah masa silam.

Butir padi yang keemasan, dipungut oleh Hashem dari tanah ini, semata-mata untuk membeli kain sari untuknya. Butir padi yang bertaburan itu menambahkan lagi kelaparan Amena. Kelaparan yang tidak mungkin dipadamkan.

Jari-jarinya enggan bekerja lagi. Matanya merenung tanpa melihat rumah keluarga Munsyi. Apa yang dilihatnya hanyalah kepiluan yang membisu seorang perempuan yang tidak bermaya.

Kali ini dia gagal mengutip walaupun sebutir padi dari bidang tanah yang sama.

TAMAT.

0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers