Coretan Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar Shukor

IMPIAN saya untuk menjadi angkasawan bermula ketika berumur 10 tahun lagi. Saya sering mendongak ke langit pada waktu malam seolah-olah mencari sesuatu. Terlalu banyak misteri. Terlalu banyak persoalan. Ketika itu Malaysia terlalu baru dalam bidang aeroangkasa. Namun impian itu terus saya simpan.

Saya mengambil bidang kedoktoran kerana ia membabitkan sains dan tidak pernah sesekali saya melepaskan impian untuk menjadi seorang angkasawan. Selepas 25 tahun akhirnya impian untuk menerokai angkasa lepas tercapai jua.

Ramai yang bertanya apakah rahsia anda? Apakah yang mendorong anda sehingga terpilih dari 11,425 rakyat Malaysia? Apakah keistimewaan anda?

Terus terang ingin saya sampaikan bahawa tiada perbezaan di antara kita. Kekuatan mental dan keyakinan pada diri sendiri adalah kunci kejayaan. Jangan sesekali mencurigai keupayaan anda. Sekiranya saya mampu melakukannya, saya yakin anda lagi boleh!

Selama setahun saya berlatih di StarCity, Russia untuk menjadi seorang angkasawan. Pelbagai halangan dan rintangan saya lalui.

Dari winter survival di paras beku minus 30 darjah Celsius sehingga dicampakkan ke Laut Mati, Ukraine saya sentiasa berpegang pada prinsip "Malaysia Boleh". Saya sedar ini adalah misi negara.

Harapan seluruh rakyat Malaysia. Amat penting untuk saya buktikan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mampu melahirkan seorang angkasawan bertaraf dunia , mampu bersaing di persada antarabangsa. Harapan ini tercapai apabila saya mengibarkan Jalur Gemilang di angkasa lepas. Itu adalah janji saya untuk negara tercinta.

Ayuh rakyat Malaysia. Kita mulakan hidup baru pada 2008. Catatkan segala impian anda di dalam sebuah diari. Jangan terpesong dari impian itu. Usaha gigih dan sentiasa fokus ke arah impian anda.

Hanya berbekalkan impian tanpa usaha gigih tidak bermakna sekiranya langkah tidak diambil untuk mengecapi impian itu.
Buktikan kepada dunia bahawa Malaysia setaraf dengan negara maju lain. Sudah 50 tahun Malaysia merdeka. Sudah tiba masanya kita bangkit dari tidur. Ayuh Malaysia!

Kini ramai kanak-kanak menyimpan impian untuk menjadi angkasawan. Ramai pelajar sudah berminat mendalami bidang sains. Ramai ibu bapa yang mengatakan anak mereka bersemangat untuk membaca buku berunsurkan angkasa lepas. Guru-guru juga mengatakan pelajar mereka lebih cenderung dalam bidang sains dan matematik. Ini adalah satu impak yang begitu positif terhadap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi golongan pelajar dan kanak-kanak.

Program angkasawan berjaya menambat hati seluruh pelusuk Malaysia di bandar mahupun kawasan pedalaman. Program angkasawan berjaya menyuntik inspirasi sebahagian besar rakyat Malaysia. Inilah harapan dan aspirasi negara.

Seperti Yuri Gagarin mencetus minda rakyat Russia, seperti Neil Amstrong mengubah corak pemikiran rakyat Amerika, inilah yang diharapkan negara untuk menghantar seorang angkasawan ke angkasa lepas. Menukar minda rakyat supaya lebih positif dan berkeyakinan tinggi adalah langkah pertama dalam menghasilkan rakyat yang berwawasan dan intelektual.

Sekiranya ini berjaya ditanam dalam setiap individu , saya yakin Malaysia akan dapat menjadi negara yang bertamadun tinggi lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi dalam masa yang terdekat ini.

Janji saya buat rakyat Malaysia. Untuk menyuntik inspirasi dan membuka minda rakyat Malaysia lebih-lebih lagi golongan belia dan kanak-kanak supaya lebih bersikap positif dan yakin pada diri sendiri, supaya lebih ramai menceburi bidang sains dan matematik.

Harapan saya agar Malaysia dapat melahirkan lebih ramai lagi doktor, saintis dan ahli sains supaya Malaysia maju dalam bidang sains dan teknologi. Tetapi setiap insan harus memainkan peranan masing-masing terutama guru dan ibu bapa untuk mendidik dan membimbing anak-anak kita untuk bergerak ke hadapan. Sudah tiba masanya kita bangkit dari tidur !

Jangan sesekali lepaskan impian anda. Tidak ada apa yang mustahil dalam hidup ini. Dengan impian datangnya cita-cita. Dengan usaha yang gigih, saya yakin impian anda akan tercapai jua. Sekiranya saya mengambil masa 25 tahun untuk mencapai impian untuk menjadi kenyataan, saya pasti anda juga mampu melakukannya. Impian anda juga harus menjadi kenyataan. Insya-Allah !

Ke arah negara yang cemerlang , gemilang dan terbilang!


0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers