Kisah 11 Bintang, Matahari dan Bulan Sujud Kepada Nabi Yusuf...



INGATLAH ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai bapaku, sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan. Aku melihat semua mereka tunduk memberi hormat kepadaku. (Yusuf: 4)

Nabi Yusuf merupakan putera kepada Nabi Yaakub dan merupakan anak yang paling disayangi oleh ayahnya. Pada suatu malam, Yusuf bermimpi melihat kemunculan 11 bintang, matahari dan bulan yang sedang sujud kepadanya. Apabila bangkit daripada tidurnya, baginda menceritakan mimpi tersebut kepada ayahnya, Nabi Yaakub.

“Wahai ayahku, semalam aku telah bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan sedang sujud kepadaku. Apakah maksudnya mimpi itu?” soal baginda.

Nabi Yaakub hanya tersenyum gembira apabila mendengar cerita daripada anaknya itu. Nabi Yaakub tahu bahawa itu merupakan satu berita gembira buat dirinya dan juga Nabi Yusuf.

Sambil membelai-belai rambut anaknya dengan penuh kasih sayang, Nabi Yaakub pun berkata: “Wahai anakku Yusuf, ini adalah satu berita yang sangat gembira.

“Ketahuilah olehmu anakku, berita itu adalah khabar daripada Allah. Allah menyatakan bahawa dirimu adalah insan terpilih. Sebelas bintang itu membawa maksud 11 saudaramu, matahari adalah bapamu dan bulan adalah ibumu. Allah mengurniakanmu keistimewaan sebagaimana datuk-datukmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak.”

Nabi Yaakub seterusnya berkata: “Jangan kamu ceritakan perkara ini kepada saudara-saudaramu yang lain kerana mereka ini berniat tidak baik kepadamu, melainkan Bunyamin seorang.

“Apabila mereka mengetahui bahawa kamu telah dipilih oleh Allah, maka mereka akan mencuba melakukan sesuatu yang tidak baik kepadamu. Kamu hanya boleh bercerita kepada Bunyamin.”

Nabi Yaakub mempunyai 12 anak lelaki. Melalui Laiya iaitu kakak kepada Rahil, baginda mendapat enam anak. Daripada Rahil pula, Nabi Yaakub mendapat dua orang putera. Melalui perkahwinan dengan pembantu Laiya pula, baginda mendapat dua orang anak lelaki sementara melalui perkahwinan dengan pembantu Rahil, Nabi Yaakub mendapat dua orang putera lagi.

Kedua-dua belas putera Nabi Yaakub itu ialah Rawabil, Syamun, Lawaa, Yahuza, Aisakhor, Zabalun, Yusuf, Bunyamin, Daan, Naratany, Jaad dan Asyir. Menurut para ulama, daripada kedua-dua belas putera Nabi Yaakub itu hanya Nabi Yusuf yang dilantik oleh Allah sebagai rasul-Nya.

Bunyamin merupakan adik seibu sebapa dengan Nabi Yusuf. Ibu mereka iaitu Rahil telah meninggal dunia ketika melahirkan Bunyamin. Sebab itulah Nabi Yaakub sangat menyayangi kedua-dua anaknya itu.

Oleh kerana pada waktu itu Yusuf dan Bunyamin masih kecil, mereka banyak menghabiskan masa bersama ayah mereka. Mereka tidak mengikut saudara-saudara yang lain menggembala lembu dan kambing. Adik-beradik Nabi Yusuf yang lain sangat membenci baginda kerana Nabi Yusuf menjadi anak kesayangan kepada ayah mereka.


0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers