Janganlah Buat Mak Macam Ini !!



SHAH ALAM: “Kakak lebih rela mati daripada dibiarkan tinggal di sini (rumah penjagaan orang tua bukan Islam). Tergamak anak sendiri hantar kakak ke sini.

“Kakak tatang bagai minyak yang penuh ketika mereka kecil dulu, tapi bila tiba masa membalas budi, tergamak mereka perlakukan kakak seperti ini seolah-olah kakak bukan ibu yang melahir dan membesarkan mereka,” luah seorang wanita warga emas kepada adik kandungnya, Kamaruddin, ketika ditemui di rumah jagaan orang tua bukan Islam di ibu negara, baru-baru ini.

Wanita bergelar hajah berusia 71 tahun itu dihantar dua anak kandungnya ke pusat penjagaan orang tua swasta yang diuruskan pengusaha bukan Islam sejak dua bulan lalu.

Sebelum itu, kedua-dua anak derhaka itu memperdaya ibu kandung mereka dengan menyatakan hendak membawanya pulang ke rumah sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mendapatkan rawatan.

Keluhan diiringi deraian air mata itu diluahkan wanita berkenaan kepada Kamaruddin, 60-an, yang datang menjenguknya di pusat penjagaan orang tua itu sebaik mendapat tahu nasib malang menimpa kakaknya selepas lebih sebulan mencarinya.

Kamarudin memberitahu Harian Metro, dalam pertemuan itu, kakaknya seakan-akan sudah tidak mampu lagi meluahkan kekecewaannya diperlakukan sedemikian oleh anak kandungnya sendiri.

“Sebelum bertemu kakak pada 7 Mei lalu, saya banyak kali bertanyakan dua anaknya di mana mereka ‘meletakkan’ ibu mereka.

“Jawapan saya terima menghampakan apabila mereka sekadar menjawab, it’s only for family members (ia hanya untuk ahli keluarga mengetahuinya),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang daripada anak wanita berkenaan suri rumah sepenuh masa, manakala seorang lagi lelaki yang difahamkan bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Kamaruddin yang berang dengan jawapan angkuh itu kemudian melakukan siasatan sendiri dengan bantuan tiga adik-beradiknya yang lain sebelum mengetahui tempat kakaknya ditempatkan.

Sebaik mengetahui tempat kakak mereka ditempatkan, dia yang juga bekas pengamal undang-undang bergegas ke rumah penjagaan orang tua itu, tetapi terpaksa menahan telinga akibat dicemuh dan dimaki-hamun penjaganya.

“Saya tak kisah dimarahi atau diperlakukan apa saja. Yang penting saya dapat bertemu kakak dan melihat keadaannya.

“Air mata saya tidak semena-mena mengalir laju apabila melihat keadaan kakak yang tak terurus selain wajah sayunya akibat diperlakukan sedemikian oleh anak kandung sendiri,” katanya.

Wanita itu menceritakan apa sebenarnya berlaku selain rintihannya tidak mahu lagi dibiarkan terus tinggal di rumah penjagaan itu.

Bagaimanapun, niat Kamaruddin mahu membawa keluar kakaknya dari pusat berkenaan pada masa itu tidak kesampaian berikutan beberapa halangan.

“Kami berdua hanya mampu menangis dan saya berjanji kepada kakak, akan berusaha sedaya upaya dengan bantuan adik-beradik lain serta agensi kerajaan berkaitan untuk mengeluarkannya dari pusat itu secepat mungkin.

“Jika dia dapat dikeluarkan, kami adik-beradik berjanji menjaganya. Kami tidak akan biarkan nasibnya tidak terbela oleh waris sendiri,” katanya diiringi deraian air mata.

Sementara itu, sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk membantu wanita berkenaan.

“Ada beberapa perkara perlu diuruskan sebelum wanita itu boleh dibawa keluar dari rumah jagaan orang tua berkenaan.

“Proses itu mengambil masa, tapi kami akan melakukan yang terbaik,” katanya enggan mengulas lanjut.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, keluarga wanita berkenaan membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) memaklumkan tindakan dua anak derhaka terbabit menghantar ibu mereka ke rumah penjagaan orang tua bukan Islam, menyebabkan wanita itu tidak dapat melakukan ibadat dan rukun agama.

Berpandukan maklumat diberikan, pegawai Jawi bergegas ke pusat berkenaan dan menemui wanita terbabit untuk mendapatkan maklumat berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.


0 budak Comel:

Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers