Jubah Buat Ibu


"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?", marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?", leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. " Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

"Sakit bu...sakit....maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi....Bu, jangan pukul bu...sakit bu..." Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. "Bu...ampunkan Along bu...bukan Along yang mulakan...bukan Along....bu, sakit bu..!!", rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu.. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka..

" Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" " Eh jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!", si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. 'anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya..' bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?", soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. "Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?". Along terkejut mendengar soalan Atih Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. "Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!", terang si ibu. "Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..", soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. "Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas." , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya.. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. 'Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni....' Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. "La...kau ke, apa kau buat kat sini?", tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz.. "Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?", soalnya pula. "Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!", jelas Along jujur. "waa...bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. "Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!", Along meminta kepastian. "Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!", balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit.." Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. "Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?", soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!", pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?", soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. "Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!", leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. "Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu." Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri.. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja.. "Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. "Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!", soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. "Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan. "Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?" Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. "Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. "Azam, kau ada cita-cita tak....ataupun impian ker...?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. " Ada " jawab Along pendek "Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku....atau...." Along menggeleng-gelengkan kepala. "semua tak...Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. " Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya....saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan....saya....saya nak jadi anak yang soleh!". Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing.. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni", ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak "Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe." Kata Along lagi "Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?", soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. "Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju." Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. " Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?", soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu Along hanya tersengeh menampakkan giginya. "Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?" "Tak pe lah, perkara dah berlalu....lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang. "Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. "Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah." "Zam..kau ni....." "Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu." Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. "Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!", pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. "No problem...tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" , soal Fariz ingin tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang Joe.. Jadi pembantu dia", terang Along. "Abang Joe mana ni?" "Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!", jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . "Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?" "Hari ni la..." balas Along. "Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?" "Bukan, minggu depan..." "Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?", soal Fariz lagi. "Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi." Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang-orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu. "Ha..hadiah....untuk.....ibu.........." ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. 'Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu... dan terimalah hadiah ini.....UNTUKMU IBU!' Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. "Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan .. dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila.." cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?" Soalnya dengan sedu sedan. "Sebab.....dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang...walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula...." Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.

p/s : sayangilah ibu anda sementara beliau masih ada...



Ibu Kita Pembohong ??


Memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong! Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya lapan kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk menjadi renungan anda sekalian.Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dlm sebuah keluarga yg miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Ada kalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga. Sebagai anak yg masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering memberikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata: "Makanlah nak, ibu tak lapar." -PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA

Ketika saya mulai besar, ibu sering meluangkan waktu untukmemancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik. Pulang memancing, ibu memasak gulai ikan yg segar dan mengundang selera. Sewaktu saya makan gulai ikan itu, ibu duduk disamping kami dan memakan sisa ikan yg saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu begitu. Hati saya tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada ibu, tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata; "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." -PEMBOHONGAN IBUYANG KEDUA

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi kekedai dgn membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya, abang dan adik. Suatu dinihari, lebih kurang pukul1.30 pagi, saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu sedang membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya lihat ibu terhangguk kerana terlalu mengantuk. Saya berkata; "Ibutidurlah, esok pagi ibu kena pergi ke kebun pula." Ibu tersenyum danberkata: "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." -PEMBOHONGANIBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus bersabar menunggu saya di luar dewan. Ibu sering kali tersenyum dan mulutnya terkumat kamit berdoa agar saya lulus peperiksaan ini dgn cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan pepriksaan sudah selesai, ibu segera menyambut saya dan menuangkan kopi yg sudah siap dalam botol yg dibawa. Kopi kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu dibasahi keringat saya segera memberikan cawan saya untuk ibu dan menyuruh ibu minum. Tapi ibu cepat2 menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, ibu tak haus" -PEMBOHONGAN IBU YANG KEEEMPAT

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas beberapa bulan saya dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dgn kami datang untuk membantu ibu. Anehnya ibu menolak bantuan itu.Jiran2 sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yg akan menjaga ibu dan mencari wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yg memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki." -PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.


Setelah abang habis belajar dan mula bekerja, ibu pun sudah tua. Abang menyuruh ibu supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Abang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata: "Jangan susah2, ibu ada duit."-PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dgn cemerlang kemudian saya pun bekerja dgn syarikat yg telah membiayai pengajian saya. Dgn gaji yg agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dgn penderitaan. Eloklah kalau hari2 tuanya ini ibu habis dgn keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yg baik hati menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dgn berkata: "TAk payahlah nak, ibu tak biasa tinggal di negara orang." -PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin.Saya yg ketika itu berada jauh di seberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dgn penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yg menjalari setiap inci tubuhnya. Saya dapat melihat dgn jelas betapa penyakit ibu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan airmata. Saya cium tangan ibu kemudian mengucup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan begitu. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata: "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." -PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya buat selama-lamanya. Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang dan berkata, "Ibu, saya sayangkan ibu. " Tetapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yg amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata2 itu ke telinganya sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yg terakhir. Ibu, maafkan anak mu ini. SAYA SAYANG IBU....


Anak Derhaka kerana Isteri tercinta...

Diceritakan oleh Ustaz Mohamad Din Yusoh
Utas Travel and Tours Sdn.Bhd.


Beberapa hari selepas kami berada di Mekah, saya mula terdengar cerita-cerita daripada jemaah yang saya bawa tentang hubungan dingin antara seorang ibu dengan anak lelaki dan menantunya. Si ibu berusia 60-an sementara anak dan menantunya akhir 30-an. Mereka bertiga ialah antara beberapa ratus jemaah yang saya bawa untuk mengerjakan haji beberapa tahun lalu.

Saya diberitahu, hubungan dingin itu sebenarnya bermula sejak di Malaysia lagi kerana wanita berkenaan kurang senang dengan perangai menantunya yang sombong dan mengongkong suami. Kerana hidup dalam kemewahan, menantunya itu tidak menghormati wanita berkenaan selayaknya sebagai mentua, apatah lagi seperti ibunya sendiri.

Seperkara lain yang wanita itu benar-benar kecewa ialah biarpun anaknya itu ahli perniagaan berjaya, tetapi apabila berhadapan dengan isteri, dia jarang membantah, apa lagi mengangkat suara. Apa sahaja kehendak isteri diturutkan walaupun kadangkala menyinggung perasaan ibu dan keluarganya.

Walaupun telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, wanita tersebut kesal kerana anak dan menantunya itu amat jarang balik ke kampung. Apatah lagi hendak tidur disana. Kalau singgah pun menantunya tidak mahu berada lama di rumahnya. Pelbagai alasan diberi supaya mereka cepat berangkat pulang.

Si ibu tadi telah menasihatkan anaknya supaya menegur sikap buruk isterinya itu, tetapi ia seperti tidak dilayan. Menantunya terus bongkak dan sombong. Si ibu juga mengingatkan anaknya jangan terlalu menurut kehendak isteri, namun dari sehari ker sehari, anaknya itu tetap mengikut telunjuk isterinya.

Saya dimaklumkan juga, wanita tersebut berkecil hati kerana menantunya tidak senang dengan kehadirannya di Mekah. Kalau boleh dia mahu pergi ke tanah suci bersama suaminya sahaja tetapi kerana lelaki berkenaan berkeras juga hendak membawa ibunya sekali, dia terpaksa mengalah, namun dengan bibir yang memuncung panjang dan kata-kata sinis serta sindiran tajam. Kerana itulah sejak sampai ke Madinah dan Mekah hubungan dingin itu menjadi semakin parah.

Oleh kerana mereka tinggal sebilik, si anak dapat melihat sendiri di depan matanya hubungan buruk antara ibu dengan isterinya. Pada mulanya dia tidak mengendahkan sangat kerana kedua-duanya orang yang dia sayang. Tambahan pula dialah yang membayar semua perbelanjaan mereka bertiga untuk ke Mekah.

Tetapi semakin hari perselisihan faham itu bertambah parah. Hubungan ibu lelaki tadi dengan isterinya semakin buruk. Bukan sekali mereka bertegang leher. Si ibu yang telah agak lanjut usianya, pastilah hendak supaya sentiasa dilayan hati dan perasaannya. Tetapi menantunya pula sombong dan panas baran. Dia tidak suka melayan kehendak mentuanya itu yang baginya cerewet.

Akibat perselisihan faham, mereka tidak menegur sapa dan si ibu pula enggan memakan makanan yang dimasak oleh menantunya itu. Ini menyebabkan si anak tadi terpaksa membeli makanan diluar untuk ibunya.

"Macam mana isteri kau nih Man. Emak pun tak dihormatnya. Emak minta tolong sikit dia membebel. Emak nak itu dia tak layan, nak ini, dia tak peduli, "rungut si ibu kepada anaknya.

"Abang tengok-tengoklah sikit emak abang tu. Cerewet, nak itulah, nak inilah, macam-macam. Saya dah cakap jangan bawa abang nak bawa juga. Hah...sekarang macam mana?" kata si menantu pula dengan suara yang kasar.

Kedua-duanya memberikan alasan masing-masing hingga si anak berasa amat tertekan. Hendak dimenangkan ibunya, khuatir isteri bermasam muka. Hendak dimenangkan isteri, khuatir ibunya pula terasa hati. Jadi sedaya yang boleh dia cuba memekakkan telinga dan membutakan mata daripada pertelingkahan itu.

Perbalahan mereka tiga beranak terbawa-bawa keluar. Apabila berjalan, duduk di meja makan atau bersiar-siar, masing-masing membawa arah sendiri. Akhirnya masalah itu dihidu oleh jemaah-jemaah lain. Mereka mula menjadi perhatian. Begitu juga saya. Pelbagai cerita yang saya dengar tentang mereka.

Selepas lama berselisih faham, si anak sedikit demi sedikit menyebelahi isterinya. Bagi lelaki itu, ibunya yang bersalah kerana terlalu banyak meminta, cerewet dan terlalu ambil hati.

"Orang tua, macam tulah yang," kata lelaki itu memujuk isterinya.

Suatu hari, si ibu memanggil anaknya. "Man, boleh tak kau belikan sejadah untuk emak? Di kedai bawah tu aja, "katanya. "Emak nak berapa?" soal anaknya. "Dalam 10 helai." "Eh, nak buat apa banyak-banyak?" soal si anak lagi. "Alaaah....nak buat kenangan, lebih tuh nak kasi pada kawan-kawan dan orang kampung. Dapat juga pahala, kau pun dapat pahala sama," kata si ibu dengan tersenyum.

Mendengar permintaan mentuanya itu, isteri si anak menarik muka masam. Matanya merenung tajam wajah suaminya sebagai isyarat "jangan layan!" Kemudian mukanya ditoleh ke arah lain. Ekoran itu, si anak yang pada mulanya mahu menuruti permintaan ibunya, kembali ke tempat duduk.

"Tak bolehlah mak. Saya penatlah. Nantilah bila nak balik nanti saya belikan," jawab si anak.

Tetapi kata-kata itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dia kecewa anak kesayangannya itu sanggup mengetepikan permintaannya, sebaliknya menurut saja apa kata isteri.Lantas dia berkata,"Kau nih Man,emak nak benda tu pun tak boleh beri. Tapi kalau orang rumah kau, dah sampai penuh begnya pun kau nak belikan barang lagi. Emak ni kau belikan sedikit aja. Sampai hati kau Man."

Sepatutnya kata-kata ibu tadi diterima dengan keinsafan tetapi tanpa disangka anaknya naik berang.Dengan meninggikan suara, dia memarahi ibunya.

"Emak ni! Apa mak nak buat dengan barang-barang tu? Mak kan dah tua, buat apa nak beli itu beli ni. Isteri saya adalah sebab saya beri macam-macam, sampai penuh beg. Saya ada anak. Saya nak belikan barang-barang untuk anak kami juga!" katanya dengan muka masam mencuka. Dadanya turun naik menahan marah. Isterinya pula tersenyum puas.

Si ibu terkejut, lantas berkata, "Sampai hati kau cakap macam tu dengan emak. Aku ni emak kau, tak boleh kau tengking herdik. Kalau sayang bini pun janganlah sampai emak sendiri engkau ketepikan, engkau marah-marah, "katanya dengan kecewa.

Si anak bertambah berang. "Emak tu dah tua,buatlah cara tua! Jangan nak minta itu minta ini!"

Ibunya makin terkilan.Hatinya begitu hancur apabila anak yang dipeliharanya sejak kecil dengan penuh kasih sayang sanggup mengherdiknya sebegitu rupa. Tindakan anaknya yang sudah melampau itu menyebabkan si ibu marah.

Sambil merenung tajam wajah anaknya, si ibu berkata, "Man, Aku ni emak kau tau. Aku yang lahirkan engkau. Bila masa isteri engkau beranakkan kau? Bila masa dia besarkan kau?

"Ingat Man, emaklah yang susah payah jaga kau, cari duit nak besarkan kau, hantar ke sekolah sampai kau berjaya sekarang. Tapi bila dah berjaya kau buat emak macam ni. Isteri kau lebihkan daripada emak kau sendiri. Dengan isteri kau cakap dengan baik tapi emak kau sendiri kau tengking-tengkingkan."

Dan dengan suara tegas si ibu tadi menyambung, "Kalau beginilah sikap engkau Man, mulai hari ini emak haramkan susu emak yang dulunya kau minum!"

Takdir Allah, serentak dengan kata-kata si ibu tadi,anaknya terus jatuh terjelepok ke lantai. Bagai panahan petir, kata-kata tersebut seolah-olah "membunuh" si anak tadi serta-merta. Begitu cepat balasan Allah kepada hamba-Nya. Tanpa menoleh kepada anaknya yang terbaring di lantai, si ibu tadi bergegas keluar dari biliknya. Sambil berjalan dia mengesat air matanya yang menitis dengan lengan bajunya. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Sementara itu si anak pula terkulai dengan mata terkebil-kebil. Badannya longlai dan lembik. Isterinya pula menangis tersedu-sedu.

Sejak itu kesihatan si anak mula terganggu. Badannya seperti sedang sakit, namun apabila diperiksa, doktor gagal mengesan apa puncanya. Bagaimanapun, bala yang menimpanya itu masih gagal menyedarkan si anak tadi. Dia dan isterinya tetap enggan bertegur sapa dengan ibunya. Apa yang telah menimpanya langsung tidak diambil iktibar. Bagi lelaki berkenaan, apa yang berlaku bukanlah balasan Allah dan tubuhnya tidak sihat juga bukan satu petunjuk daripada Allah tentang kesilapannya. Ia cuma kebetulan.

Tinggallah si ibu tadi memendam perasaan kesal dan kecewa. Biarpun duduk sebilik dia diasingkan oleh anak dan menantunya sendiri. Makanan dan minuman terpaksa dia pergi membelinya di luar. Di bilik, dan apabila berada di luar dia lebih banyak termenung dan menangis. Jika jemaah lain bertanya mengapa, atau di mana anak dan menantunya, wanita tersebut tidak menjawab. Sebaliknya terus menangis dan menangis.

Anak yang derhaka tidak akan terlepas daripada balasan Allah. Kesihatan si anak tadi semakin buruk. Badan dan kakinya lemah hingga dia tidak terdaya untuk berdiri sendiri. Akibatnya si anak itu terpaksa dipapah dan diusung semasa wukuf, sai, melontar jamrah, tawaf dan sebagainya. Badannya benar-benar lemah untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut.

Sementara itu, kerana tidak ada lagi tempat bergantung, si ibu tadi menunaikan haji bersama-sama kami, dengan bantuan dan pertolongan kami, bukan oleh anak dan menantunya. Masing-masing menjauhkan diri dan tidak bertegur sapa seolah-olah tidak kenal antara satu sama lain. Suatu hari saya menemui wanita tersebut.

"Mak aji...sudahlah tu. Maafkanlah anak makcik tu. Yang lepas tu lepaslah, dia dah terima balasannya,"kata saya.

Wanita itu cuma mendiamkan diri. Dia menangis dan mengesat air matanya yang gugur. Saya terus juga menasihatkannya, tapi seperti tadi, wanita itu langsung tidak mahu menjawab barang sepatah pun. Dia sebaliknya cuma menangis. Dari raut wajahnya ternyata dia benar-benar kesal dengan sikap anak dan menantunya hingga dia tidak sanggup lagi bercakap tentang mereka.

Selepas itu saya menemui anaknya pula.Lelaki berkenaan seolah-olah terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang telah berlaku dan apa yang sepatutnya dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut.Isterinya pula cuma mencebikkan bibir bila saya sebut nama mentuanya.

Begitulah keadaan mereka hingga selesai musim haji dan seterusnya kembali ke tanah air. Sejak itu saya tidak menghubungi mereka lagi. Khabar yang saya terima memang mengejutkan. Saya diberitahu, sejak pulang ke tanah air si anak tadi sakit terus-menerus. Penyakitnya agak kronik dan gagal diubati doktor.

Namun dalam tempoh itu hubungan mereka tiga beranak tetap tidak berubah. Anak yang telah mendapat balasan Allah juga masih tidak insaf dengan kesilapannya. Ibu pula yang telah terkilan dengan sikap anaknya, tetap enggan memaafkannya. Sejak kembali dari Mekah,mereka langsung tidak mengunjungi antara satu sama lain.

Berita terakhir saya terima ialah lelaki terbabit telah meninggal dunia selepas menderita sakit selama 10 tahun.

"TUHANMU TELAH MEMERINTAHKAN HENDAKLAH KAMU TIDAK BERBAKTI KECUALI KEPADA-NYA DAN BERBUAT BAIK KEPADA ORANG TUA, JIKA SALAH SATU ANTARA MEREKA ATAU KEDUA-DUANYA SUDAH SAMPAI UMUR TUA DAN BERADA DALAM PEMELIHARANMU, MAKA JANGANLAH KAMU KATAKAN KEPADA MEREKA ITU KATA-KATA "AH", DAN JANGAN KAMU BENTAK MEREKA TETAPI KATAKANLAH KEPADA MEREKA BERDUA KATA-KATA MULIA. DAN RENDAHKANLAH TERHADAP MEREKA BERDUA SAYAP KERENDAHAN KERANA KASIH, DAN DOAKANLAH KEPADA TUHANMU: BERILAH RAHMAT KEPADA MEREKA ITU SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MEMELIHARAKU PADA WAKTU AKU MASIH KECIL."

[Surah al-Israa' 7:23-24.]

Diriwayatkan oleh Hakim, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

"SEMUA DOSA AKAN DITANGGUHKAN OLEH ALLAH SAMPAI HARI KIAMAT NANTI APA SAHAJA YANG DIA KEHENDAKI KECUALI DERHAKA KEPADA ORANG TUA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENYEGERAKAN KEPADA PELAKUNYA DALAM HIDUPNYA SEBELUM MENINGGAL DUNIA."


Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers