Kisah Bumi Dan Langit



Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.

Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.


Kenapa Allah menghilangkan lidah ikan???


Assalamualaikum,
Nak dengar satu cerita tak?
Kenapa Allah menghilangkan lidah ikan?
Rasululllah s.a.w bersabda: " sejahat-jahat manusia pada hari kiamat nanti ialah orang yang bermuka dua. Barangsiapa bermuka dua di dunia maka di hari kiamat kelak dia akan mempunyai dua lidah dari lidah dari lidah api neraka jahannam".
Sabda Rasulullah s.a.w lagi: "tidak akan masuk syurga orang yang suka membesar-besarkan cerita".
Pabila ditanya apa hikmahnya, Baginda s.a.w menjawab: " sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan semua makhluk itu mempunyai lidah, sama ada yang boleh berkata-kata ataupun yang tidak boleh berkata-kata. "
Salah seorang sahabat pun bertanya, "kenapa ikan tidak mempunyai lidah?"
Sabda Rasulullah s.a.w: " Setelah Allah selesai men ciptakan Adam a.s. maka diperintahkan sekelian malaikat agar tunduk sujud kepadanya. Semua malaikat patuh pada perintah itu kecuali iblis laknat. Oleh kerana iblis enggan sujud, maka Allah melaknatnya serta mengusirnya keluar dari syurga dan dihapuskan rupanya yang elok itu lalu dihantar iblis itu ke bumi.
Apabila diturunkan ke bumi, iblis terus menuju ke laut. Pertama sekali yang dijumpai oleh iblis ialah ikan.
Iblis pun menceritakan akan keburukan serta kekurangan Adam kepada ikan, katanya, "sesungguhnya Adam itu amat suka memburu dan membunuh binatang-binatang yang ada di lautan dan juga di daratan".
Apabila ikan mendengar kata-kata iblis itu ia pun segera menghebahkannya kepada binatang laut yang lain berita tentang Adam a.s. Oleh kerana Allah tidak menyenangi perbuatan ikan inilah lalu dihilangkannya lidah ikan agar tidak lagi dapat menyampaikan berita yang tidak sebenarnya.
Oleh itu, marilah kita "jaga" lidah kita supaya tidak hilang seperti lidah ikan. Berkatalah yang baik, kerana kata-kata yang baik itu adalah sedekah.



Bendera Malaysia Jalur Gemilang




Gambar di atas menunjukkan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang telah digunakan dari tahun 1896 hingga 1950. Pada tahun 1949 sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung rekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Di dalam satu pertandingan peringkat kebangsaan sebanyak 373 penyertaan telah diterima di mana tiga rekaan bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

Orang ramai telah dijemput untuk memberikan pendapat serta membuat undian tentang ketiga-tiga rekaan tersebut. Rekaan ciptaan seorang arkitek kerajaan dari Johor iaitu En Mohamad bin Hamzah telah terpilih. Rekaannya menggambarkan sebelas jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di sebelah kiri. Beberapa pindaan telah dibuat kepada rekaan tersebut dan rekaan akhir telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk menerima rekaan berkenaan. Rekaan bendera itu akhirnya telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.


Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat kali pertama dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan kelahiran Malaysia pada 16 September 1963.


Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Empatbelas jalur dan empatbelas pecahan bintang melambangkan maksud yang baru iaitu tigabelas buah Kerajaan Negeri dan satu Kerajaan Persekutuan.

Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke40, Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Jalur Gemilang sebagai nama rasmi bendera Malaysia.

Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia



Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers