Surat Untuk Kak Long..



Kak Long yang dirindui,
Apa khabar anak ayah di sana? Semoga sihat dan bahagia selalu. Di sini, ayah bersama ibu dan adik-adik sihat sahaja.
Cuma semalam, Adik Usu mengadu sakit perut - berak-berak. Agaknya, perut adik dah tak tahan - bersebu sebab sejak beberapa hari adik asyik makan maggi aje. Itu yang semalam, dan hari ni, ibu masakkan bubur. Kesian tengok adik-adik kat rumah.
Masak bubur sepot beras dapatlah, ayah dan adik-adik makan kenyang sikit dengan kicap cap kipas yang Kak Long suka tu. Itulah, yang mampu ayah sediakan untuk hidangan malam ini dan malam tadi.
Ayah tak tahu esok macamana. Mungkin ibu akan masak beras buat bubur lagi. Boleh kot, ayah ambikkan duit tabung Adik Usu untuk beli telur sebiji dua. Kalau goreng telur hancur dengan bubur, lainlah sikit menu daripada semalam. Harap-harap adik-adik tak akan merungut makan bubur lagi.

Kak Long,
Ayah bukan berniat nak merisaukan Kak Long yang sedang berada di asrama kini. Cuma ayah nak bagitau, kita sekarang dah tak sesenang dulu. Kalau dulu, sebulan sekali boleh kita keluar untuk ‘selebrate’ apa-apa ‘event’ dengan makan di luar. Tapi kini, nak makan lauk ikan atau ayam sebulan sekali pun belum pasti lagi.
Keadaan ekonomi keluarga kita sudah tak seperti dahulu. Hidup kita makin terhimpit, Along. Ayah tak tahu, sampai bila lagi kita mampu terus hidup di bandar KL ini. Dengan gaji ayah setelah tolak bersih duit EPF dan hutang syarikat, yang tinggal hanya sekitar RM1,800 sahaja sebulan.
Bayangkanlah Kak Long, setiap bulan kereta yang kita gunakan perlu dibayar sebanyak RM550.00, sewa rumah - RM500.00, bil-bil telefon, air dan elektrik - RM250.00, bayaran duit yuran Kak Long, adik-adik dan persekolahan - RM200.00, duit minyak kereta dan tol untuk ayah berulang kerja - RM300.00, semua ini dah mencecah genap RM1,800 (sebulan gaji ayah).
Ini tak ditambah lagi dengan duit untuk sakit pening, balik kampung, belanja dapur dan pasar, simpanan dan keperluan harian lain. Kadang untuk belanja dapur, ayah terpaksa ambik duit bayar kereta (kita dah tiga bulan duit kereta tertunggak). Pihak bank dah mula hantar surat kata nak tarik kereta. Ada sekali ayah gunakan duit yuran sekolah adik-adik untuk beli sayur dan sedikit ikan, akibatnya dua bulan yuran sekolah adik-adik tertunggak. Bil telefon pula, baru sebulan ayah tak bayar, pihak telekom dah hantar surat amaran nak potong. Memang agak susah hidup kita ini Kak Long.
Semalam, adik sakit perut ayah hanya dapat gosokkan minyak masak kat dapur pada perut adik. Selepas adik merengek sejam lebih, tertidur dia. Nak ke klinik, ayah dah tak tahu nak cari duit kat mana. Duit-duit simpanan ayah dan ibu (termasuk duit di Tabung Haji) dah diguna masa daftarkan Kak Long masuk asrama dahulu.
Minggu lepas, ayah balik kampung dengan ibu. Jumpa dengan Pak Usu, Pak Uda dan Pak Lang, cuba bawa berbincang nak minta tolong. Tapi hampa. Kata mereka, tinggal kat KL takkan susah. Itulah agaknya, mentaliti orang kampung, dan tak belajar agaknya. Susah nak terima hakikat bahawa bukan semua di bandar ini senang dan mewah seadanya. Agaknya, orang kampung susah dapat berita. Atau orang kampung hanya dapat berita yang indah sahaja kat peti televisyen dan radio.
Padahal, dalam dunia masa kini semuanya tidak seperti dahulu lagi. Dahulu kalau Kak Long ingat, duit RM50 boleh isi tangki minyak kereta agak penuh, sekarang hanya separuh aje. Duit tol dah tak sama Kak Long. Harga ayam setahun dua dulu dah tak sama dengan hari ini. Baru ni, harga barang-barang dapur dah naik. Makin susah. Adik Usu yang boleh makan roti canai setiap minggu dulu dah jarang dan susah nak makan (dulu RM0.50 - kini RM0.80).
Itulah, dilema ayah dan ibu kini Kak Long. Jika keadaan masih tak berubah, mungkin ayah lepas ni akan berpindah balik kampung. Rumah atuk, masih kosong. Cuma sayanglah, Adik Ngah yang akan periksa UPSR tahun ni akan terjejaslah pelajaran dia sebab kena pindah sekolah. Adik Usu yang mula nak kenal belajar Bahasa Inggeris, akan kelam kabutlah sebab guru kesayangan Bahasa Inggeris dia bertukar rupa. Makin susahlah Adik Usu nak kuasai Inggeris. Dahlah, subjek Matematik dan Sains dalam periksa pertengahan tahun tempohari dia hanya dapat ‘C’. Lepas ni tak tahulah pula apa nak berlaku.
Oh ya, Kak Long mungkin tertanya-tanya apa dah jadi dengan projek jual nasi lemak dan kerepek kat pejabat ayah dulu? Ayah dan ibu dah sepakat untuk menghentikan jualan-jualan tersebut.
Pertama; setiap malam ayah dan ibu bersengkang mata sehingga jam 1 pagi untuk siapkan bahan-bahan untuk berjual nasi lemak dan esoknya terpaksa pula bangun jam 4 pagi - akibatnya Kak Long, ibu sering sakit-sakit, kesihatan ibu terjejas.
Kedua; bukan ayah nak mengata, tapi realitinya dalam dunia berniaga begitulah. Kadang-kadang ada yang membeli dengan berhutang. Dan bila berhutang tak ada pula yang membayar. Ada pula yang ambil begitu aje tanpa bagitahu, akibatnya modal hilang, dan ayah serta ibu terpaksa keluarkan modal baru setiap kali nak berjual. Bukan ayah nak menuduh semua tetapi akibat setitik nila habis rosak susu sebelanga.
Ketiga; kenaikan harga barang mentah dah tak dapat nak ayah dan ibu untuk menampungnya. Maklumlah, bukan berniaga secara besar, hanya kecil-kecilan. Itu yang agak susah. Maka, disebabkan itulah ayah dan ibu ambil keputusan untuk hentikan jualan kecil-kecilan itu.

Kak Long,
Ayah harap Kak Long rajin-rajinlah belajar. Berusahalah menjadi anak yang cemerlang bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam agama. Berusahalah, jangan sia-siakan peluang yang Kak Long dapat untuk belajar di sekolah asrama tu.
Ayah harap Kak Long akan berjaya. Berjaya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Cuma dalam mengejar cita-cita Kak Long, ayah berharap Kak Long beringatlah. Kita kini bukan orang senang. Hidup dah tak macam dulu. Kalau Kak Long boleh berjimat, berjimatlah sehabis baik.
Ayah tahu, yuran asrama Kak Long tertunggak dua bulan. Bersabarlah. Bagitau pada cikgu, ayah akan jelaskan. Cuma bukan dalam masa terdekat ini. Insya-Allah, ayah akan cuba sedaya upaya untuk jelaskannya sebelum berakhirnya sesi persekolahan tahun ini.
Cuma selepas ini, ayah tak pasti berapa kerap lagi ayah akan mampu menulis. Bukan apa, kadang memikir, duit pos (setem RM0.40) boleh ayah gunakan belikan dua biji telur untuk adik-adik makan tengahari bila mereka balik sekolah.
Jadi, janganlah Kak Long bersedih, ok. Tabahkan hati. Ayah tahu, anak ayah seorang yang tabah, cekal dan sentiasa berusaha yang terbaik.
Dan akhir sekali, maafkan ayah kerana membebani Kak Long dengan segala kisah yang berlaku ini. Bukan apa, sebagai anak ayah yang sulung ayah rasa Kak Long berhak tahu dan wajar memahami apa yang sedang berlaku dalam keluarga ini.
Sekian, ibu dan adik-adik menyampaikan salam rindu pada Kak Long.
Wassalam.



Dilema Seorang Wanita....

Kucing berlari dua tiga,
seekor sembunyi dalam kain,
Umur baru dua puluh tiga,
mak dah bising tanya bila nak kawin.

Ikan haruan masak lemak,
tersekat tulang di anak tekak,
Tak cukup dengan mak,
makcik makcik, nenek-nenek pun tanya jugak.

Kain batik kain basahan,
terkoyak tersangkut di mata joran,
Dulu masa sekolah, mak pesan,
jangan bercinta nanti ganggu pelajaran.

Panau banyak macam peta,
belakang berbelang kena rotan.
Jadi budak baik mendengar kata,
23 tahun tak keluar ngan jantan.

Petang petang mandi kolah,
Rambut mengerbang banyak kutu,
Bila dah habis sekolah,
mak kelam kabut cari kan menantu.

Anak kerbau mati tersepit,
Anak ikan mati di jala,
Pantang tengok lelaki baik sikit,
asyik cakap 'terima je la'.

Beras ditumbuk di buat bedak,
lesung terjatuh jari terluka,
Bukannya tak ada orang yang hendak,
masalah nyer hati dah tak terbuka.

Kaki tempang jalannya senget,
Buku lali terasa keras,
Masih teringatkan cinta monyet,
masa umur baru empat belas.

Jolok kedondong pakai galah,
jolokkan sekali buah kuini,
Hmm...apa nak jadi pun jadi lah.
Malas nak pening lalat pikir pasal ni.

Tengah hari tertidur lena,
jam di dinding berdenting dua,
Kalau ada jodoh nanti, tak ke mana.
Cari tak cari...ke temu jua.

Abah,bagi Balik Tangan Ita


Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.
Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci.Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya...kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut besar pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis berbayar, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?"

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. .. Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan
"Tak tahu... !"
"Saya tak tahu Tuan..! "

"Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik siisteri lagi. bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata,"Ita buat ayahhh.. cantik kan!" katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.


Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia sangat takut . Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu.
Pembantu rumah segera memeluk dengan penuh sayang dan duka,cepat-cepat,menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar.

Menangis terusak-isak keduanya, dalam bilik.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu. "Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si anak.


Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. "Ita demam... " jawap pembantunya ringkas. "Bagi minum panadol tu," balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.

Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. "Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan yang sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk. "Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.

Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar madandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihat kedua- dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya.

Kemudian ke wajah pembantu rumah.

Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.

"Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul.
Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama."

katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorangpun yang melihat suasana itu tidak menangis....

"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu.

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya.

Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..



Related Posts with Thumbnails

Anniversary Cik Myla ♥

Daisypath Anniversary tickers